Hukuman berat, penguatkuasaan dan litar mat rempit

Hukuman berat, penguatkuasaan dan litar mat rempit

Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my


DALAM minggu pertama Mei ini, tidak sampai 48 jam, tiga orang wanita maut angkara tangan peragut. Jangan kita melihat tiga nyawa itu sahaja. Imbas kembali laporan media masa lalu - mungkin berpuluh dan beratus nyawa wanita yang tidak berdosa sudah 'diragut' oleh peragut.

Ragut adalah satu masalah, dan pada masa yang sama, negara kini berdepan pula dengan satu lagi 'R' - rempit.

Mereka bukan setakat berlumba haram di atas jalan raya, tetapi turut terlibat dalam kegiatan jenayah dan melanggar undang-undang. Mereka juga terbabit dalam pergaduhan, rompak, ragut dan rogol.

Kita biasa mendengar pendapat mendakwa orang jahat amat sukar menjadi baik. Bila sudah jadi peragut dia akan melangkah setakuk lagi menjadi perompak dan kemudian pembunuh. Benarkah?

Mat rempit sudah terlalu banyak menyusahkan rakyat. Tidak tahu siapa mangsa seterusnya. Mungkin isteri, anak-anak, adik dan kawan kita. Tidak mustahil juga kita sendiri mungkin menjadi mangsa mereka.

Isu ragut dan rempit ini adalah masalah lama. Musimnya datang lagi tatkala kita bergelut dengan masalah politik dan ekonomi. Jadi sampai bila masalah ragut dan rempit ini harus dibiarkan berlarutan.

Ada pandangan atau persepsi - dari dahulu hingga sekarang sudah banyak cadangan diketengahkan untuk menangani isu ini, tapi tiada pendekatan serius yang diambil.

Kalau diselak buku laporan siasatan di Balai Polis, tentu setiap hari ada sahaja kes ragut dan lumba haram yang melibatkan mat rempit. Kes-kes jenayah yang membabitkan mat rempit dilaporkan semakin meningkat dengan mendadak sejak kebelakangan ini.

Dalam konteks ini, kita tidak wajar mengatakan usaha kerajaan dalam menangani masalah ini sebagai membazirkan wang, membuang masa dan mendedahkan risiko kepada anggota keselamatan yang terbabit.

Tetapi kepada peragut dan mat rempit, aktiviti itu bagaikan sudah menjadi amalan hidup mereka hinggakan seolah-olah mendapat 'kekuatan' kalau berjaya mengatasi peraturan yang dibuat oleh kerajaan.

Keberanian mat rempit menentang pihak berkuasa amat membimbangkan. Mereka dilihat sudah tidak sayangkan nyawa sendiri dan tidak peduli nyawa orang lain.

Apa yang jelas, golongan mat rempit sudah melampau. Mereka sudah hilang hormat terhadap kerajaan dan pihak berkuasa.

Kerajaan mesti bertindak tegas bagi menghalang dan mencegah kegiatan mereka. Ibu bapa, guru dan masyarakat harus bertanggungjawab untuk mencegah sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Lazimnya apabila gejala ini didedahkan oleh media, pelbagai idea dan cadangan dikemukakan. Ada yang mahu kerajaan menggibal hukuman lebih berat dan meningkatkan penguatkuasaan yang ketat.

Tidak kurang juga cadangan yang boleh disifatkan mengarut seperti mengehadkan motosikal memasuki kawasan tertentu di bandar raya, tidak dibenar bawa pembonceng dan sebagainya.

Adakalanya cadangan itu ada benarnya tetapi ia juga menyusahkan pengguna motosikal lain yang tidak terlibat dengan kegiatan rempit dan ragut.

Kita boleh bersetuju jika kerajaan ingin memperketatkan undang-undang jalan raya. Tetapi bagaimana penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada, sudahkah dilakukan?

Masalah kita untuk menangani sesuatu gejala ialah penguatkuasaan. Kita banyak melaksanakan program ke arah 'mendidik' orang ramai supaya mematuhi undang-undang. Tetapi apabila tiada penguatkuasaan atau pemantauan maka masalah lama akan timbul semula.

Kita kena terima hakikat ini. Cuba kita lihat semasa isu bohsia heboh diperkatakan pada pertengahan 1990-an, kerajaan lahirkan program Rakan Muda. Tujuannya untuk menyediakan program yang sesuai untuk remaja daripada mereka perleseran dan membuang masa.

Begitu juga untuk mengatasi masalah budaya lepak dan mat rempit, maka lahirlah Program Latihan Khidmat Negara supaya peserta yang terpilih mempunyai semangat patriotik dan menghargai diri untuk agama, bangsa dan negara.

Apabila timbul semula masalah mat rempit ini, apakah program yang difikirkan sesuai untuk golongan itu? Apakah kita patut melayan naluri mereka untuk berlumba dengan menyediakan litar untuk mat rempit?

Perkara ini kita perlu fikirkan setelah sekian lama kita tidak ambil peduli kepada mat rempit. Kita kena ingat bukan semua mat rempit jahat dan penjenayah.

Jika ada beberapa program diusahakan untuk golongan yang suka menyanyi seperti Akademi Fantasia, OIAM, Bintang RTM dan Mentor, malah untuk peminat sukan ekstrem pun ada gelanggangnya - susah sangatkah untuk disediakan litar untuk mat rempit?

0 comments: