Kekang segera budaya keluar parti
BUDAYA keluar parti dan melompat ke parti lain ada ketikanya kini seolah-olah sudah menjadi gaya hidup segelintir ahli politik negara ini. Fenomena itu kelihatan menular dengan ketara selepas Pilihan Raya Umum ke-12, Mac 2008.
Walaupun ia bukan sesuatu yang baru di Malaysia dan pernah berlaku sebelum ini, namun dewasa ini keadaan itu seperti menjadi-jadi.
Pelbagai alasan dan sebab diberikan oleh mereka ini. Sama ada yang keluar parti, isytihar menjadi wakil rakyat bebas ataupun melompat ke parti lain.
Ada yang boleh diterima akal fikiran dan tidak kurang juga yang menimbulkan pelbagai persoalan dan spekulasi.
Hakikatnya pihak-pihak yang terlibat iaitu calon itu sendiri, parti yang telah dianggotainya selama ini, parti baru yang beliau anggotai, pengundi kawasan yang diwakilinya serta Suruhanjaya Pilihan Raya, semuanya menuntut penjelasan.
Di kala kita sibuk dengan wabak Influenza A (H1N1), jangan kita lupa akan ‘pandemik’ keluar dan melompat ke parti lain ini.
Ia perlu dibendung secara serius supaya tidak menular ke dalam masyarakat kita.
Mahu tidak mahu kita tidak boleh lari dari politik. Baik sebagai pengundi mahupun sebagai orang politik. Politik ada di mana-mana dan ada dalam semua urusan seharian kita.
Rakyat ataupun lebih tepat lagi pengundi, mahukan wakil yang mereka pilih itu dapat berkhidmat dengan penuh amanah, taat dan setia kepada orang yang mengundinya.
Perwatakan, gaya hidup serta ciri kepimpinan seseorang yang bergelar “Yang Berhormat” sering menjadi perhatian dan dinilai oleh semua pihak.
Kita masih segar dengan kejatuhan beberapa orang ahli politik akibat daripada salah laku moral, salah guna kuasa dan sebagainya. Bukti dan kesannya sangat jelas.
Memang tidak menjadi kesalahan di sisi undang-undang jika seseorang wakil rakyat yang telah dipilih bertindak keluar parti atau lompat parti walaupun ada desakan dari pelbagai pihak untuk mewujudkan undang-undang untuk menghalang budaya tersebut.
Bagaimanapun rakyat makin keliru dan resah dengan tindak-tanduk ahli-ahli politik yang sebegini yang boleh berubah dalam sekelip mata atas pelbagai alasan yang mereka ciptakan.
Apakah ahli-ahli politik ini pernah bertanya kembali kepada para pengundinya sama ada mereka mengundi beliau atas sifat peribadi beliau ataupun semata-mata kerana parti yang beliau wakili semasa bertanding tempoh hari?
Saya pasti jawapannya sangat berbeza dan reaksinya juga mungkin kurang enak untuk didengar.
Namun itulah luahan isi hati para pengundi yang sering kali menjadi mangsa dan rasa ditipu oleh wakil yang mereka pilih.
Negara kita telah mencapai usia kemerdekaan 52 tahun, namun sikap sesetengah ahli politik kita yang masih belum matang boleh merosak dan menghancurkan negara.
Semua parti politik perlu merenung kembali tujuan dan asas perjuangan mereka selama ini.
Cukuplah keperitan yang ditanggung oleh para pengundi selama ini. Insaf dan muhasabahlah diri anda sebelum terlambat.
Kita khuatir suatu hari nanti mungkin para pengundi akan memulaukan sesuatu pilihan raya sebagai tanda protes untuk mengajar golongan politik seperti ini.
Serdang, Selangor">
0 comments:
Post a Comment