Isu tanah NCR boleh jadi mudah, rumit
Oleh FAUZI JAAFAR
pengarang@utusan.com.my
SATU pertemuan antara pihak media dengan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak diadakan kelmarin. Pertemuan dalam bentuk informatif itu sedikit sebanyak dapat mewujudkan hubungan baik antara pihak media dengan pegawai-pegawai jabatan tersebut.
Pengarah JTS, Sudarsono Osman berkata, hubungan baik dengan media amat penting untuk pihaknya melakukan misi menguruskan sebarang aspek berkaitan tanah. Malah dalam ucapannya juga beliau berkata, pihak media boleh membantu untuk memudahkan mereka (JTS) atau boleh juga menjadikannya lebih rumit.
Ada asasnya apa yang beliau tekankan itu tetapi bagaimana pula dengan alasan yang patut dikemukakan oleh pihak media dalam melaporkan sebarang isu-isu mengenai tanah.
Perinsip asas berita terutamanya di negara-negara barat amat mudah iaitu good news ia a bad news Bagaimanapun pendekatan itu tidak sesuai diamalkan di negara ini.
Amalan media di negara ini banyak bersandarkan kepada laporan iaitu wartawan melaporkan tentang sesuatu isu berdasarkan kepada apa yang diberitahu.
Mengambil contoh dalam isu tanah misalnya, wartawan mendapatkan maklumat daripada orang ramai melalui kaedah temu ramah sebelum ia disiarkan.
Berita itu mungkin kelihatan berat sebelah, namun untuk menjadikannya lebih seimbang, amat sukar kerana ada sesetengah isu sukar diperjelaskan oleh pihak-pihak yang sewajarnya. Mungkin ia terlalu sensitif atau di luar bidang kuasa.
Walaupun media bersenjatakan mata pena yang diungkapkan sebagai mata pena itu lebih tajam daripada pedang, kadang-kadang mata pena itu juga mampu menikam diri sendiri.
Tanah bagi orang Iban iaitu penduduk majoriti di Sarawak adalah 'nyawa' mereka. Tanpa 'nyawa' sudah tentu mereka tidak akan hidup di Bumi Kenyalang ini.
Dari tanah itu, aktiviti ekonomi dapat dijana dan sekali gus memberi faedah yang banyak kepada mereka yang mengusahakannya.
Tanah juga amat penting bagi kerajaan untuk dibangunkan. Kerajaan yang dipilih oleh rakyat sudah tentu diamanahkan untuk membalas jasa melalui pembangunan.
Tanpa pembangunan, negeri dan negara akan mundur dan sekali gus akan memberi kesan kepada rakyat sama ada mereka akan hidup miskin, kebuluran, tidak berpengetahuan dan penyakit-penyakit sosial yang lain.
Dalam erti kata yang lain, hidup dan mati manusia sememangnya memerlukan tanah. Di negeri ini, isu tanah yang banyak dibangkitkan ialah Tanah Hak Adat Bumiputera atau NCR.
Isu ini amat sensitif dan beberapa blog menjadikan isu ini untuk kaum Iban terutamanya menentang kerajaan. Isu NCR ini seperti air sungai Batang Rajang, tenang di permukaan tetapi bergelora di dasarnya.
Misalnya pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air baru-baru ini, pembangkang menjadikan isu ini sebagai senjata untuk meraih undi.
Pembangkang menggantung sepanduk mendakwa Barisan Nasional (BN) merampas tanah kaum Iban. Bagaimanapun senjata tersebut makan tuan menyebabkan pakatan pembangkang tewas di kawasan majoriti Iban tersebut.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pernah menjalankan penyelidikan mengenai 'Perspektif Perundangan mengenai Hak Tanah Adat Asli' di Sarawak berikutan aduan yang banyak diterima daripada pelbagai kumpulan masyarakat pribumi sejak ia membuka pejabatnya di Sarawak pada 2000.
Setakat tahun lalu, sejumlah 287 aduan, termasuk 158 berkaitan hak tanah adat, diterima. Berikutan itu didapati wujud jurang persepsi tentang apa yang dilihat sebagai hak adat pribumi ke atas tanah antara masyarakat pribumi dengan agensi-agensi negeri, bersama perusahaan swasta.
Namun, kerajaan negeri berpendapat isu NCR sebenarnya disensasikan untuk tujuan meraih undi dan menentang kerajaan.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu berkata hanya sebahagian kecil sahaja daripada tuntutan pertikaian itu masih menantikan keputusan mahkamah.
Manakala pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain penulis blog cenderung untuk memesongkan berita bagi menawan emosi negatif khalayak mereka.
''Dalam proses melaksanakan usaha sama (untuk membangunkan tanah NCR), kami berdepan banyak kes tuntutan bertindih membabitkan pemilik tanah NCR sendiri dan terdapat juga pertikaian antara rumah panjang," katanya.
Beliau berkata ada juga tuntutan dan tuntutan balas membabitkan tanah NCR, yang menurut rekod kerajaan, adalah tanah negeri. Di Sarawak, kira-kira 161,870 hektar tanah NCR terbiar dibangunkan secara usaha sama oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (LCDA) sejak 1996 dan telah pun mula menunjukkan keputusan positif.
Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra) turut membangunkan kira-kira 52,600 hektar tanah NCR kepunyaan 16,000 peserta, dengan dividen dibayar kepada pemilik tanah berjumlah RM295 juta sehingga 31 Disember tahun lepas.
Dalam hal NCR ini, pengetahuan dan maklumat yang tepat amat perlu supaya tidak menimbulkan sebarang kerumitan di kemudian hari.
Penduduk di rumah panjang terutamanya di kawasan pedalaman perlu diberi kefahaman yang jelas mengenai NCR supaya mereka tidak mudah dieksploitasikan.
PENULIS ialah Ketua Biro Utusan Malaysia di Kuching, Sarawak
0 comments:
Post a Comment