Banteras mat rempit
Oleh NORILA DAUD
rencana@utusan.com.my
UNTUK kesekian kalinya, isu mat rempit kembali menjadi perhatian banyak pihak. Meskipun hangat diperdebatkan saban tahun, gelagat mat rempit yang merajai jalan raya dengan aksi berbahaya terus menghantui orang ramai.
Timbul kebimbangan apakah negara sudah berdepan dengan jalan mati dalam mengatasi gejala mat rempit ini?
Adakah ia sudah menjadi satu wabak penyakit yang sukar dihapuskan sebagaimana sukarnya untuk pihak berkuasa menangani gejala penagihan dadah?
Andaian itu tidak boleh dipandang mudah kerana selepas pelbagai usaha dilakukan, gejala mat rempit tidak pernah menunjukkan tanda-tanda akan berakhir.
Sebaliknya, ia semakin menjadi-jadi dan berleluasa sehingga terjebak dengan jenayah yang lebih berat terutamanya kes ragut, rogol, samun berkumpulan malah sehingga pembunuhan.
Justeru, ia menjadi ancaman yang serius kepada keselamatan awam sekali gus memerlukan pendekatan yang kolektif dan berkesan untuk menanganinya.
Kerana itu juga, rakyat sangat berharap perhatian khusus yang diberikan kerajaan menerusi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jelain Mersat mampu membuahkan kejayaan.
Jelain antara lain dipertanggungjawabkan mencari punca dan mencadangkan kaedah terbaik untuk mengatasi gejala mat rempit tersebut.
Malah, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sendiri menyokong supaya Akta Pengangkutan Jalan dipinda bagi memberikan kuasa kepada Jabatan Pengangkutan Jalan menahan mat rempit.
Adalah wajar untuk pindaan itu dibuat dengan segera bagi membolehkan hukuman yang lebih tegas dikenakan. Sementelah, golongan itu juga berani memperlekehkan undang-undang dan mencabar pihak berkuasa termasuk cubaan merempuh sekatan jalan raya.
Dalam masa yang sama, pihak berkuasa perlu melipatgandakan usaha dan menambah kekuatan anggota dalam membanteras gejala ini. Operasi besar-besaran seperti sekatan jalan raya seharusnya dilakukan secara konsisten dan bukannya satu langkah pencegahan yang bermusim.
Kesungguhan pihak berkuasa itu sekurang-kurangnya menimbulkan rasa gerun di kalangan mat rempit untuk menguasai jalan raya atau berhimpun dalam satu kumpulan yang besar.
Lebih jauh seperti yang dicadangkan oleh Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah, gejala itu ditangani menerusi sebuah jawatankuasa khas yang dibentuk oleh kerajaan.
Jawatankuasa itu tambah beliau, dianggotai oleh wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Gejala mat rempit boleh diatasi jika semua pihak bekerjasama untuk merancang program bercorak pendidikan dan melaksanakannya dengan sistematik, tersusun dan bersepadu," tegasnya.
Bagaimanapun, dalam menyambut baik langkah penguatkuasaan dari sudut undang-undang itu, kerajaan juga diharapkan tidak mengabaikan pendekatan berbentuk kemanusiaan.
Sering dikaitkan, golongan mat rempit merupakan mereka yang mengalami masalah jiwa dan mental yang tidak sihat sepenuhnya. Pandangan ini dikongsi oleh Pakar Psikologi Klinikal, Choo Leong Hoey Mei yang berpendapat, individu merempit tidak bahagia dengan kehidupan dalam keluarga, tidak berduit dan pernah dibuli.
Justeru, aktiviti merempit dijadikan jalan keluar untuk mereka melarikan diri daripada kekecewaan dan kebosanan hidup. Ia juga tambahnya, dijadikan sandaran sementara mereka mendapat sesuatu yang boleh memberi kebahagiaan dan kepuasan dalam hidup mereka.
Apa yang lebih membimbangkan, mat rempit juga mempunyai hubungan yang sangat akrab dalam kelompok mereka. Dalam satu kumpulan yang besar, mat rempit boleh melakukan apa sahaja tanpa perlu berasa bimbang dengan keselamatan diri kerana sedar mereka sentiasa dilindungi oleh rakan yang lain.
''Kerana itu juga mereka mudah terdorong untuk berkelakuan samseng apabila berada dalam satu kumpulan," ujar beliau.
Selain kecelaruan dalam pembawaan diri, gejala merempit juga banyak didorong oleh sikap ibu bapa yang terlalu memberi kebebasan kepada anak-anak.
Ibu bapa seolah-olah lepas tangan dalam soal mengawal dan mendidik anak-anak apabila membiarkan mereka berpeleseran sehingga awal pagi. Seperti yang dijelaskan oleh pakar perunding psikologi, Khairol Anuar Masuan, kerana sikap memberi muka itu juga, anak-anak menjadi semakin berani dalam tingkah laku dan pergaulan mereka.
Beliau menambah, anak-anak berkenaan akan merasakan diri mereka 'hebat' dan angkuh, sekali gus tidak boleh ditegur oleh ibu bapa walaupun menjadi mat rempit.
''Jika dahulu ibu bapa menghalang anak- anak yang memberontak jiwa mereka untuk menghormati orang tua dan ibu bapa serta bekerja di ladang-ladang, perkara seperti itu tidak lagi wujud hari ini apabila anak-anak dibiarkan lepas bebas," katanya.
Kerana itu juga, ada dicadangkan supaya ibu bapa mat rempit turut dikenakan denda di bawah peruntukan undang-undang tertentu. Antaranya kerana membenarkan anak- anak mereka memiliki dan menaiki motosikal tanpa mempunyai lesen.
Walaupun cadangan itu mendapat bantahan banyak pihak, namun ia dilihat sangat praktikal sekiranya semua pihak benar-benar mahu menghapuskan gejala mat rempit.
Begitu juga dengan cadangan supaya had umur untuk mendapatkan lesen motosikal dilanjutkan daripada 16 tahun seperti ketika ini kepada 21 tahun.
Memandangkan majoriti mat rempit terdiri daripada remaja belasan tahun, pelaksanaannya dilihat mampu mengekang gejala mat rempit dari satu sudut yang berbeza.
0 comments:
Post a Comment