Minda Pengarang: Imbasan ibu jari mampu tingkat piawaian undian

Minda Pengarang: Imbasan ibu jari mampu tingkat piawaian undian


CADANGAN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan sistem biometrik atau imbasan ibu jari pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti perlu diberi perhatian serius semua pihak kerana ia memberi impak besar kepada sistem pilihan raya negara. Selepas membatalkan penggunaan dakwat khas, kita merasakan cadangan terbaru ini baik kerana ia boleh mempercepatkan proses pengesanan pengundi dan mengelakkan pengundi hantu, namun ia perlu kajian secara menyeluruh selain ujian di lapangan bagi menilai keberkesanannya. Sejarah pembatalan penggunaan dakwat khas dari India bagi menanda kuku dan jari pengundi pada saat-saat akhir menjelang Pilihan Raya Umum Mac tahun lalu, perlu dijadikan iktibar SPR dan juga kerajaan. Kita tidak mahu SPR terburu-buru dalam melaksanakan kaedah baru itu kerana ia boleh mengundang masalah, terutama bantahan masyarakat dan parti politik. Rakyat tidak mahu SPR terus menjadi sasaran kecaman dan kemarahan pihak yang tidak berpuas hati jika sistem berkenaan gagal, sebaliknya sebagai penegak proses demokrasi di negara, badan itu wajar dihormati. Penggunaan teknologi tinggi, termasuk sistem biometrik sudah berjaya dilaksanakan terutama di Jabatan Pendaftaran Negara bagi pengeluaran Mykad dan Jabatan Imigresen yang mengeluarkan pasport antarabangsa Malaysia bermutu tinggi. Namun, bagi menggunakan kaedah berkenaan untuk proses pengundian, ia boleh mengundang pelbagai masalah termasuk kos yang tinggi kerana terpaksa menggunakan banyak mesin pengimbas, komputer dan set jana kuasa untuk kawasan terpencil.

Masalah perundangan dan kaedah pelaksanaannya turut menyebabkan banyak pihak sangsi dengan cadangan berkenaan. Proses pengundian dalam pilihan raya yang dilakukan dalam sehari boleh menjadi kecoh sekiranya kaedah yang digunakan gagal berfungsi baik. Dijangkakan hampir 12 juta pengundi akan menunaikan hak mereka pada pilihan raya umum akan datang atau kira-kira empat tahun lagi yang membabitkan 222 kawasan Parlimen dan 576 kawasan Dewan Undangan Negeri di seluruh negara. Dengan hampir 8,000 pusat pengundian, tentunya penggunaan imbasan ibu jari boleh menimbulkan masalah, terutama bagi proses pengundian di kawasan terpencil seperti di Pensiangan, Sabah atau di Ba'Kelalan, Sarawak, yang tidak mempunyai bekalan elektrik. Kita percaya SPR mempunyai pandangan tersendiri dalam memantapkan sistem, proses pemilihan dan pengundian yang dijalankan selaras dengan perkembangan semasa. Kaedah yang kita gunakan sekarang tidak pernah berubah sejak sekian lama, malah menimbulkan kritikan setiap kali pilihan raya berlangsung. SPR cuba melontarkan idea penggunaan sistem biometrik ini kepada masyarakat bagi mendapatkan maklum balas pro dan kontra, sebagai panduan untuk mencari kaedah terbaik. Mungkin SPR boleh melihat keberkesanan proses pengundian dalam pilihan raya yang diadakan di United Kingdom, Australia atau Amerika Syarikat serta melakukan pengubahsuaian bagi diperkenalkan di negara ini. Apapun, sekiranya SPR ingin melaksanakan kaedah baru pada pilihan raya umum akan datang, badan itu masih mempunyai banyak masa untuk membuat kajian. Rakyat, termasuk parti politik tidak akan membantah jika sistem yang digunakan SPR telus dan mampu meningkatkan tahap piawaian sistem pengundian bagi pilihan raya di negara ini.

0 comments: