Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN
pengarang@utusan.com.my
|
|
BANYAK pengajaran boleh direnungkan berikutan kejadian luar biasa yang mewarnai perjalanan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kelmarin.
Antaranya ialah motif pihak pembangkang. Ramai yang mengatakan ia hanya bertujuan untuk memalukan negara di mata dunia.
Sikap kurang ajar mereka membuktikan bahawa golongan ini sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan matlamat mereka terlaksana.
Peribahasa lama 'menang jadi arang, kalah jadi abu' dan 'biar putih tulang, jangan putih mata' cukup sesuai ditujukan kepada sikap mereka.
Apa pun 'drama' yang akan dikenang sepanjang zaman ini memberi kesan mendalam kepada mereka yang hadir sebagai pemerhati termasuk wartawan.
Tidak pernah terfikir, Malaysia akan mencatat sejarah sebagai sebuah negara yang tidak tahu menghormati prinsip-prinsip sistem demokrasi.
Sedangkan selama ini, kita dikenali sebagai masyarakat yang paling bersopan santun dan berhemah tinggi dalam menghadapi apa juga keadaan.
"Inilah sikap sebenar pembangkang yang melaung-laungkan demokrasi tetapi mereka sendiri tidak tahu menghormatinya," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Datuk Rusnah Kassim.
Akibat degil dan lagak samseng pembangkang, sidang DUN Perak berlangsung dalam suasana cukup memalukan selama kira-kira lima jam.
Selama lima jam itu juga, wujud dua menteri besar, dua Speaker dan dua sidang mewakili pakatan pembangkang dan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Malah Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah juga terpaksa menunggu lama sebelum dapat merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Ke-12 itu.
Dalam hal ini, pembangkang sengaja menggunakan kuasa Speaker untuk menafikan hak majoriti kerajaan BN yang mempunyai kelebihan tiga kerusi apabila mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas.
Bukan sahaja kedudukan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir tidak dihormati, mereka juga membelakangkan peranan institusi raja.
Apatah lagi fungsi Dewan yang selama ini dianggap 'mulia' oleh semua wakil rakyat atau Yang Berhormat (YB) sehingga mereka sanggup mengeluarkan kata-kata hinaan dan selamba berdiri di atas meja.
Mereka berani 'menyerang' habis-habisan ADUN BN kerana percaya setiap tindakan yang dilakukan itu akan mendapat sokongan rakyat.
Sepanjang tempoh itu juga, tiada wakil rakyat BN berada di kawasan pembangkang kecuali wakil rakyat pembangkang yang tidak henti-henti melakukan provokasi di kawasan BN.
Pendekatan 'baling batu sembunyi tangan' terus menjadi pegangan pembangkang untuk menambah keyakinan merekalah golongan 'teraniaya.'
Justeru, mereka bebas melakukan apa sahaja. Tidak perlu mengikut peraturan, tidak perlu hormat kepada Menteri Besar mahupun Sultan.
Mereka juga sibuk merakam kekecohan yang mereka sendiri lakukan untuk dijadikan bukti kepada dunia tentang 'kekejaman' pemerintah.
Ada yang mengatakan, inilah bahana apabila membiarkan peguam menjadi wakil rakyat. Golongan ini (bukan semua) akan melakukan apa sahaja untuk memastikan mereka 'menang' kes yang dibawa walaupun ia lebih banyak memberi keburukan daripada kebaikan kepada masyarakat.
V. Sivakumar seorang peguam, begitu juga Exco-Exco kanan kerajaan pakatan pembangkang yang pernah berkuasa selama 11 bulan di Perak.
Mungkin juga telah sampai masanya, ADUN dilarang membawa masuk telefon bimbit atau kamera kerana ia mungkin digunakan untuk tujuan tertentu.
Biarpun kekecohan terus tercetus, namun sidang DUN menyaksikan seorang Speaker baru akhirnya dilantik dan empat usul diluluskan.
Empat usul tersebut ialah pemecatan V. Sivakumar sebagai Speaker, pelantikan Datuk R. Ganesan sebagai Speaker baru, melantik ahli baru jawatankuasa negeri dan mengisytiharkan sidang DUN Perak di bawah pokok yang dipengerusikan oleh Sivakumar pada 3 Mac lepas sebagai tidak sah.
Walaupun pembangkang mempertikaikan pelantikan Ganesan dan usul yang diluluskan itu, peguam terkenal, Datuk Mohd. Hafarizam Harun berkata, semua tindakan tersebut dibuat mengikut peraturan-peraturan ditetapkan.
Penyingkiran Sivakumar sebagai Speaker kata beliau, adalah sah kerana satu notis telah dikeluarkan lebih 14 hari sebelum sidang bermula dan ia perlu dibahaskan serta diputuskan pada hari persidangan.
Berkenaan dengan tindakan Timbalan Speaker, Hee Yit Foong pula katanya, Perkara 36A (1)(b) menyebut, tanpa kehadiran Speaker, Timbalan Speaker boleh mempengerusikan sidang sehingga pelantikan Speaker baru.
Maka, tindakan ADUN Jelapang itu mengambil alih tugas serta peranan Sivakumar adalah mengikut peraturan-peraturan yang sah dan dibenarkan.
Kata Mohd. Hafarizam, Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan memberi imuniti usul yang diluluskan itu tidak boleh dicabar di mahkamah.
Maka, biarlah si luncai terjun dengan labu-labunya.
0 comments:
Post a Comment