Konsep 1Malaysia bukan slogan kosong

Konsep 1Malaysia bukan slogan kosong

Oleh Abdul Rahman Sulaiman
rahmansulaiman@yahoo.com


NAJIB melambai kepada orang ramai ketika membuat lawatan mengejut
di Jalan Petaling, Kuala Lumpur, bulan lalu. Perdana Menteri dalam
memperkenalkan konsep terbarunya mengarahkan soal protokol dikurangkan
dalam setiap majlis rasmi.


Najib perlu diberi peluang bukti dasar kesinambungan kepemimpinan BN formula paling berkesan

SEJAK mengambil alih kepimpinan negara pada 3 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan beberapa konsep dan pendekatan baru yang beliau mahu jadikan falsafah dan garis bertindak pentadbirannya.

Beliau juga berhasrat menjadikan konsep dan pendekatan itu sebagai prinsip perjuangan Umno dan Barisan Nasional yang dipimpinnya. Antara konsep dan pendekatan yang dimaksudkan ialah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; pemupukan budaya jitu; urusan di luar kebiasaan serta konsep al-waad dan al-baiah sebagai ikatan perhubungan antara anggota pentadbiran kerajaan dengan penjawat awam.

Di samping itu, Najib juga membuat beberapa pembaharuan dalam urusan harian kerajaan untuk menjimatkan waktu dan perbelanjaan. Untuk itu, beliau mengarahkan soal protokol dikurangkan dalam upacara. Sebagai contoh, beliau mahukan sebutan nama atau gelaran orang kenamaan di awal ucapan dikurangkan sementara majlis rasmi perlu ditamatkan selewat-lewatnya jam 10.30 malam.

Adalah dipercayai bahawa lebih banyak pembaharuan akan diketengahkan dalam minggu-minggu akan datang atau dari semasa ke semasa selaras dengan hasrat beliau untuk mengajak rakyat sama-sama melaksanakan 'satu transformasi besar untuk negara' seperti yang beliau janjikan dalam ucapan sulungnya tatkala mengambil alih jawatan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dulu.

Bagaimanapun, oleh kerana konsep dan pendekatan yang cuba diterapkan itu dilihat sebagai baru dan diperkenalkan pada kadar yang agak pantas satu demi satu, penerimaan orang ramai nampaknya agak perlahan walaupun pada keseluruhannya positif.

Ada pihak yang teruja, tetapi tidak kurang juga yang menganggap segala-galanya sebagai slogan kosong yang akan hanya tinggal sebagai slogan seperti yang pernah dialami pada masa-masa lalu.

Di kalangan pemimpin pembangkang pula, mereka pantas memomokkan dan memutarbelitkan perkara itu untuk memberikan gambaran bahawa kerajaan berhasrat untuk mengabaikan tanggungjawabnya terhadap sebahagian daripada rakyat yang semestinya masih memerlukan bantuan.

Sebagai contoh, konsep 1Malaysia sengaja dimomokkan sebagai 'Malaysian Malaysia' yang cuba ditonjolkan DAP satu ketika dulu. Ini menyebabkan sebahagian orang Melayu, terutama yang tinggal di luar bandar dan mungkin kurang pendedahan terhadap media, agak risau.

Sebenarnya, tiada siapa yang perlu bimbang dengan konsep itu. Satu hakikat yang perlu disedari ialah tiada kerajaan di mana-mana juga yang sengaja memperkenalkan sesuatu dasar untuk menyusahkan atau menganiaya rakyat.

Seperti yang Najib sendiri pernah jelaskan, 1Malaysia adalah gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang menjadi amalan setiap rakyat. Ia bukan satu dasar baru yang terpisah dari dasar kerajaan BN sebelum ini. Sebaliknya, ia adalah pelengkap kepada pendekatan sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan untuk mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara.

Perpaduan yang digambarkan menerusi gagasan 1Malaysia amat berbeza daripada konsep asimilasi yang diamalkan di negara lain apabila identiti kaum dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Ia juga berbeza dengan konsep Malaysian Malaysia yang menekankan kesamarataan dan penghapusan keistimewaan orang Melayu dan hak Bumiputera yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti setiap kaum dan menganggapnya sebagai satu aset. Dalam hubungan ini, setiap kaum perlu menerima dan bukan hanya sekadar bertolak ansur perbezaan antara satu dengan lain.

Asas utama konsep ini ialah keadilan untuk semua kaum dalam erti kata bahawa nasib semua kaum akan dibela tanpa mana-mana pihak dipinggirkan. Mereka yang perlu pembelaan akan dibela tanpa mengira kaum. Semua kaum juga perlu berkongsi aspirasi yang sama dan kesetiaan yang serupa terhadap negara.

Budaya jitu pula bertujuan mendorong rakyat agar mengamalkan prinsip ketepatan dalam melakukan sesuatu sama ada dari segi pengukuran, pengurusan masa, jadual penyampaian, kualiti produk dan seumpamanya. Ini bermakna budaya cukup makan atau sikap sambil lewa atau ala kadar dalam melakukan sesuatu perlu dikikis.

Ini juga bukan perkara baru dalam sesetengah kegiatan rakyat. Misalnya dalam bidang perniagaan, lazimnya ahli perniagaan akan berlumba-lumba untuk mendapatkan keuntungan maksimum mungkin melalui kegiatan mereka. Dalam pendidikan juga, pelajar berlumba-lumba untuk mendapat markah A dalam setiap mata pelajaran yang mereka ambil dalam peperiksaan awam.

Kalau ini dapat dijadikan amalan, lama kelamaan budaya yang mementingkan prinsip ketepatan ini akan membolehkan Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang mengutamakan kualiti dan kecemerlangan.

Begitu juga dengan konsep lain yang cuba dipopularkan Perdana Menteri. Ia bukanlah baru dalam erti kata terlalu asing dalam kehidupan harian rakyat. Apa yang beliau lakukan ialah mempromosikan semula konsep itu sebagai satu pakej secara lebih khusus dan fokus.

Semua pihak harus menerima hakikat bahawa kejayaan sesuatu usaha atau keberkesanan satu-satu konsep itu tidak akan dapat dicapai atau dinilai dalam sekelip mata. Ia memerlukan proses evolusi yang mungkin memakan masa. Yang penting ialah Perdana Menteri memulakan langkah pertama dengan mempraktikkan apa yang beliau sarankan.

Setiap pegawai yang rapat dengan beliau tahu betapa seriusnya beliau dalam usaha ini. Oleh itu, tentulah tidak adil untuk mana-mana pihak menghukum beliau setelah hanya lebih sedikit sebulan selepas beliau mengambil alih jawatan.

Apa yang lebih penting ialah untuk semua pihak daripada anggota Jemaah Menteri sehingga kepada penjawat awam dan rakyat biasa memberikan sokongan padu dan cuba menyusuri rentak yang sudah pun dipalu.

Pilihan lain yang ada ialah untuk tidak berbuat apa-apa dan membiarkan negara terus ketinggalan dalam arus perlumbaan global yang setiap saat menjadi lebih kompetitif dan mencabar.

Kalau ini berlaku, tiada siapa yang pasti bahawa rakyat yang selama ini biasa hidup dengan selesa sanggup mengetepikan kemewahan yang pernah mereka rasai.

Datuk Rahman Sulaiman adalah bekas Ketua Pengarang Bernama

0 comments: