Nilai murni perlu jadi budaya kita
Oleh Siti Suriani Othman
ARTIKEL saya minggu lalu mendapat maklum balas paling banyak berbanding sebelum ini. Ada yang menulis untuk bertanyakan lebih lanjut mengenai keadaan yang digambarkan dan ada pula berkongsi pengalaman di luar negara.
Tulisan mengenai pengalaman masyarakat Barat yang dilihat lebih beretika berbanding orang Timur kononnya lebih berbudi bahasa serta lebih terkawal mindanya daripada pelbagai aspek membuka minda pembaca dan membuatkan yang belum pernah ke luar negara dapat membayangkan kehidupan seharian di Barat yang diberi gambaran buruk saja.
Sungguhpun masyarakat Barat kurang bermoral dan lalai agamanya, mereka peka dengan persekitaran. Tidak keterlaluan jika dikatakan mereka jujur dalam mengharungi hidup dan beretika tinggi. Memang tidak salah jika kita tidak memberi ruang kepada wanita mengandung atau warga emas bertongkat duduk di dalam bas, namun tidak tercabarkah kepekaan dan perikemanusiaan kita tatkala melihat keadaan itu?
Di Malaysia mungkin kita rasa tidak tercabar kerana orang lain juga bersikap seperti kita, tetapi di Barat perkara itu jarang terjadi kerana sifat kepekaan mereka lebih tinggi. Ramai yang bertanyakan di mana silap kita sebagai masyarakat yang rata-ratanya beragama Islam dan dididik dengan budaya Timur, tetapi tidak mengamalkan sikap baik itu.
Hendak dikatakan tidak menghayati ajaran agama, masyarakat Barat hari ini lebih ramai yang tidak lagi beragama atau athies. Jika tahap beragama dan ketaatan yang menjadi ukuran, maka mereka kalah dengan kita. Itu nyata sekali. Namun apakah yang menjadikan mereka lebih 'baik' daripada kita?
Boleh dikatakan budaya tradisional yang menjadi ikutan kita banyak memainkan peranan dalam membentuk diri dan amalan seharian. Sifat budaya yang berakar umbi sekian lama membuatkan sesuatu yang menjadi ikutan tidak lagi dipertikaikan, tidak dijelaskan 'mengapa' dan 'bagaimana' sesuatu itu dituruti, apatah lagi mempersoalkannya.
Dalam banyak keadaan, ikutan budaya ini tanpa kita sedari sebenarnya adalah satu kesilapan, membuatkan pengamalnya merasakan 'itulah keadaannya' tanpa ada ruang mempersoal salah dan benar.
Ada kajian Barat yang menunjukkan ketidakselarian antara agama yang dianuti dengan etika penganutnya. Islam adalah antara agama yang dikaji dan kajian itu mendapati sungguhpun ajaran Islam mementingkan etika mulia, ia tidak diamalkan penganutnya. Ketidaktaatan kepada ajaran sebenar dan kurang penghayatan serta pengaruh budaya dikatakan faktor kepada keadaan ini.
Seorang pembaca yang pernah menuntut di Amerika Syarikat dalam e-mel kepada saya menyatakan, pengalaman dan amalan baik yang diperhatikannya selama empat tahun di Amerika, dititipkan kepada ahli keluarga dan sanak saudara, dengan harapan menjadi amalan di Malaysia kelak.
Sungguhpun proses ini sedang melalui evolusi yang panjang serta sedikit demi sedikit, usaha ini perlu diteruskan kerana walaupun sedikit, akhirnya ia nanti akan membukit juga. Yang penting, usaha itu diteruskan dengan apa cara sekalipun sehingga akhirnya membentuk masyarakat Malaysia lebih prihatin dan berkasih sayang.
Memang benar itulah harapan kita yang pernah rasai perbezaan budaya di Timur dan Barat. Peranan yang perlu dimainkan oleh setiap insan yang berpeluang ke luar negara bukan kecil, bukan hanya setakat mendapatkan ijazah untuk diri, malah perlu banyak memerhati dan belajar daripada persekitaran.
Dalam tempoh pembelajaran itu, penting untuk kita berkenalan dan berkawan dengan ramai warga asing untuk mengenali dan mendekati budaya mereka. Pengalaman yang tidak dapat dibaca melalui buku-buku akademik itu pula dipanjangkan kepada rakan taulan yang tidak pernah melihat aspek baik masyarakat Barat ini.
Memang bukan mudah untuk mengubah sikap manusia sekelip mata, namun dengan bilangan individu ke luar negara yang semakin bertambah, kita dapat menggunakan pengalaman untuk mengubah kejelekan sikap masyarakat kita.
Anak muda boleh mula dididik untuk beratur membeli makanan. Tidak perlu jauh, ketika berkunjung ke Singapura beberapa tahun lalu, saya melihat seorang pelanggan kedai nasi ayam sanggup beratur walaupun di depannya hanya ada seorang pelanggan. Itu bukan senario di tempat kita maka kerana itulah jika kita beratur dengan jujur, kadang-kala kita tidak sampai ke destinasi.
Ada saja mereka yang memotong barisan tanpa belas. Kita akhirnya yang jadi marah dan tertekan. Mungkin kerana itulah saya berpeluang melihat seorang pelancong kulit putih yang tidak beratur untuk menaiki pesawat AirAsia di Malaysia.
Agak hairan dengan sikapnya yang berjalan terus ke hadapan, akhirnya saya tersenyum dan berbisik kepada suami 'mesti dia sudah berpengalaman beratur di Malaysia tetapi tidak sampai ke tempatnya sebab asyik dipotong.'
Melihatkan dia, timbul pula rasa kasihan kepada masyarakat kita. Jika benar andaian saya itu, nampaknya 'Mat Saleh' itu merasakan tiada ertinya dia beretika di Malaysia, bukan setakat dia tidak dihargai tetapi apa yang dikerjakannya juga menjadi lambat dan terjejas.
Ada juga e-mel yang menyatakan keresahan hatinya kerana setiba di Malaysia, dia ingin mempraktikkan pengalaman di UK, namun katanya 'saya berseorangan' dan nada pembaca itu seolah-olah menyatakan sukarnya menghadapi situasi ini seorang diri.
Di sini perlunya kita 'memanggil' kembali 'jiwa-jiwa' yang pernah ke luar negara untuk sama-sama mempraktikkan apa yang pernah mereka alami dulu. Saya percaya, golongan yang terlebih dulu berpeluang ke luar negara dapat melihat budaya Barat yang jauh lebih baik berbanding hari ini. Jika dibandingkan generasi muda Barat hari ini dengan generasi tuanya, yang muda nampaknya lebih angkuh.
Kerjasama antara setiap generasi yang pernah ke luar negara penting untuk memastikan budaya yang ingin diterap ini tidak tinggal harapan. Jangan pula setelah lama di Malaysia, kita kembali dengan sikap lama.
Penulis ialah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) yang melanjutkan pelajaran di Nottingham Trent University, United Kingdom
0 comments:
Post a Comment