Toleransi demi 1Malaysia

Toleransi demi 1Malaysia

Oleh ANUAR AHMAD

RAKYAT sebenarnya sangat berharap untuk melihat satu bentuk baru kenegaraan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, khususnya menjelmakan janji 'mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian'. Apa yang rakyat ingin lihat ialah pelaksanaan gagasan Satu Malaysia secara menyeluruh dan konsisten dalam semua aspek kehidupan rakyat negara ini, tanpa membezakan warna kulit, perbezaan agama serta budaya etnik.

Sudah banyak yang digariskan oleh Perdana Menteri tentang gagasan 'Satu Malaysia', kebanyakannya secara terpisah-pisah di dalam ucapan-ucapan beliau sama ada di parlimen, mesyuarat Kabinet, Majlis Tertinggi UMNO dan di majlis rasmi yang dihadirinya. Dengan serangkaian nilai murni seperti integriti, penerimaan, adil dan sebagainya, gagasan ini nampaknya perlu disepadukan untuk dilestarikan makna dan niat baik beliau.

Konsep 1Malaysia perlukan wajah serta tindakan. 1Malaysia perlukan pengorbanan serta keikhlasan. Oleh itu pemupukan nilai toleransi melalui tindakan (bukan sekadar slogan) menjadi faktor utama kepada asas pembentukan 'Satu Malaysia'. Bagi membina toleransi, maka pemikiran yang terbuka serta tindakan yang lebih berani, liberal dan tidak popular adalah enjin utamanya.

Sudah menjadi bukti sejarah bahawa negara ini telah berjaya membentuk keharmonian kaum melalui usaha liberalisasi antara kaum khusus tindakan toleransi dan persefahaman dalam politik, ekonomi dan budaya. Misalnya, tindakan pemimpin Melayu seperti Tunku Abdul Rahman membenarkan konsep Jus Soli dilaksanakan sebagai asas kewarganegaraan pada tahun 1957 kepada masyarakat Cina dan India adalah satu liberalisasi yang sangat besar ertinya. Tindakan beliau bukan sahaja tidak popular malah telah mendapat tentangan ramai pemimpin orang Melayu ketika itu. Tetapi hasilnya kita seluruh rakyat Malaysia dapat hidup dengan aman pada hari ini.

Manakala kesanggupan pemimpin orang bukan Melayu seperti Tun Tan Cheng Lock, Tun Tan Siew Sin dan Tun V.T Sambanthan menerima baik dengan konsep hak dan keistimewaan Bumiputera, kedudukan agama Islam, bahasa dan status raja- raja Melayu juga merupakan satu toleransi yang telah menjayakan kehidupan bermasyarakat di negara ini. Itulah tahap pertama liberalisasi dan toleransi terlaksana secara berstruktur di negara ini.

Kini kita sudah memasuki fasa kedua liberalisasi dan toleransi. Fasa baru ini ditandai dengan perubahan hidup masyarakat yang mengungkap bentuk-bentuk baru kemasyarakatan yang harus dikendalikan dalam bentuk yang baru, bermula sejak tahun 1991.

Tamatnya DEB fasa satu dan timbulnya Wawasan 2020 adalah penanda kepada fasa kedua liberalisasi berlaku. Maka para pemimpin politik sama ada kerajaan atau pembangkang harus menerima keadaan ini demi kesejahteraan dan survival rakyat negara ini.

Apabila migrasi penduduk Melayu ke bandar besar bermula pada era 1970-an menjadi matang sekarang, masyarakat Melayu dan bukan Melayu tidak lagi hidup seperti mana pada zaman penjajahan, terpisah antara satu sama lain. Kini mereka berjiran, bekerja dan berekreasi di ruang yang sama.

Selain itu, perkembangan perindustrian serta tekanan globalisasi telah mewujudkan masyarakat berpendidikan, tidak lagi seperti era awal abad ke-20. Sektor pekerjaan yang berasaskan etnisiti juga sudah mula berubah berbanding zaman sebelum merdeka dahulu. Semua ini mengubah bentuk serta struktur hubungan kaum di negara ini.

Demi meningkatkan daya saing negara, nampaknya Najib mula mendahului langkah liberalisasi dengan melaksanakan dasar liberalisasi ekonomi. Kini sektor perkhidmatan mula dikongsi secara bersama dengan semua kumpulan etnik.

Liberalisasi 27 sub-sektor perkhidmatan merupakan satu tindakan liberalisasi beliau yang berani. Sekarang liberalisasi ekonomi akan mula menjangkau ke bidang lain seperti francais, automotif serta pembinaan.

Apa yang lebih penting ialah tindakan ini seharusnya di uar-uar sebagai satu usaha ke arah membina gagasan 1Malaysia secara perlahan-lahan.

