Mengharap pemimpin ubah nasib rakyat bawahan
TANGGAL 1 Mei berlalu di Indonesia tanpa cuti umum sempena sambutan Hari Pekerja sedunia sebagaimana dinikmati oleh pekerja di kebanyakan negara.
Sebaliknya hari berkenaan dipenuhi dengan aksi tunjuk perasaan di beberapa lokasi seluruh republik berkenaan dan yang paling besar berlaku di Jakarta.
Dalam aksi demonstrasi itu seorang penunjuk perasaan cedera setelah bertempur dengan polis yang mengawal situasi supaya tidak menjadi bertambah kecoh.
Tuntutan para penunjuk perasaan itu adalah mahukan gaji yang lebih munasabah dan skim kerja terjamin dan bukan hanya kerja dalam bentuk kontrak tanpa caruman simpanan atau bayaran pencen.
Bayaran upah yang terlalu rendah memang menjadi fenomena biasa bagi negara yang mempunyai kira-kira 280 juta penduduk ini.
Seorang pemandu peribadi yang pernah diwawancara oleh penulis memberitahu dia dibayar gaji kira-kira RM320 sebulan dan dengan gaji yang sekecil itu untuk makan sekeluarga sahaja tidak mencukupi.
Kos sara hidup di kota metropolitan Jakarta tidak banyak bezanya dengan kos sara hidup bandar raya lain termasuk Kuala Lumpur, tetapi bayangkan dengan gaji sebanyak RM320 bagaimana hendak meneruskan kehidupan seharian.
Jadi ramai yang menjadikan kolong-kolong, tepi-tepi landasan kereta api untuk dibina rumah setinggan kerana tidak mampu menyewa apatah lagi untuk membeli rumah.
Itupun bayaran RM320 sebulan itu dikira lumayan berbanding kebanyakan mereka yang bekerja sebagai pembantu rumah di Jakarta hanya dibayar gaji kira-kira RM150 sahaja.
Jadi tidak hairanlah mereka terpaksa hidup ala kadar sahaja dan jarang sekali untuk menikmati daging di dalam hidangan harian sebaliknya hanya tempe dan pucuk ubi kayu menjadi menu utama harian.
Justeru rakyat berharap para pemimpin yang dipilih pilihan raya kali ini akan lebih bertanggungjawab membela nasib mereka yang hidup dalam keadaan daif.
Namun kecurangan demi kecurangan didedahkan pada yang berlangsung pada 9 April lalu membuatkan harapan rakyat semakin pudar untuk melihat pemimpin yang benar-benar tulus memperjuangkan nasib mereka terpilih.
Kecurangan demi kecurangan itu menyebabkan Suruhanjaya Pemilihan Umum (KPU) masih bertungkus lumus menangani bantahan-bantahan dibuat oleh ahli-ahli politik walaupun rakyat telah melupakan pilihan raya.
Sehingga 6 Mei lalu hanya 48.3 peratus sahaja undi dapat dikira oleh KPU, sehingga menimbulkan kebimbangan apakah pengiraan undi dapat diselesaikan atau undi dari 25 daerah atau hampir 83 juta daripada kira-kira 171 juta pemilih.
Beberapa kawasan undi masih lagi bermasalah seperti di Papua, Maluku, Bengkulu, Sulawesi dan Kalimantan tidak dapat dilakukan pengiraan undi.
KPU memulakan pengiraan secara manual sejak 26 April lalu dan sasarannya 6 atau 7 haribulan Mei semuanya akan selesai.
Tempoh yang semakin singkat ini dikhuatir akan menjejaskan ketepatan pengiraan undi kerana keputusan pilihan raya harus diumumkan hari ini (9 Mei).
Setakat ini Parti Demokrat masih lagi menguasai tempat pertama dengan 20.7 peratus undi dengan diikuti oleh Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan dengan 14.89 peratus undi, Parti Golkar pula dengan 14.64 peratus.
Selepas ini rakyat Indonesia akan menghadapi Pilihan Raya Presiden pula, semoga pemimpin yang terpilih kelak sedar akan realiti rakyat yang telah lama berharap nasib mereka berubah.
Tidak ada satu individu pun yang mahu hidup miskin melarat di kolong-kolong dengan anak kecil cacat kerana kekurangan zat dan ahli keluarga lain pula menderita pelbagai penyakit kronik tanpa rawatan.
Melainkan mereka tidak mempunyai pilihan lain kerana terperangkap dalam kitaran kemiskinan dan desakan hidup yang ganas sehingga membuatkan mereka hanya mampu berharap suatu hari nanti akan berada di tampuk pimpinan negara seorang pemimpin yang prihatin dengan nasib mereka.
0 comments:
Post a Comment