Meletakkan nama Felda di pentas global

Meletakkan nama Felda di pentas global

SELAIN daripada syarikat minyak nasional Petronas, Malaysia tidak ada nama syarikat multinasional yang begitu gah namanya di serata dunia.

Bukan untuk memperkecilkan usaha syarikat lain bertaraf global dari negara kita, tetapi kedudukannya masih di bawah.

Sebab itu kita mengalu-alukan daya usaha Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk melangkah satu lagi tapak ke hadapan. Melalui Felda Global Ventures Holdings (Felda Global), sayap Felda akan dikembangkan ke luar negara.

Cabaran Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Felda pada Julai 2008 supaya menjadi syarikat multinasional seperti Petronas nampaknya sudah disahut.

Kini harapan Perdana Menteri yang bertanggungjawab memajukan Felda sejak lebih setahun lalu mahu direalisasikan.

Malahan impian masyarakat peneroka juga untuk melihat syarikat yang asalnya dari luar bandar itu berkemampuan menjadi sebuah syarikat multinasional dalam bidang pertanian multi- crop di peringkat antarabangsa - dipenuhi.

Jelaslah ilham yang dibuat oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sejak penubuhannya lebih 50 tahun lalu menunjukkan hasil.

Dengan pelancaran Felda Global, adalah menjadi tanggungjawab peneraju syarikat baru ini untuk mendokong matlamat Felda ke arah yang lebih jelas.

Felda perlu menjayakan hala tuju yang tepat sejajar dengan kehendak peneroka dan perkembangan semasa. Felda mempunyai aset ladang sawit yang terbesar di negara ini dan sudah 'molek' mengembangkan sayap pelaburannya ke luar negara.

Perladangan adalah bidang kepakaran Felda. Jadi, keberanian untuk meneroka ke dalam bidang yang Felda miliki kepakarannya perlu diteruskan.

Sebab itu pemimpin dan pihak pengurusan Felda tidak perlu takut melakukan perubahan, asalkan ia memberi manfaat kepada negara dan peneroka.

Felda memang patut ke luar negara untuk meneroka bidang pertanian, minyak dan lemak, oleochemical serta logistik.

Langkah ini adalah satu lagi strategi penting untuk menjadikan Felda secara berterusan kekal kompetitif dalam arena perniagaan. Dan pada masa sama tetap melihat kepentingan pemiliknya iaitu para peneroka dan kerajaan.

Sekarang terdapat kira-kira 500,000 peneroka dan ahli keluarga mereka di lebih 200 tanah rancangan Felda di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Felda perlu menyambut cabaran baru ini bukan hanya untuk memastikan ia kekal relevan dalam cabaran global tetapi demi kesinambungan generasi kedua dan ketiganya.

Sebagai generasi kedua dan ketiga Felda, mereka bukan lagi dikenali sebagai penoreh getah atau pengait kelapa sawit, sebaliknya mereka menjadi penggerak menerjah ke dalam ekonomi global.

Dengan sokongan penuh daripada Perdana Menteri yang begitu komited memajukan Felda, usaha meletakkan satu lagi nama syarikat multinasional Malaysia di pentas dunia, insya-Allah akan berjaya.

0 comments: