Pengundi kena bijak pilih YB berkhidmat

Pengundi kena bijak pilih YB berkhidmat
Oleh Jamhariah Jaafar
bhnews@bharian.com.my

PERUBAHAN arus dalam senario politik negara turut membuatkan gelanggang politik bagai dilanda tsunami pada Pilihan Raya Umum 2008 lalu dengan parti pembangkang meraih manfaat besar - ramai muka baru dengan kewibawaan tidak teruji - menang dan buat pertama kali Barisan Nasional (BN) dinafikan mandat dua pertiga untuk memerintah dengan selesa.

Kini, 14 bulan berlalu dan kita mula menerima kesan kerana memilih calon tidak berwibawa. Semakin ramai wakil rakyat mula merasai hangatnya bahang politik, di samping menyedari betapa mereka tidak mampu melaksanakan tugas diamanahkan apabila sentiasa berdepan pelbagai permintaan, desakan, isu dan polemik yang silih berganti.

Dalam tempoh sesingkat ini, negara sudah melalui lima pilihan raya kecil dan beberapa lagi dijangka menyusul dalam tempoh terdekat. Ketika dunia mengalami krisis ekonomi yang serius, kita pula sibuk menghabiskan jutaan ringgit untuk mengadakan pilihan raya kecil.

Ramai calon, terutama dari parti pembangkang dipilih berdasarkan tangkap muat. Mereka yang menawarkan diri sebagai calon ini bukan di kalangan ahli politik sebenar, sebaliknya ada yang hanya pemandu teksi, tahanan ISA, perakam video kes berprofil tinggi dan mekanik.

Menjelang pilihan raya umum lalu, gelanggang politik ibarat arena sarkas. Ada di kalangan calon yang bertanding sekadar 'suka-suka' tanpa mengira tanggungjawab mereka kepada rakyat dan apabila menang mereka jadi gelabah serta tidak mampu melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

"Saya tidak menyangka tanggungjawab sebagai wakil rakyat ini begitu perit dan kini membebankan saya serta keluarga. Saya bukan saja terpaksa berhenti kerja selepas menang, malah wang gaji dan elaun saya sebagai Ahli Parlimen terpaksa diguna untuk diagihkan bagi membantu pengundi di kawasan, selain menyara hidup keluarga.

"Tanpa peruntukan khas, saya sendiri rasa malu untuk bertemu pengundi kerana tidak mampu membantu mereka. Saya bernasib baik kerana menang di kawasan bandar dan pengundi di sini tidak banyak kerenah. Saya tidak dapat bayangkan jika saya menang di luar bandar," kata seorang Ahli Parlimen pembangkang ketika ditanya caranya mendapat peruntukan untuk membantu rakyat di kawasannya.

Berikutan pelbagai tekanan dan masalah yang dihadapi, termasuk tidak tahan dengan cabaran, desakan, politiking dan paling perit tidak mempunyai peruntukan yang cukup untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing, ada di kalangan wakil rakyat ini mengambil jalan mudah dengan meletak jawatan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

Ini tidak termasuk wakil rakyat yang terperangkap dengan gejala salah laku seperti rasuah dan salah guna kuasa, selain munculnya pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh dan cuba mengambil kesempatan tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat dan negara.

Akibatnya, enam pilihan raya kecil dalam tempoh setahun - kerusi Parlimen Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan Bukit Gantang, selain Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dan Batang Air selain satu lagi pada akhir bulan ini, iaitu DUN Penanti - satu rekod baru Malaysia kerana pilihan raya kecil paling banyak diadakan dalam tempoh setahun ialah lima, iaitu pada 1999.

Malah, satu lagi pilihan raya kecil mungkin terpaksa diadakan iaitu bagi DUN Kota Alam Shah jika wakil rakyatnya, M Manoharan yang kini dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengosongkan kerusinya.

Apapun, rakyat yang mendesak mahukan perubahan 'mengajar' BN pada Pilihan Raya Umum lalu. Pemimpin BN, terutama Umno mengaku kesilapan dan kini bekerja keras untuk memperbaiki kelemahan diri. Kepemimpinan baru di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berikrar untuk memastikan setiap tugas yang dilaksanakan mengambil kira seluruh rakyat Malaysia.

Dengan menjunjung Perlembagaan, Najib berjanji tidak akan mengabaikan seluruh rakyat pelbagai bangsa Malaysia melalui dasar 1Malaysia.

Menepis kontroversi yang menyelubungi konsep 1Malaysia ini, Najib menegaskan konsep 1Malaysia bertujuan menyediakan garis permulaan yang adil bagi rakyat mendapat bantuan kerajaan tanpa mengira mereka dari bandar, luar bandar dan kumpulan etnik sekiranya mereka mempunyai potensi.

Persoalan yang harus dijawab sendiri oleh rakyat Malaysia adakah kita ingin kembali kepada kehidupan yang aman, damai, makmur, yang menyulami semangat setia kawan yang terjalin sejak krisis perkauman terburuk pada 13 Mei 1969 atau adakah kita ingin terus memporak-perandakan negara dengan permainan politik segelintir manusia yang tidak puas hati selagi tidak berada di puncak kekuasaan.

Pilihan raya umum 2008 lama berlalu. Walaupun tidak mendapat majoriti kukuh, BN menang dan rakyat perlu membantu kerajaan untuk melaksanakan tugasnya. Cukuplah dengan polemik pilihan raya kecil yang dicipta untuk menguji kekuatan parti politik masing-masing. Mungkin sudah tiba masanya kerajaan mengkaji cadangan supaya tidak perlu diadakan pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum.

Cadangan seperti menghukum wakil rakyat yang sewenang-wenangnya meletak jawatan tanpa memikir rakyat yang mengundi mereka atau memilih calon yang menerima undi kedua terbanyak menggantikan wakil rakyat yang meninggal dunia - perlu diberi pertimbangan sewajarnya. Kita boleh gunakan wang yang dibelanjakan untuk pilihan raya kecil bagi projek pembangunan dan program yang lebih memberi manfaat kepada rakyat keseluruhan.

Cukuplah kita berasa gelombang politik yang melanda dalam tempoh 14 bulan lalu. Sudah tiba masanya, seluruh rakyat Malaysia kembali bersatu dan berusaha untuk berdepan dengan banyak lagi krisis dunia yang turut memberi kesan kepada kehidupan kita di sini.

Wakil rakyat dan ahli politik pembangkang yang memang tidak ada kerja selain daripada mencetuskan kegelisahan dan kebimbangan di hati rakyat perlu sedar mereka sebenarnya tidak ada beza daripada parti atau pemimpin politik BN yang terus menerus dikutuk.

Lihatlah pergelutan dan polemik di dalam parti sendiri. Selesaikan masalah dalaman yang jauh lebih parah daripada parti pemerintah yang teruk difitnah - seolah-olah mereka tidak pernah melakukan sebarang dosa. Akhirnya, biarlah rakyat membuat penilaian terhadap kemampuan mana-mana parti politik yang dianggap layak menjadi kerajaan apabila Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan nanti.

0 comments: