Menghayati gagasan Satu Malaysia
UNTUK meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap gagasan Satu Malaysia, Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya dan Kerajaan Negeri Terengganu akan mengadakan satu seminar sehari pada 7 Jun hadapan bertempat di Hotel Primula, Kuala Terengganu.
Selain daripada satu usaha merintis kerjasama antara pimpinan politik/pentadbiran negeri Terengganu dengan satu institusi akademik (APM, Universiti Malaya), Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said telah menyebut beberapa sebab kenapa seminar itu perlu diadakan.
Pertama, katanya, untuk menjelaskan maksud sebenar gagasan "Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" yang dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Keperluan untuk menjelaskan konsep itu seperti yang disebut oleh Ahmad Said selari dengan pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom.
Seperti dilaporkan oleh RTM hari Selasa lalu, Jamil sendiri berpendapat "sehingga kini rakyat belum memahami dengan mendalam konsep Satu Malaysia itu." Malah seorang wartawan terkenal yang berpengalaman luas, Datuk A. Kadir Jasin dalam ruangan blognya, 17 April juga mengaku dan menulis ayat berikut: "saya kurang yakin yang saya memahami sepenuhnya gagasan ini."
Dan ahli akademik terkenal, Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, sewaktu dihubungi melalui telefon berkata: "Saya tidak pasti adakah gagasan itu satu 'ideologi politik' (political ideology) atau satu 'strategi tadbir urus' (governance strategy)." Ertinya, Profesor Shamsul sendiri juga belum pasti apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan gagasan Satu Malaysia.
Jadi benarlah seperti yang dikatakan oleh Datuk Jamil bahawa ramai yang belum faham sepenuhnya mengenai konsep atau gagasan Satu Malaysia.
Sebab kedua kenapa seminar di Kuala Terengganu itu perlu diadakan, menurut Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Profesor Datuk Zainal Borhan adalah untuk menangkis atau mengelakkan kecenderungan pihak-pihak tertentu daripada memberikan takrif yang "keliru dan bercelaru" terhadap gagasan itu.
Memang ada terdengar suara-suara sumbang yang hendak menyamakan gagasan Satu Malaysia itu dengan konsep Malaysian Malaysia peninggalan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew yang hendak dilanjutkan oleh Lim Kit Siang dan DAP.
Sebab atau tujuan ketiga seminar itu adalah untuk memberi peluang kepada cendekiawan, pemimpin-pemimpin politik dan birokrat bertukar-tukar fikiran mengenai pelaksanaan dan strategi mencapai matlamat gagasan Satu Malaysia itu.
Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim telah mengumumkan beberapa langkah yang sedang dan hendak dilaksanakan oleh kementeriannya untuk memasyarakatkan (dan mengoperasikan) gagasan Satu Malaysia.
Seminar anjuran bersama APM sebagai satu badan akademik dengan Kerajaan Negeri Terengganu sebagai badan politik dan pentadbiran yang hendak diadakan di Hotel Primula itu boleh dianggap sebagai lanjutan daripada usaha-usaha kementerian di bawah pimpinan Dr. Rais.
Sejajar dengan tiga sebab atau tiga tujuan yang dinukilkan tersebut, sesi seminar dibahagikan kepada tiga subtema seperti berikut: (i) Pemahaman dan Pentakrifan, (ii) Pengisian dan Pemasyarakatan, dan (iii) Pelaksanaan dan Strategi.
Dua perkara yang perlu sentiasa diingat dalam memberi takrif dan tafsiran gagasan Satu Malaysia. Pertama ialah konsep "acuan kita sendiri" dalam membentuk negara bangsa seperti terkandung dalam Wawasan 2020. Kedua, petikan titah ucapan Sultan Azlan Shah semasa menerima gelaran Ijazah Kehormat Doktor Kesusasteraan dari Universiti Malaya pada 30 Jun 1979 (sewaktu itu baginda dirujuk sebagai Raja Tan Sri Azlan Shah).
Baginda bertitah 30 tahun yang lalu: "Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang adat dan berbilang resam. Tetapi bagaimanapun kita perlu beringat, dan jika tidak ingat, maka kita seharusnyalah di peringatkan bahawa dalam negara yang semuanya berbilang itu, mesti ada satu asas di mana kita mesti menumpukan perhatian kita."
Saya cadangkan supaya teks ucapan Baginda 30 tahun lalu diedarkan kembali dalam seminar 7 Jun di Hotel Primula itu.
SENATOR DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH ialah Felo Penyelidik Kanan (Pelawat) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya
0 comments:
Post a Comment