Surani, Tarmizi patut jadi ikon pasukan polis
TAHNIAH serta jutaan terima kasih kita ucapkan kepada Detektif Koperal Mohd. Surani Sarbini dan Lans Koperal Mohd. Tarmizi Arbayee kerana kecekalan serta ketulusan mereka dalam menjalankan amanah di bawah naungan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dua perkataan itu sebenarnya tidak cukup untuk menterjemahkan penilaian serta penghargaan tidak terhingga kepada mereka.
Kedua-duanya berjaya menolak “nafsu kebendaan” yang kebiasaannya menjadi ujian amat mencabar terhadap mereka yang menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang.
Mereka mempunyai kekuatan moral serta keimanan yang teguh. Elemen mulia itulah yang membuatkan mereka sanggup menolak habuan yang bernilai ratusan ribu ringgit demi menegakkan keadilan.
Tentu sekali tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa Surani dan Tarmizi harus di jadikan ‘ikon’ oleh PDRM. Sememangnya amat tepat apabila mereka dianugerahkan Sijil Integriti oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin.
Selain itu saya juga ingin mengucapkan syabas kepada PDRM serta Kementerian Dalam Negeri kerana menunjukkan kesungguhan dalam memberikan penghargaan kepada anggota polis yang cemerlang serta dedikasi ketika menjalankan tugas.
Sememangnya ada ramai lagi ‘Surani dan Tarmizi’ di luar sana dan ia bukan sahaja berada dalam pasukan polis.
‘Surani dan Tarmizi’ ada dalam pasukan penguatkuasaan undang-undang lain seperti Kastam Diraja, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan tidak ketinggalan juga di kalangan ahli politik.
Namun dalam banyak kes, golongan yang bersih, cekal dan berintegriti ini dibiarkan tanpa diberi perhatian atau kedudukan mahupun penghargaan sewajarnya.
Justeru, saya ingin menyarankan agar semua jabatan dan kementerian untuk mencontohi Kementerian Dalam Negeri dalam memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada kakitangan seperti ‘Surani dan Tarmizi’ itu.
Ia akan membantu membentuk kerajaan yang bersih, cekap, amanah serta berintegriti.
Saya pasti ramai di kalangan rakyat negara ini berasa begitu terharu dan bangga dengan tindakan tulus Surani dan Tarmizi.
Keteguhan iman dan sikap amanah kedua-duanya berjaya membawa kepada tumpasnya sindiket pengedaran syabu yang bernilai lebih RM280 juta.
Namun saya juga ingin tahu apakah kesudahan kes tersebut? Sudah tertangkapkah mereka yang menjadi dalang pengedaran dadah yang telah ‘membunuh’ ribuan anak bangsa kita itu?
Sekiranya mereka yang selama ini bermaharajalela belum dapat diberkas atau terlepas “atas sebab-sebab tertentu”, maka sia-sia sahajalah usaha murni yang dilakukan oleh anggota polis yang komited seperti Tarmizi dan Surani.
Agaknya belum terlambat juga untuk saya sentuh mengenai masalah ah long di negara ini.
Kisah ah long bukan cerita baru. Namun nampaknya ia seperti barah yang sudah tidak dapat dikawal lagi.
Kesediaan Kementerian Dalam Negeri serta PDRM mengisytiharkan perang terhadap ah long adalah tepat pada masanya.
Saya sangat-sangat berharap pengisytiharan itu bukan bersifat sementara. Ia harus diterjemahkan secara serius sehingga ke peringkat pendakwaan di mahkamah.
Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang telah mendedahkan kisah penderaan ah long ke atas mangsa baru-baru ini.
Namun ia hanya merupakan tips of the iceberg yang dapat dikesan.
Amat malang sekali setelah lebih 50 tahun merdeka, kita masih berdepan dengan masalah seperti ah long. Di mana silapnya? Tepuk dada tanya hati.
Semua pihak kini perlu berganding bahu membantu PDRM membanteras ah long hingga ke akar umbi. Ia akan menjadi kenyataan jika semua pihak bersatu.
Jangan hanya pandai menuding jari menyalahkan PDRM tetapi kita sendiri tidak mahu bersama-sama membantu.
Sematkan semangat ‘Tarmizi dan Surani’ dalam hati kita semua. Dan sekiranya semua anggota penguatkuasaan turut menjiwai sikap tersebut, saya yakin negara kita akan bebas rasuah. Kita juga akan bebas daripada igauan kegiatan haram seperti ah long.
Bandar Baru Uda, Johor Bahru">
0 comments:
Post a Comment