Biarkan SPRM bebas laksanakan tugas

Biarkan SPRM bebas laksanakan tugas

SETELAH puas mendengar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikecam dan diremehkan, Perdana Menteri nampaknya tidak boleh berdiam diri lagi.

Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi peringatan kepada pihak tertentu agar jangan menjadikan SPRM mainan politik.

Peringatan itu tepat pada masanya memandangkan akhir-akhir ini semacam ada usaha pihak tertentu untuk mengheret SPRM ke kancah itu.

Kes kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock dijadikan picu untuk pihak terbabit meledakkan kutukan dan kecaman bertali arus terhadap suruhanjaya tersebut.

SPRM yang belum pun mencapai usia setahun, diejek, dikutuk dan dikecam kiri kanan.

Lebih buruk lagi, keselamatan pejabat dan anggota suruhanjaya itu turut diganggu dan diancam.

Siri 'serangan' ke atas SPRM itu jika dilihat tidak lain daripada cubaan untuk menjatuhkan kredibiliti institusi itu.

Pihak-pihak tertentu juga dilihat berusaha keras melemahkan moral anggota suruhanjaya daripada meneruskan tugas dan tanggungjawab mereka membanteras serta memerangi rasuah.

SPRM yang dibentuk hasil penstrukturan semula Badan Pencegah Rasuah (BPR), seolah-olah hendak dikuburkan sebelum menyambut ulang tahun pertamanya 1 Januari depan.

Dalam kes melibatkan mendiang Beng Hock, seperti kata Perdana Menteri, kita percaya ia bukanlah sesuatu yang diinginkan oleh SPRM untuk berlaku.

Secara logiknya, tidak masuk akal jika SPRM hendak membahayakan nyawa seorang saksi penting dalam kes yang sedang disiasatnya.

Mungkin wujud kelemahan dalam prosedur siasatan SPRM, sehingga berlakunya insiden malang kepada mendiang Beng Hock.

Namun itu tidak mewajarkan mana-mana pihak untuk melonggokkan segala kesalahan di bahu suruhanjaya itu.

Apatah lagi mahu memadamkan rekod baik SPRM sebelum ini.

Agak malang apabila SPRM hanya dipuji jika menyiasat para pemimpin Barisan Nasional (BN), tetapi dikeji dan dituduh menjadi alat kerajaan apabila siasatan melibatkan pemimpin pembangkang.

Dalam kes Beng Hock, kerajaan bersikap telus dengan memulakan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian mendiang.

Prosiding di mahkamah berjalan secara terbuka dan dilaporkan media tanpa sekatan.

Ia akan disusuli penelitian prosedur siasatan SPRM oleh Suruhanjaya Diraja.

Kita percaya selepas ini langkah pembetulan akan diambil jika terbukti prosedur siasatan SPRM itu tidak memuaskan.

Kita juga yakin kerajaan tidak akan cuba menutup sebarang kelemahan.

Justeru jangan lagi ada pihak yang dengan sengaja memainkan sentimen sehingga menyemarakkan api kebencian terhadap SPRM - sehingga mendorong segelintir individu yang hilang kewarasan bertindak di luar batasan seperti melontar bom petrol.

Insiden kematian Beng Hock memang satu tragedi.

Namun tidak wajar mana-mana pihak menangguk kesempatan mengapi-apikan keadaan untuk menanamkan kebencian terhadap SPRM seterusnya kerajaan.

Permainan sentimen ini jika dibiarkan berterusan, dibimbangi akan memburukkan keadaan sehingga menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam sekali gus memburukkan imej negara.

0 comments: