Minda Pengarang: Kekecohan di DUN Perak mencabar kematangan demokrasi

Minda Pengarang: Kekecohan di DUN Perak mencabar kematangan demokrasi


KEKECOHAN yang berlaku pada mesyuarat pertama penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Ipoh kelmarin sehingga mesyuarat itu terpaksa ditangguhkan dua kali sebelum majlis perasmian dapat disempurnakan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah, sudah pastinya menjejaskan imej Malaysia sebagai sebuah negara mengamalkan demokrasi matang. Kita tidak tahu berapa banyak media cetak dan elektronik di seluruh dunia menyiarkan laporan mengenainya yang disalurkan oleh agensi berita asing, tetapi yang pasti video mengenai keadaan kelam kabut itu sudah tersebar luas melalui internet. Selama ini, kita menggeleng kepala apabila menonton di kaca televisyen kekecohan yang terjadi pada sidang Parlimen di negara lain seperti Taiwan dan Korea Selatan, dengan aksi kerusi terbang, bertumbuk dan sebagainya. Kini, ia berlaku di negara sendiri. Sememangnya, kekecohan di DUN atau Parlimen bukan perkara baru kerana tindakan jerit-menjerit dan maki-hamun sudah banyak kali dilaporkan berlaku di Parlimen. Bagaimanapun, apa yang terjadi di Perak itu ternyata sudah lari daripada prinsip demokrasi sebenar. Semua ini berpunca daripada tindakan pakatan pembangkang yang tidak menghormati undang-undang. Keadaan itu sepatutnya tidak berlaku kerana demokrasi di Malaysia diamalkan dengan cara yang menghormati tatasusila dan prinsip berasaskan peraturan dan undang-undang. Jika peraturan dan undang-undang tidak dihormati, maka berlaku tindakan yang mirip kepada undang-undang rimba seperti berlaku di DUN Perak itu.

Hakikatnya, dalam mana-mana kerajaan, sama ada peringkat Persekutuan atau negeri dalam negara yang mengamalkan demokrasi, parti atau gabungan parti yang mempunyai majoriti kerusi, walaupun hanya majoriti kecil, layak untuk memerintah. Oleh itu, apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas, tetapi menyokong Barisan Nasional (BN) pada Februari lalu, maka secara automatik Pakatan Rakyat yang diterajui DAP serta diketuai wakil Pas sebagai Menteri Besar, perlu memberi laluan kepada BN mengambil alih kerajaan negeri. Kerajaan Pas Kelantan pernah memerintah dengan hanya kelebihan satu kerusi di DUN Kelantan pada 2005, tanpa diganggu-gugat oleh BN, tetapi di Perak BN memperoleh 31 kerusi berbanding pembangkang hanya 28. Apapun, kita tunggu keputusan Mahkamah Tinggi Isnin ini untuk menentukan siapa sebenarnya Menteri Besar Perak yang sah antara Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Kita menyerahkan kepada budi bicara mahkamah membuat tafsiran perundangan meskipun kita percaya, amalan demokrasi tetap mengiktiraf parti yang mempunyai majoriti sepatutnya diberi laluan untuk menerajui kerajaan, tanpa mengira sama ada BN atau Pakatan Rakyat, seperti berlaku di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak sendiri selepas pilihan raya umum Mac tahun lalu. Kita berharap apabila mahkamah sudah membuat keputusan, semua pihak dapat menerimanya dengan hati terbuka, sekali gus mengakhiri kemelut politik yang merugikan seluruh rakyat Perak kerana kerajaan negeri tidak dapat berfungsi dengan baik dan wakil rakyat yang dipilih tidak dapat menjalankan amanah yang diberikan kepada mereka. Jika ada yang masih tidak berpuas hati, sama ada BN atau Pakatan Rakyat, kita serah balik kepada rakyat menentukannya pada pilihan raya umum akan datang.

0 comments: