BISIK-BISIK

BISIK-BISIK

AWANG tidak dapat bayangkan bahana syabu hampir satu tan ke atas masyarakat kita, jika polis gagal memintas lori yang membawa dadah bernilai RM254 juta itu di Rompin Sabtu lepas.

Dadah seberat itu, yang dikenal pasti untuk edaran tempatan, pasti mampu membunuh sekian ramai secara perlahan-lahan atau setidak-tidaknya menjadikan hidup terutama mereka yang terbabit merana serta melarat.

Justeru, Awang tabik kepada pihak berkuasa yang berjaya menghidu dengan pantas gerakan dan kaedah penghantaran dadah tersebut yang dipercayai dibawa masuk menerusi Laut China Selatan.

Awang juga tidak lupa kejayaan pihak berkuasa mengesan makmal haram memproses dadah di Lunas, Kedah dan di Semenyih, Selangor sebelum ini.

Itu semua belum mengambil kira kejayaan pihak berkuasa merampas dadah di lapangan terbang, sempadan dan di tempat-tempat lain.

Apa yang boleh kita belajar daripada kejayaan polis membanteras kegiatan berkaitan dadah ialah kepelbagaian kaedah yang digunakan bagi mengelirukan pihak berkuasa.

Oleh itu, setiap orang perlu membantu pihak berkuasa dengan melaporkan apa juga kegiatan mencurigakan di sekeliling mereka. Ia perlu dibanteras habis-habisan.

Awang - Benci dadah.

0 comments: