Pertunjukan kuasa Rusia-AS

Pertunjukan kuasa Rusia-AS


PRESIDEN Rusia Dmitry Medvedev menghadiri upacara memperingati kemenangan ke atas tentera Nazi Jerman sempena ulang tahun Perang Dunia Kedua Ke-64 di makam Unknown Soldier, Kremlin Wall di Moscow semalam. - REUTERS


ISU latihan ketenteraan negara-negara anggota NATO di wilayah Georgia yang bermula Rabu lalu sehingga 3 Jun depan kembali memuncakkan ketegangan hubungan antara Rusia dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Latihan ketenteraan berskala penuh itu membabitkan kira-kira 1,300 komando daripada 19 buah negara anggota NATO dan dijalankan secara dua peringkat dengan nama Cooperative Longbow dan Cooperative Lancer.

Rusia melihat latihan ketenteraan itu sebagai satu bentuk provokasi dan ancaman kepada keselamatan negara berkenaan.

Kebimbangan Rusia itu bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana negara itu kini tidak mempunyai pengaruh dan kuasa yang nyata di Eropah Timur.

Selepas keruntuhan Kesatuan Soviet pada 1991, Rusia gagal mempertahankan kesatuan yang pernah dibina sejak bermulanya perluasan pengaruh komunis di Poland hingga ke seluruh Eropah Timur selepas 1945.

Justeru, dari sudut strategi ketenteraan dan keselamatan, Rusia memerlukan wilayah Georgia termasuk negara-negara bekas Kesatuan Soviet sebagai wilayah penampan dan pertahanan.

Kerana itu juga sebarang perubahan dalam dasar Georgia yang menjurus kepada mengadakan hubungan baik dengan NATO dilihat mampu melemahkan kekuatan pertahanan Rusia.

Perkara itu turut disorot oleh pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling.

Menurut Mohamad Faisol, dari aspek strategi politik, Rusia telah pun dikhianati oleh negara-negara sekutunya.

Ia berlaku apabila kerajaan-kerajaan Stalinist Eropah Timur yang pada satu ketika dulu merupakan negara satelit kepada ekonomi, politik dan ketenteraan Rusia mula beralih kepada Amerika Syarikat (AS) melalui NATO selepas 1991.

Negara-negara itu termasuk Poland, Republik Czech, Hungary, Slovenia, Rumania, Bulgaria Georgia, Ukraine, Azerbaijian, Moldova dan Uzbekistan.

Rusia juga tambah Mohamad Faisol, menyedari strategi AS yang cuba melemahkan kekuatan tentera negara itu melalui jalinan hubungan baik dengan negara bekas Kesatuan Soviet.

Kerana itu juga Rusia menentang cadangan penempatan sistem pertahanan peluru berpandu di Republik Czeh dan Poland di sempadan negara itu.

Penempatan sistem antipeluru berpandu itu hakikatnya bukan bertujuan melindungi negara Eropah daripada serangan peluru berpandu Korea Utara atau Iran.

Ini kerana peluru berpandu Korea Utara dapat diatasi dengan adanya sistem pertahanan peluru berpandu kebangsaan AS yang ditempatkan di Asia Timur sejak 2004.

''Sebaliknya, penempatan sistem anti peluru berpandu di dua negara bekas Kesatuan Soviet itu bertujuan memintas peluru berpandu dari Rusia," katanya.

Di samping itu, Kekuatan Rusia juga telah dikekang menerusi penempatan tentera AS di Eropah Barat dan Eropah Timur.

AS juga sudah menempatkan tentera dan pangkalan ketenteraan di negara-negara sekutu berhampiran dengan sempadan Rusia. Ia termasuk Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Uzbekistan dan Turki.

Malah, AS juga sedang berusaha mendapatkan persetujuan untuk membuka pangkalan tentera di negara berhampiran dengan Rusia iaitu di kawasan Laut Hitam dan Laut Kaspia seperti Armenia dan Azerbaijan.

"Gerogia sendiri ketika ini telah pun menempatkan kira-kira 200 penasihat ketenteraan AS dan NATO di negara mereka," ujar Mohamad Faisol.

Di sebelah pihak Georgia, sokongan yang diterima daripada NATO ibarat payung untuk melindungi keselamatan negara itu daripada ancaman tentera Rusia.

Apatah lagi Georgia ketika ini sedang berdepan dengan ancaman pemberontakan dari dalam iaitu di wilayah Ossetia Selatan dan Abkhazia yang pro kepada Rusia.

Menurut Mohamad Fasiol, AS dan NATO cuba membawa masuk Georgia sebagai negara anggota, namun bimbang akan kekuasaan Rusia.

Tindakan Rusia mempamerkan kekuatan dalam perang dengan Georgia tahun lalu menyebabkan AS menimbang untuk campur tangan secara langsung atau sebaliknya dalam konflik itu.

Operasi ketenteraan Rusia yang hanya menggerakkan sedikit kekuatannya juga memberi kesan besar kepada keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kuasa negara itu.

Selama ini masyarakat antarabangsa hanya dipamerkan dengan kekuatan ketenteraan AS selepas 1991 yang bongkak mempamerkan kekuatan tentera mereka.

Antaranya dalam Perang Iraq (1991), Perang Balkan (1990-1994), Perang Afghanistan (2002) dan Perang Iraq (2003). ''Sebaliknya, masyarakat antarabangsa kini terpegun dengan kemampuan ketenteraan Rusia yang dilihat 'masih gagah' dan merupakan gergasi ketenteraan dalam perang Rusia-Georgia," katanya.

Georgia sendiri pada NATO tidak hanya bernilai dari sudut strategi politik dan ketenteraan. Sebaliknya merupakan sumber kekuatan ekonomi kerana kedudukan negara itu di antara dua laut utama.

Gerogia menjadi negara penyaluran minyak dari wilayah di kawasan Laut Kaspia ke kawasan Laut Mati.

Sumber ini perlu dilindungi oleh NATO memandangkan ia merupakan nadi ekonomi utama negara anggota itu dan sekutu AS di Eropah khususnya di wilayah Barat.

''Sebarang penguasaan AS ke atas negara paip minyak Laut Kaspia dan Laut Hitam akan menyebabkan Rusia semakin terhimpit. Ini akan menjejaskan proses kebangkitan Rusia sebagai kuasa ekonomi dan ketenteraan dunia,"ujar Mohamad Faisol.

Menarik untuk diperhatikan dalam senario tarik tali antara Rusia dan AS berhubung isu Georgia ialah bukti meletusnya Perang Dingin kedua.

Ia terserlah apabila kedua-dua negara saling memulih dan memperluaskan pengaruh masing-masing dalam sistem antarabangsa.

Namun Mohamad Faisol berkata, dimensi Perang Dingin ini mungkin lebih sengit kerana ia membabitkan China yang ketika ini turut mengatur strategi memperkukuhkan pengaruh mereka.

Walaupun konflik bersenjata antara Rusia dan AS adalah rendah, namun bukanlah mustahil ia membawa kepada tercetusnya Peperangan Proksi (Proxy War) seperti mana yang berlaku ketika era Perang Dingin (1945-1991).

0 comments: