Pupuk kerjasama sejak kecil elak polarisasi kaum

Pupuk kerjasama sejak kecil elak polarisasi kaum

Oleh Lee Lam Thye

PERANAN ibu bapa sangat penting. Mereka perlu bimbing anak-anak untuk memupuk persefahaman dengan rakan daripada pelbagai kaum dan agama.

Saya rasa ia amat relevan pada saat ini di mana isu polarisasi kaum di sekolah, pusat pengajian tinggi dan di kalangan golongan muda dan belasan tahun menjadi isu yang membimbangkan negara.

Hubungan antara kaum di sekolah boleh dieratkan dengan mengadakan pertukaran aktiviti akademik, sukan dan perkhemahan. Ia dapat memupuk persefahaman dan keharmonian kaum.

Polarisasi kaum bukan isu remeh yang dapat diselesaikan dengan mudah. Generasi muda kita mesti mempelajari dan menghayati kepentingan hidup yang harmoni sejak di bangku sekolah lagi.

Sewaktu sistem pendidikan diharap memainkan fungsi penting untuk memupuk perpaduan, ibu bapa juga bertanggungjawab menggalakkan anak-anak berinteraksi, bermain dan membesar bersama kanak-kanak daripada kaum dan agama lain. Ia adalah satu daripada usaha untuk memupuk persefahaman antara kaum.

Pelajar sekolah menjadi golongan paling utama untuk memecahkan halangan yang wujud dalam hubungan di antara kaum, memperbaiki integrasi dan menyumbang kepada integrasi.

Generasi muda kita perlu diberi kesedaran mengenai kepentingan perpaduan kaum kerana ia adalah asas kepada kejayaan dan pembangunan negara.

Golongan pelajar adalah pemimpin masa depan. Oleh itu, amat penting untuk mereka memupuk hubungan lebih erat di antara kaum, budaya dan agama demi keharmonian negara.

Ibu bapa hari ini menghadapi pelbagai cabaran dalam mendidik anak-anak. Kemahiran keibubapaan dan teladan yang baik adalah keperluan terhadap pembangunan keluarga Malaysia yang bahagia.

Keluarga adalah unit asas dalam masyarakat. Keluarga bahagia adalah “nadi negara”. Dalam unit inilah, ibu bapa menyediakan suasana untuk membesarkan anak-anak. Membesarkan bukan sahaja bermaksud secara fizikal tetapi yang lebih penting ialah pembangunan psikologi dan penerapan nilai-nilai murni.

Ketika ini, 40 peratus daripada rakyat Malaysia terdiri daripada mereka yang berumur di bawah 18 tahun. Kira-kira separuh daripada kumpulan ini boleh digolongkan sebagai belasan tahun.

Jadi adalah amat penting untuk remaja belasan tahun ini diberikan peluang terbaik membesar sebagai orang dewasa yang mempunyai kepercayaan antara satu sama lain. Ini akan menyumbang kepada kebaikan untuk masyarakat.

Kebahagiaan menjadi ibu bapa membawa bersama tanggungjawab yang amat berat. Mudah untuk memperkatakan isu ini tetapi berat untuk dilaksanakannya.

Mereka yang mempunyai anak pasti tahu betapa susahnya membesarkan mereka. Kita bukan sahaja mesti menyediakan keperluan asas tetapi juga aspek kerohanian dan bimbingan moral.

Ibu bapa perlu menanam dan mempraktikkan nilai-nilai positif dan berkualiti sepanjang masa.

Nilai kejujuran, ketabahan, kesabaran, toleransi, ketekunan, keadilan, menghormati orang tua dan kesedaran sivik perlu diterapkan.

Ia menjadi asas kepada anak-anak untuk membina keyakinan diri dan ketabahan serta membezakan perkara yang baik dan sebaliknya.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)

0 comments: