Sokong GLC ternak ayam

Sokong GLC ternak ayam

Oleh SAMSUDIN ISMAIL


CADANGAN Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr. Maamor Osman, agar kerajaan mengambil alih teraju monopoli industri ternakan ayam di negara ini melalui penubuhan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah amat bertepatan dan dialu-alukan.

Ini kerana sudah sampai masanya industri teras makanan negara ini dikawal semula oleh kerajaan demi kepentingan rakyat.

Selain dapat memastikan bekalan mencukupi dan harga yang terkawal sepanjang masa, mutu daripada segi kebersihan dan kesihatan produk tersebut mudah dipantau. Di samping itu langkah ini bagi mengawasi negara daripada gejala wabak pandemik yang amat ditakuti sejak kebelakangan ini.

Apatah lagi, pengusaha industri ayam di negara ini yang berkuasa menentukan bekalan dan harga, acap kali mencetuskan kontroversi dan kebimbangan masyarakat Islam berkaitan status halal dengan tersiarnya laporan yang bekalan tidak dikendalikan mengikut syarak.

Isu ini telah banyak kali timbul dan masyarakat islam di negara ini sudah mula bosan dengan tindak-tanduk pengusaha ayam yang tidak bertanggungjawab.

Bekalan asas makanan untuk rakyat khususnya masyarakat Islam adalah perkara yang amat penting diutamakan oleh pihak kerajaan.

Faktor harga, kebersihan, kesihatan dan keselamatan bekalan makanan adalah tanggungjawab sepenuhnya kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Dengan membiarkan dan melepaskan kuasa pasaran memainkan peranan yang mutlak terhadap industri makanan di negara ini, ia adalah pendekatan yang merbahaya dan dikhuatiri tindakan sabotaj, pulau atau protes oleh pengusaha industri, mampu melumpuhkan kesejahteraan rakyat dan negara.

Sudah tiba masanya kerajaan memikirkan cadangan ini kerana semakin hari pengusaha industri makanan ini sudah semakin berani menekan kerajaan dan semakin kuat untuk tidak menurut arahan kerajaan.

Kita tidak mahu dilihat sebagai mempunyai kerajaan yang lemah di mata rakyat dan masyarakat luar negara. Selagi tindakan kerajaan demi kepentingan rakyat dan industri, selagi itulah usaha kerajaan akan mendapat sokongan padu rakyat.

Ini bertepatan dengan slogan kepimpinan baru negara pada hari ini iaitu "Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan".

0 comments: