Melahirkan usahawan wanita

Melahirkan usahawan wanita

Oleh ABDUL RASHID SINTHA MADAR

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meningkatkan jumlah usahawan wanita menjelang 2012 menunjukkan keprihatinan dan komitmen kerajaan dalam meningkatkan dan memartabatkan kaum wanita.

Semasa mengumumkan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA), Perdana Menteri turut menyuarakan hasrat untuk melahirkan sekurang-kurangnya 4,000 usahawan wanita menjelang 2012 dan mempercepatkan bayaran bantuan kebajikan.

Pada masa ini pendapatan garis kemiskinan di Semenanjung Malaysia ialah RM720 sementara di Sabah, RM960 dan Sarawak pula RM830.

Sehubungan itu, kerajaan bertekad untuk meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah dengan melahirkan lebih banyak usahawan wanita menjelang 2012.

Usaha melahirkan 4,000 usahawan menjelang 2012 merupakan sesuatu yang realistik dan boleh dicapai.

Berdasarkan statistik terkini, terdapat seramai 717 usahawan wanita dan ini bermakna hanya 3283 lagi diperlukan untuk mencapai sasaran 4,000 orang.

Berdasarkan pengumuman tersebut, bilangan usahawan wanita yang perlu dihasilkan di antara 2010 hingga 2012 adalah 1,333 orang setahun.

Jumlah ini apabila dibahagi secara purata dengan 13 buah negeri, setiap negeri perlu menghasilkan lebih kurang 102 atau 103 usahawan setahun.

Bagi memastikan hasrat murni Perdana Menteri itu, setiap negeri perlu memainkan peranan penting dan proaktif dalam mencapai objektif NKRA.

Persoalan seterusnya ialah pemilihan para peserta atau bakal usahawan.

Sama ada di kalangan ibu tunggal tanpa pekerjaan tetap atau bekerja tetap.

Ataupun wanita yang sudah bekerja atau mereka yang sedang menjalankan perniagaan tanpa berbekalkan ilmu dalam selok-belok perniagaan.

Baru-baru ini, kumpulan perunding daripada UiTM Perlis mengambil langkah proaktif mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Perlis.

Dan hasilnya, satu kursus untuk menghasilkan usahawan kecil-kecilan daripada kalangan ibu-ibu tunggal di negeri Perlis telah diadakan.

Pendekatan yang diambil dalam usaha ini ialah untuk mengubah taraf hidup mereka daripada tiada apa-apa kepada usahawan (from zero to hero).

Mereka juga diajar mengenai teknikteknik lain seperti bagaimana mencari peluang perniagaan, aspek penampilan diri dan hal-hal lain berkaitan dengan pengendalian perniagaan.

Pihak penganjur juga membawa pegawai dari agensi-agensi lain yang berkaitan untuk menerangkan tatacara memohon lesen perniagaan serta aspek kesihatan peniaga.

Perkara-perkara asas tentang bagaimana mendapatkan pinjaman, kepentingan pembungkusan, pelabelan hatta sehingga bentuk atau acuan kuih-muih untuk membezakan dengan produk orang lain.

Usaha proaktif pihak Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Perlis telah memberi kerjasama serta kepercayaan sepenuhnya kepada UiTM Perlis untuk mengendalikan Kursus Asas Keusahawanan - Ibu Tunggal Negeri Perlis (I-KIT).

Berlandaskan trend semasa tidak mustahil kita akan dapat melahirkan lebih daripada jumlah yang disasarkan kerana kita semua tahu "tangan yang menghayun buaian bisa menggoncang dunia". Yang penting, golongan ini diberi peluang untuk menunjukkan kebolehan.

PENULIS ialah Pensyarah kanan di UiTM Perlis.

0 comments: