Dasar bina jutawan Melayu

Dasar bina jutawan Melayu

PENULISAN dalam Utusan Malaysia keluaran 22 Ogos 2009, melalui ruangan rencana di bawah tajuk “Usaha ramaikan tokoh Melayu Islam terunggul” oleh Rohami Shafie, Pensyarah Perakaunan dan Kewangan dari Universiti Utara Malaysia menarik perhatian saya.

Antara lain, beliau menyatakan: “Orang Melayu Islam masih kekurangan serba-serbi dalam bidang ekonomi. Sejak beberapa tahun kebelakangan, hanya seorang tokoh Melayu Islam yang dikategorikan sebagai 10 terkaya di Malaysia.

“Ini masih belum mencukupi kerana berdasarkan jumlah penduduk Malaysia, sekurang-kurangnya enam tokoh Melayu Islam perlu berada dalam senarai itu.”

Saya bersetuju penuh dengan kesimpulan penulisan beliau bahawa kita perlu berusaha melahirkan lebih ramai sarjana dan cendekiawan "Melayu Islam di peringkat dunia” sehingga muncul yang “bertaraf global seperti Ibnu Razi, Ibnu Sina, Al-Tabari dan Ibnu Khaldun.”

Namun kita harus lebih berhati-hati dan tidak keterlaluan dalam usaha melahirkan cuma beberapa ‘jutawan individu’ Melayu.

Dalam bidang ekonomi, fokus membina barisan jutawan individu adalah cara yang jelas menjadi pendekatan anjuran kapitalisme Barat. Kaedah ini menjadi teras kepada amalan kapitalisme ekstrem, khasnya di bawah model Anglo-saxon amalan Amerika Syarikat dan Britain.

Model ini banyak kelemahan dan kepincangannya. Antara impak paling membimbangkan ialah ketidakadilan dan ‘kezaliman’ ekonomi yang berleluasa. Apabila yang kaya mudah bertambah kaya, yang miskin akan langsung terpinggir dan dikesampingkan.

Selama ini pun, tumpuan dasar dan strategi negara untuk memperkasa ekonomi Melayu telah terlalu menekankan usaha membina satu barisan jutawan Melayu untuk berjaya. Seiring dengan sistem ekonomi berlandaskan kapitalisme yang telah berjaya melahirkan jutawan-jutawan individu kaya raya daripada kalangan kaum bukan Melayu dan Islam.

Ini telah dijadikan antara teras kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB), dan lebih ditekankan sewaktu Dasar Penswastaan dilaksanakan dengan ghairahnya. Inilah antara penyebab utama hari ini 40 orang terkaya di Malaysia memiliki harta kekayaan bernilai hampir satu pertiga daripada seluruh jumlah nilai harta kekayaan negara!

Yang perlu turut diberi perhatian ialah hakikat cara ini sebenarnya penuh dengan kepincangan dan bahaya. Selain daripada ketidakadilan yang semakin melebar, kita telah juga saksikan bagaimana ketirisan dan kebocoran hak milik Melayu Islam telah berlaku hasil daripada dasar individualistik ini.

Jelas kita saksikan kerugiannya. Misalnya, apabila UDA diswastakan dan kini sedang cuba dihidupkan semula! Penubuhan Ekuinas juga membayangkan betapa kita terpaksa mengambil langkah baru setelah yang lama banyak mengakibatkan kehilangan kawalan ke atas hak milik strategik.

Demikian juga dengan penswastaan lain termasuk kes-kes seperti Pantai Holdings, Bernas dan banyak lagi. Kesemuanya mengakibatkan kerugian yang menjejaskan kepentingan jangka panjang bangsa dan negara.

Seperkara lagi yang kerap dilupakan ialah hakikat bahawa semua usahawan dan jutawan, sehebat dan sehandal mana sekalipun, akan menghadapi maut akhirnya.

Dan ketika inilah kepentingan hak milik harta kekayaan akan mudah sekali berpindah tangan, atau akhirnya tinggal “sekangkang kera”, menjadikannya salah satu sumber utama kebocoran dan ketirisan.

Saya berpendapat telah tiba masanya bangsa Melayu menstrategikan semula seluruh pendekatan untuk menjamin kedudukan masa depan. Yang paling penting ialah menentukan kesinambungan kawalan terhadap harta kekayaan dan kepentingan bisnes strategik.

Kita tidak perlu mengikut model kapitalisme Barat secara membabi-buta tetapi harus menserasikannya dengan keperluan kepentingan jangka panjang bangsa dan negara serta tuntutan nilai hidup Islam.

Antara pembaharuan yang perlu mendapat perhatian ialah konsep “Ijtimaaii” yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan Kongres Ekonomi Islam Ke-3 pada Januari lalu.

Konsep Ijtimaaii mengiktiraf bahawa keperkasaan bangsa Melayu Islam adalah terletak pada nilai mengutamakan kepentingan besar masyarakat, bangsa dan negara di atas kepentingan individu dan keluarga, seperti yang menjadi sendi kepada ajaran Islam.

Tegasnya, telah tiba masanya harta kekayaan, aset dan bisnes strategik milik Melayu Islam “diinstitusikan”. Atau lebih berani lagi, “diwakafkan”, menjadi harta milik institusi “Wakaf Korporat”.

Sebenarnya langkah “penginstitusian hak milik” telah pun sedia ada. Contohnya, lihat sahaja Petronas yang kini menjadi kebanggaan bangsa dan negara setelah berjaya menjadi sebuah syarikat minyak paling cemerlang prestasinya di peringkat global. Demikian juga dengan banyak GLC lain milik negara dalam beberapa bidang bisnes.

Kesimpulannya, dalam mengukur kejayaan ekonomi Melayu Islam di bawah sistem ekonomi yang dipacu oleh bisnes hari ini, tidak semestinya lagi kita ikut ukuran anjuran kapitalisme Barat yang individualistik.

Kehadiran Petronas dan GLC-GLC, termasuk seperti FELDA, PNB, Khazanah Malaysia, Tabung Haji, LTAT, JCorp dan seumpamanya sekali-kali tidak mengurangkan, malah menambah kepada penguasaan Melayu Islam dan memperkaya serta memperkasa kedudukan bisnes dan ekonomi mereka.

Bangsa Melayu dan umat Islam seharusnya berbangga dengan kehadiran barisan institusi ini yang menguasai nilai harta bernilai berbilion ringgit, walau sekalipun eksekutif-eksekutif yang menerajui badan-badan ini tidak layak dikategorikan sebagai “jutawan individu” Melayu Islam.

Beratus ribu rakyat Malaysia mendapat peluang kerjaya dan peluang ekonomi menerusi kejayaan usaha mereka dan mereka semua berada di antara barisan paling hadapan dalam menyumbang kepada penambahan nilai ekonomi negara serta membina keupayaan daya saing negara di peringkat global.

Tegasnya, kini terdapat antara mereka yang berjaya membina negara dan membela kepentingan bangsa setelah berupaya menerajui dengan cemerlang beberapa bisnes strategik negara yang bernilai tinggi.

Telah tiba masanya bagi bangsa Melayu mengiktiraf peranan penting GLC dan institusi seperti ini, khasnya dalam usaha melindungi kepentingan Ijtimaii masyarakat Melayu Islam keseluruhannya.


ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Timbalan Presiden,
Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM).
E-mel: www.businessjihad.com">

0 comments: