Oleh Mutazar Abd Ghani dan Kamarulzaidi Kamis
bhbiz@bharian.com.my
NAJIB ketika menyampaikan ucaptama pada Invest Malaysia 2009 kelmarin. |
Kelonggaran FIC bolehkan Malaysia terus berdaya saing, sedia pasaran modal lebih bertenaga
GARIS Panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) diwujudkan kerajaan pada 1974 bagi membantu mencapai matlamat kedua Dasar Ekonomi Baru (DEB) iaitu menyusun semula masyarakat, khususnya berkaitan pemilikan ekuiti di kalangan rakyat pelbagai kaum.
Ini berikutan pada masa itu wujud ketidakseimbangan ketara dari segi pemilikan ekuiti di kalangan rakyat, yang mana penguasaan ekuiti Bumiputera hanya 2.4 peratus. Sasaran garis panduan FIC ialah pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat secara menyeluruh.
Namun selepas 35 tahun garis panduan itu diwujudkan, sasaran utama penguasaan ekuiti Bumiputera itu masih jauh ketinggalan dalam sektor utama terbabit. Penguasaan mereka tidak banyak berubah.
Lebih mengecewakan, daripada RM54 bilion ekuiti yang diagihkan kepada Bumiputera di bawah FIC pula, hanya RM2 bilion kekal, manakala selebihnya dijual semula untuk memperoleh keuntungan segera.
Selain itu, model lama FIC juga didapati ada kekurangan, apabila wujud segelintir pihak mendakwa tidak mendapat insentif dalam negara sendiri, termasuk Bumiputera yang mendakwa manfaat dasar itu hanya dinikmati golongan tertentu dan tidak diagihkan secara menyeluruh.
Garis panduan FIC itu juga mendapat rungutan pelabur asing apabila mereka mendakwa ia mewujudkan kekangan untuk mereka terbabit secara aktif dalam sektor ekonomi dan pasaran modal tempatan.
Tidak kurang penting, model lama FIC juga menyumbang budaya tidak sihat di kalangan usahawan Bumiputera yang sering dikaitkan dengan amalan `ali baba', `untung atas angin' dan `ingin cepat kaya.'
Menyedari kelemahan dalam model lama FIC, maka pengumuman kelonggaran terhadap Garis Panduan FIC oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin memang tepat pada masanya dalam usaha meningkatkan daya saing Malaysia sebagai pusat pelaburan dan pada masa sama menggalakkan pemilikan berkesan serta berkekalan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat.
Pengumuman Najib yang juga Menteri Kewangan pada Persidangan Invest Malaysia 2009, itu antara lain membabitkan kelonggaran terhadap FIC yang berkaitan pembelian kepentingan, penggabungan dan pengambilalihan; kegiatan meraih dana oleh syarikat senaraian awam serta pembelian hartanah.
Kelulusan FIC juga tidak diperlukan bagi transaksi pemerolehan hartanah secara tidak langsung oleh bukan kepentingan Bumiputera menerusi pemilikan saham yang tidak mengakibatkan perubahan penguasaan dalam syarikat Bumiputera atau agensi kerajaan.
Dalam usaha berterusan kerajaan meningkatkan ekonomi negara dan untuk menggalakkan Pelaburan Langsung Asing (FDI), kerajaan mengumumkan pemansuhan syarat 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera secara terus semasa pengapungan syarikat tersenarai.
Bagaimanapun, keperluan itu diganti dengan syarat supaya 50 peratus daripada 25 peratus tebaran awam diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diiktiraf Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).
Dalam memastikan kepentingan pelabur tempatan terpelihara dan tidak diabaikan, kerajaan juga memutuskan untuk memantau dan mengawal selia sektor serta aktiviti urus niaga hartanah, khususnya membabitkan pindah milik hartanah Bumiputera atau agensi kerajaan kepada bukan Bumiputera.
Bagi urus niaga sedemikian, kerajaan memutuskan supaya syarikat pembeli yang bukan Bumiputera mewujudkan sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera.
Selain itu, ada beberapa sektor yang dikenal pasti sebagai sektor strategik yang memerlukan kawal selia secara berterusan bagi menjamin kestabilan dan keselamatan negara khususnya dalam kepentingan Bumiputera dalam ekonomi.
Untuk itu, kerajaan memutuskan supaya badan kawal selia peringkat sektor melaksanakan program serta garis panduan bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera
Ketika era 1970-an, keperluan mewujudkan dasar berasaskan pengagihan adalah relevan memandangkan pemilikan ekuiti korporat Bumiputera hanya dua peratus dan kaum itu juga tidak berpeluang serta berkeupayaan untuk bersaing berdasarkan kuasa pasaran tanpa sekatan.
Bagaimanapun, dunia semakin maju dan keadaan telah berubah, instrumen sedia ada perlu disemak semula dan instrumen baru harus diperkenalkan selaras keperluan semasa berdasarkan kekuatan ekonomi negara, peluang pelaburan, iklim ekonomi global dan kejayaan yang telah diraih oleh Bumiputera.
Gabungan instrumen sedia ada termasuk akses kepada peluang pendidikan berkualiti, program pembangunan usahawan dan vendor telah berjaya melahirkan Bumiputera profesional dan kelas menengah.
Walaupun pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti dikekalkan, langkah bersifat pengagihan seperti FIC mungkin bukan lagi instrumen sesuai untuk mencapai sasaran asal.
Justeru, keputusan melonggarkan garis panduan FIC serta memperkenalkan instrumen baru yang lebih sesuai untuk mencapai sasaran ekuiti korporat dan bersifat propertumbuhan serta mesra pasaran adalah langkah tepat dan sesuai dengan perkembangan ekonomi masa kini.
Keputusan itu diambil untuk membolehkan Malaysia terus berdaya saing dan menyediakan pasaran modal yang lebih bertenaga, khususnya dalam konteks pendekatan pertumbuhan dengan pengagihan.
0 comments:
Post a Comment