Oleh Oybek Jamoldinivich Jabbarov
PENGALAMAN Oybek Jamoldinivich ditahan di Pusat Tahanan Amerika Syarikat di Teluk
Guantánamo, Cuba selama hampir tujuh tahun amat memeritkan, apatah lagi tanpa
sebarang dakwaan di mahkamah dan tidak dibuktikan secara sah segala kesalahan
yang pernah dilakukannya.
Pengalaman warga Uzbekistan jadi tahanan Amerika Syarikat tanpa peluang bela diri di mahkamah
TELUK GUANTANAMO: Saya menulis rencana ini dari Pusat Tahanan Amerika Syarikat di Teluk Guantánamo � tempat saya ditahan tanpa sebarang pendakwaan selama hampir tujuh tahun.
Penahanan saya di sini kerana berada di tempat yang salah pada masa yang salah. Lebih dua tahun lalu, saya diberitahu bahawa saya akan dibebaskan.
Saya sudah pasti gembira mendengar berita itu sekiranya saya bukan berasal dari Uzbekistan � negara yang memiliki rekod hak asasi manusia terburuk di dunia. Saya tidak akan selamat jika saya kembali ke tanah air.
Perjalanan saya ke Guantanamo bermula pada Disember 1998, selepas menamatkan perkhidmatan wajib dengan tentera Uzbekistan � sebuah negara bekas Republik Soviet yang miskin dan tidak memiliki peluang pekerjaan yang banyak.
Selepas beberapa bulan mencari kerja, saya menyertai abang menjalankan perniagaan membeli dan menjual epal, madu serta barangan lain di negara jiran, Tajikistan.
Di sana saya tinggal di kalangan masyarakat Uzbek dan bertemu dengan isteri saya, Fatima, juga warga Uzbek. Kami dikurniakan seorang cahaya mata dan ibu saya datang dari kampung, untuk tinggal bersama kami.
Malangnya, ada antara warga Tajikistan yang tidak dapat menerima kehadiran masyarakat Uzbek untuk menetap di negara mereka.
Hanya kerana alasan itu, suatu hari pada November 1999, pihak berkuasa Tajikistan menghimpunkan antara 200 hingga 300 rakyat Uzbek, mengumumkan bahawa mereka akan dihantar pulang ke Uzbekistan. Bagaimanapun, mereka membuang kami di Afghanistan.
Di sana, kami bertemu kumpulan Uzbek Afghan yang membantu kami menyesuaikan diri untuk menetap di Mazar-i-Sharif. Saya mula bekerja sebagai jurujual jalanan � menjual susu kambing, ayam betina, ayam jantan dan biri-biri.
Apabila perang meletus antara puak Taliban dan Pakatan Utara pada musim luruh 2001, saya tidak lagi boleh mengembara untuk meneruskan jualan, terperangkap di sebuah kedai minum untuk beberapa minggu.
Suatu hari, tentera Pakatan Utara datang ke kedai minum terbabit dan menawar untuk menumpangkan saya ke Mazar-i-Sharif.
Sebaliknya, mereka membawa saya ke Pangkalan Bagram Air dan menyerahkan saya kepada tentera Amerika Syarikat (AS) yang berada di sana. Hanya selepas itu, saya mendapat tahu bahawa tentera AS menawarkan beberapa ribu dolar untuk mana-mana tentera Taliban dan 'pejuang asing'.
Pada mulanya saya gembira kerana berada bersama tentera AS. Saya memandang tinggi AS dan menyangka apabila mereka sedar bahawa saya tidak bersalah, mereka akan melepaskan saya. Tetapi itu tidak berlaku, mereka menahan saya di Bagram, sebelum dihantar ke Kandahar dan akhirnya di Teluk Guantanamo.
Pada waktu itu, pihak AS sedar bahawa saya tidak sepatutnya berada dalam tahanan mereka dan memberitahu akan membebaskan saya. Tetapi ke mana saya hendak pergi? Beberapa anggota pasukan keselamatan Uzbek melawat saya di Guantanamo dan membuat tuduhan bahawa saya adalah ahli Pergerakan Islam Uzbekistan.
Apabila saya memberitahu bahawa saya tidak tahu langsung mengenai kumpulan itu, mereka memberi amaran � sebaik saja saya berada di tangan mereka nanti, mereka akan memastikan saya memberi kerjasama.
Tidak sukar untuk membayangkan cara yang akan mereka lakukan. Penyeksaan, dipukul dan pelbagai penganiayaan dilakukan terhadap tahanan Uzbek memang sudah tersebar luas. Ada kalanya langsung tidak ada berita mengenai tahanan terbabit.
Saya tidak bersendirian. Saya adalah sebahagian tahanan Guantanamo yang tidak boleh kembali ke tanah tumpah darah sendiri kerana kami kemungkinan akan diseksa dan didera.
Satu-satunya harapan kami untuk keluar dari penjara ini ialah jika ada negara menyediakan tempat selamat kepada tahanan seperti kami � manusia yang tidak melakukan sebarang kesalahan dan tidak sepatutnya ditahan di sini.
Penulis berusia 31, ialah tahanan di Pusat Tahanan Teluk Guantánamo. Rencana ini ditulis dengan bantuan Michael E Mone, dari firma guaman Esdaile, Barrett & Esdaile. Rencana sumbangan Project Syndicate
0 comments:
Post a Comment