Secara sejarahnya, ikatan kontrak sosial yang rigid antara Melayu dan bukan Melayu telah menjadi sebab utama untuk masyarakat Melayu dan bukan Melayu bertelagah antara satu sama lain. Seharusnya kontrak sosial dilihat semula supaya lebih dinamik dan pragmatik agar toleransi kaum dapat direalisasikan sepenuhnya. Tetapi pada masa yang sama harus dikekalkan tujuan dan aspirasi sebagaimana terkandung dalam Perlembagaan negara.

Mungkin kontrak sosial ini perlu lebih terbuka, toleran dan mengutamakan keadaan menang-menang pada semua kaum. Satu yang pasti di negara ini ialah jika ada mana-mana kaum yang cuba bercita-cita untuk menguasai semuanya tanpa mahu berkongsi dengan kaum lain maka lambat-laun mereka pasti akan hilang semuanya.

Jika ada orang Cina bercita-cita ingin menguasai seluruhnya ekonomi negara atau ada orang Melayu mencuba mahu menguasai seluruh kuasa politik negara, akhirnya mereka semua akan menggigit jari. Percayalah, waktunya akan tiba jika kita tidak berhati-hati.

Ini hakikat perkongsian antara kaum di dalam sebuah negara bernama Malaysia, sama ada kita suka atau pun tidak. Pada yang ekstrem, mereka akan berkata biarlah jika begitu yang terjadi asalkan kami dapat apa yang kami mahu. Tetapi bukan semuanya rakyat berfikiran ekstrem, sebahagian besar masyarakat ingin hidup dalam keamanan, boleh berkongsi serta bersama-sama ingin membangunkan negara ini.

Maka penilaian semula terhadap dasar serta polisi berkaitan pengagihan ekonomi perlu dilihat semua. Sebagai contoh, walaupun hak istimewa orang Melayu yang sudah termaktub dalam Perlembagaan negara, pelaksanaannya kaedah pengagihan bantuan kerajaan masih boleh dinilai semula mengikut keadaan dan situasi semasa supaya turut dinikmati oleh semua kaum di negara ini.

Apakah orang Melayu tidak boleh bersifat sedikit terbuka rasa 'ketuanan' mereka dengan memberikan bantuan kepada golongan bukan Melayu yang miskin untuk pembiayaan perniagaan kecil melalui geran kerajaan, atau pembiayaan pengajian anak-anak mereka ke universiti.

Kerajaan perlu membina model baru ekonomi seperti DEB dengan roh 'Semangat Satu Malaysia'. Dasar baru ini jangan lagi terlalu rigid dan tidak lagi harus terikat dengan semangat Melayu semata-mata tetapi juga harus mengambil kira ukuran kemiskinan sebagai asas bantuan. Orang Melayu yang miskin wajib dibantu, begitu juga dengan orang bukan Melayu yang serba kekurangan.

Apabila orang Melayu boleh melaksanakan sifat liberalisasi, maka masyarakat Cina dan India juga harus tahu bersyukur dan boleh bertoleransi. Sebagai contoh, dengan mula membenarkan kewujudan sekolah satu aliran di dalam negara ini. Bukan untuk keuntungan orang Melayu tetapi demi hidup bersama. Demi perpaduan generasi masa depan.

Pentingnya liberalisasi pendidikan ini kerana tanpa sekolah satu aliran maka sampai bila pun negara ini tidak akan berganjak ke hadapan untuk membina sebuah masyarakat 'Satu Malaysia'.

Tindakan liberalisasi pendidikan oleh masyarakat bukan Melayu akan mula membina kepercayaan dan keinginan di kalangan orang Melayu bertoleransi di dalam sektor yang lain. Ini adalah satu permulaan bagi tujuan membina satu Malaysia yang diidamkan oleh semua.

Kajian psikologi sosial menunjukkan bahawa sesebuah masyarakat yang tidak mempunyai tahap toleransi yang tinggi bermula di dalam persekitaran kumpulan etnik sendiri yang tidak liberal.

Contoh mudah, bayangkan dalam sebuah keluarga yang ibu bapa terlalu autokratik dan tidak mengamalkan budaya yang sedikit terbuka, pasti anak-anak tidak akan mempunyai kepercayaan pada orang lain dan mereka biasanya tidak mempunyai budaya toleransi di kalangan rakan-rakan di sekolah.

Bagaimana pun, liberalisasi ini juga harus ada batasnya dan Perlembagaan negara adalah batas sempadannya. Bagaimana pun, penterjemahan kepada Perlembagaan negara haruslah lebih terbuka, sesuai dan adil pada semua kaum di negara ini.

Rasa hormat dan akur harus diberikan kepada Perlembagaan negara. Tanpa penghormatan kepada perlembagaan, sukar untuk menentukan takat mula dan sempadan keterbukaan, maka dibimbangkan tuntutan atau desakan oleh pihak tertentu akan melampaui tahap yang bersusila. Maka akan gagal juga cita-cita untuk membina '1Malaysia'.

ANUAR AHMAD ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

0 comments: