BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

SETELAH pakatan pembangkang menolak gagasan kerajaan perpaduan yang dicetuskan sendiri oleh Pas, Dewan Pemuda Pas pula mempelawa Pergerakan Pemuda UMNO untuk bermuzakarah.

Nadanya lebih lembut berbanding dengan hasrat Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengadakan debat terbuka dengan Perdana Menteri – idea yang banyak pihak merasakan ia tidak akan membawa faedah.

Daya usaha Pemuda Pas itu dilihat sebagai suatu perkembangan baru kepada perbincangan UMNOPas, walaupun idea perbincangan kerajaan perpaduan sebelum ini tidak disenangi oleh sekutu-sekutu Pas iaitu DAP dan PKR.

Namun bagi Awang, dalam hal ini Pemuda UMNO perlulah terlebih dahulu menilai kejujuran dan keikhlasan Pemuda Pas dalam membincangkan isu-isu nasional.

Mesej yang jelas perlu disampaikan kepada Pas bahawa UMNO yang menerajui kerajaan Barisan Nasional, tidak berada dalam keadaan terdesak.

Sungguhpun begitu, sebagai orang Melayu, Awang melihat generasi pelapis dalam Pas mempunyai pemahaman yang lebih jelas dalam konteks perlunya perpaduan dan persefahaman di kalangan kelompok orang Melayu di negara ini.

Awang – Tunggu dan lihat.

0 comments: