Imigresen tidak goyang kaki

Imigresen tidak goyang kaki

Oleh ZULKIFLI JALIL dan SITI MAISARAH SHEIKH ABD. RAHIM
pengarang@utusan.com.my

MOHD. Zamberi Abdul Aziz bukanlah orang baru di Jabatan Imigresen. Beliau pernah mengetuai bahagian penguat kuasa agensi itu sekitar tahun 1990-an selama lima tahun.

Bagaimanapun, senario ketika itu jauh berbeza terutama apabila membabitkan kemunculan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

Pendekatan tindakan penguatkuasaan turut berbeza. Ketika itu tindakan lebih tertumpu kepada pengawalan di sekitar pintupintu masuk haram yang tidak diwartakan oleh kerajaan.

"Kalau kita lihat isu PATI sekitar tahun 1980-an dan 1990-an, boleh dikatakan lebih 50 peratus daripada mereka masuk secara haram sama ada melalui sempadan darat atau laut, yakni bukannya melalui pintu utama yang dibenarkan.

"Tetapi keadaan sekarang sebaliknya. Hanya 30 peratus memasukinya cara begitu," kata beliau yang mengambil alih jawatan Pengarah Penguatkuasa Imigresen daripada Datuk Ishak Mohamad atau dikenali sebagai Pak Sako, sejak lima bulan lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia dalam pertemuan di Putrajaya baru-baru ini, Mohd. Zamberi memberitahu, cabaran menghadapi PATI pada alaf baru ini merupakan suatu tugas rumit apabila skop penguatkuasaannya tidak lagi tertumpu kepada pencegahan 'di jalan-jalan tikus.'

"Walaupun pada mulanya memasuki negara ini secara sah, mereka selepas itu mengambil kesempatan pula untuk tinggal di sini selepas tamat tempoh dengan melanggar syarat pas.

"Kumpulan inilah yang lebih ramai sekarang dan mereka tetap dianggap PATI. Walaupun masih mempunyai 'pas kemasukan'," tegasnya.

Kebanjiran PATI di negara ini menimbulkan kebimbangan rakyat Malaysia apabila dikatakan bilangannya melebihi mereka yang datang secara sah.

Begitupun, jelas Mohd. Zambery, jumlah sebenar PATI di negara ini tidak dapat dianggarkan kerana tidak ada statistik yang tepat. Ia sekadar anggaran yang dibuat oleh sesetengah pihak berdasarkan pemerhatian rambang.

''Jumlah PATI susah kita nak anggar sebab dia tidak daftar, bila tak daftar tidak ada rekod.

''Kalau pada tahun 80-an, kita buat anggaran jumlah PATI berdasarkan nisbah 1:1 iaitu setiap seorang warga asing yang sah, maka terdapat seorang PATI. Tetapi keadaan sekarang sebaliknya. Jika 100 orang warga asing diperiksa, kebiasaannya tidak lebih 20 orang adalah PATI.

''Jika dulu 1:1 sekarang mungkin 4:1 iaitu kalau dulu ada sejuta yang sah, maka ada sejuta PATI.

Sekarang jika ada dua juta yang sah manakala PATI tidak lebih 500,000 orang. Tetapi itu anggaran sahaja, tidak ada angka tepat," katanya.

Membincangkan isu itu lebih serius, Mohd. Zamberi tidak menolak trend rakyat negara ini yang berani mengambil pembantu rumah di kalangan PATI tanpa mempedulikan undang-undang negara.

Walaupun jumlahnya tidak dapat ditentukan dengan tepat, beliau percaya ada kalangan rakyat negara ini membuat 'kerja' sedemikian memandangkan permintaan terhadap perkhidmatan pembantu rumah semakin tinggi.

Bagaimanapun tindakan penguatkuasaan bagi mencekup PATI di kalangan pembantu rumah diakui sendiri Mohd. Zambery sangat sukar.

Ini kerana anggota penguat kuasa tidak akan 'menang tangan' untuk memeriksa 350,000 buah rumah bagi mencari PATI di kalangan 400,000 pembantu rumah warga asing yang berdaftar.

''Kalau di sektor industri, setiap satu majikan ada lebih kurang 400 pekerja tetapi pembantu rumah, kebiasaannya setiap seorang majikan hanya ada satu pembantu rumah.

''Jadi kalau kita nak periksa rumah ke rumah tidak begitu berbaloi.

''Oleh itu, kita hanya membuat pemeriksaan berdasarkan maklumat dan aduan orang ramai sahaja dengan mengenal pasti terlebih dahulu alamatnya dan akan diperiksa secara terus dan bukannya secara serbuan," katanya.

Dan barangkali ramai yang mungkin tidak tahu atau sekadar memejam mata akan risiko atau bahananya mengambil PATI sebagai pembantu rumah atau menyalahgunakan pas pekerja mereka.

Jelas Mohd. Zamberi, mereka yang 'menggaji' PATI bukan sahaja akan berputih mata jika berlaku sesuatu di luar dugaan seperti anak atau barang mereka dilarikan atau dicederakan. Malah, lebih malang lagi, majikan terbabit akan dihukum mengikut undang-undang yang ditetapkan.

''Mereka boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati melindungi PATI di bawah seksyen 56(1D) atau denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih 50,000 serta penjara setahun bagi kesalahan menggaji PATI," katanya.

Bagaimanapun, menurut Mohd. Zamberi, ramai yang menganggap memiliki pas pekerja atau pasport sudah cukup sebagai satu tiket kebebasan yang melayakkan pekerja asing itu diambil bekerja sebagai pembantu rumah.

''Mereka fikir selagi ada pasport dan ada pas dia boleh kerja. Begitu juga dengan pembantu rumah. Kalau nak ambil pembantu rumah, walaupun dia ada pasport dan ada pas tetapi untuk bekerja dengan orang lain, maka dia tidak layak ambil pembantu rumah itu.

''Ini bererti pembantu rumah itu salah guna pas. Bila salah guna, kita tetap anggap dia itu PATI. Jika pembantu rumah itu PATI, maka majikan tersebut bersalah sebab dikira menggaji PATI," jelasnya.

Cabaran fungsi dan peranan Jabatan Imigresen tidak sekadar tertumpu kepada penangkapan PATI. Lebih dari itu, agensi tersebut turut bertanggungjawab dalam penghantaran pulang PATI ke negara asal mereka.

Menurut Mohd. Zamberi, depot tahanan ketika ini berada pada tahap maksimum berikutan jumlah penangkapan yang dibuat melebihi penghantaran pulang.

''Nak hantar pulang bukan senang kerana ia mengambil masa disebabkan masalah PATI yang tidak ada dokumen.

''Proses mendapatkan dokumen amat susah kerana perlu diperoleh daripada kedutaan. Ada negara yang mempunyai syarat ketat untuk mengeluarkan dokumen kerana perlu memeriksa identiti rakyat mereka terlebih dahulu di depot, kemudian balik tengok di negara asal sama ada dia ini betul ke rakyat mereka.

''Disebabkan proses lama itu, kerajaan terpaksa menanggung kos berjuta-juta ringgit bagi perbelanjaan 9,000 PATI yang berada di 13 depot tahanan seluruh negara," ujar beliau sambil berkongsi pengalaman anggotanya menangkap PATI sehingga ada kalanya melibatkan mereka yang mempunyai anak kecil sehingga menimbulkan keadaan serba salah untuk menahan mereka.

Nada Mohd. Zamberi kembali serius apabila menggambarkan tanggungjawab Imigresen yang harus dipikul demi memastikan negara bebas daripada PATI.

Jelasnya, pernah Jabatan Imigresen dicemuh kerana dianggap tidak menjalankan tugas menangkap PATI.

Mohd. Zamberi memberitahu, sejumlah 24,315 tangkapan dibuat dalam tempoh enam bulan ini sahaja.

Warga Indonesia merupakan paling ramai ditahan iaitu seramai 10,082 orang, diikuti Filipina (4,304), Bangladesh (3,316), Myanmar (1,626), India (1,077) dan Thailand (965).

Tangkapan ke atas warganegara China pula seramai 386 orang termasuk Pakistan (325) dan Kemboja (222) manakala lain-lain negara 1,359 orang.

''Ini bererti kami bukan goyang kaki sahaja," tegasnya.

Kerana itu, Mohd. Zambery mahu orang ramai mengubah persepsi terhadap kedatangan warga asing ke negara ini. Kehadiran warga asing turut menyumbang dalam pembangunan negara.

''Sebenarnya jumlah PATI tidak sampai satu juta seperti yang diuar-uarkan. Jangan apabila melihat warga asing, terus mengandaikan mereka itu PATI. Tanggapan ini sebenarnya tidak tepat.

''Warga asing yang masuk dan tinggal secara sah adalah lebih kurang lima juta. Mereka inilah indikator kepada kejayaan-kejayaan program kerajaan," katanya.

Justeru, rakyat harus mengetepikan tanggapan kedatangan warga asing ke Malaysia sebagai suatu bentuk ancaman. Sebaliknya sebagai penyumbang kepada kejayaan program kerajaan dalam pelbagai aktiviti seperti hub halal, teknologi maklumat, pusat pendidikan serantau, pusat perubatan dan pelancongan.

''Kerajaan juga menggalakkan kemasukan pelabur asing secara profesional dan mahir untuk mempercepatkan bidang teknologi," kata Mohd. Zamberi.

0 comments: