Jangan jaja nama rakyat, demokrasi
SEMENJAK berlakunya apa yang didakwa sebagai krisis perlembagaan di Perak awal Februari lepas, pakatan parti pembangkang tidak henti-henti merayu dan meminta supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan.
Pakatan pembangkang berhujah bahawa hak hendaklah dikembalikan kepada rakyat supaya rakyat sendiri yang menentukan siapakah yang rakyat mahu pilih untuk membentuk kerajaan negeri - pakatan DAP, PKR dan Pas atau Barisan Nasional (BN).
Keadaan kini tambah meruncing dan menjejaskan pakatan pembangkang apabila Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir selaku Menteri Besar Perak bertegas akan meneruskan dengan sidang dewan buat pertama kalinya pada 7 Mei (hari ini) selepas berlaku peralihan kuasa daripada kerajaan campuran pembangkang kepada BN.
Gesaan terbaru dibuat oleh Mohamad Sabu selaku Pengerusi Jawatankuasa Mobilisasi Demokrasi Pas Pusat pada 4 Mei kelmarin, supaya pembubaran dibuat demi membolehkan rakyat membuat pilihan mereka sendiri dan bersesuaian dengan demokrasi.
'Lagu' demokrasi dan hak rakyat inilah yang terus didendangkan oleh para pemimpin pakatan pembangkang bagaikan rekod lapuk dan retorik lusuh untuk mewajarkan tuntutan mereka sendiri dan penyokong mereka sahaja.
Rakyat dan demokrasi jugalah yang terus dijaja ke sana sini untuk membarakan kemarahan rakyat menentang establishment yang ada.
Walau sebesar atau seluas mana pun hak rakyat atas nama demokrasi, hak seumpamanya tetap terbatas oleh undang-undang khususnya Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri.
Justeru, janganlah sampai nama rakyat dijaja secara borong seolah-olah rakyatlah penentu kepada segala-galanya, seakan-akan tiada lagi undang-undang dan peraturan yang boleh membatas dan mengehadkan hak dan kuasa rakyat.
Di atas teras yang sama, janganlah nama rakyat turut dijaja secara borong seolah-olah segenap lapisan rakyat mahukan pembubaran DUN untuk menentukan siapakah yang layak untuk membentuk kerajaan negeri, sedangkan tidak kesemua rakyat berpendirian serupa.
Hakikatnya, banyak kemusykilan yang boleh dibangkitkan untuk mempersoal dan menyanggah tindakan pakatan pembangkang menjaja nama rakyat dan demokrasi. Apakah hak pakatan pembangkang untuk menjaja nama rakyat Perak yang menyokong dan bersimpati dengan BN menuntut pembubaran DUN?
Sudahkah pakatan pembangkang mendapat mandat keseluruhan rakyat Perak untuk menuntut supaya pembubaran dibuat dan hak rakyat dikembalikan untuk memilih ahli-ahli DUN baru? Apakah kayu ukur yang digunakan untuk mewajarkan pembubaran DUN supaya rakyat boleh membuat pemilihan baru?
Atas nama rakyat dan demokrasi, tunjuk perasaan di jalanan telah dijustifikasikan sebagai kaedah menyuarakan pendapat. Maka timbullah pertanyaan: adakah suara penunjuk perasaan di Kuala Kangsar tidak lama dahulu mewakili suara sebenar dan keseluruhan rakyat Perak? Tidak lain dan tidak bukan, para penunjuk perasaan tersebut hanya mewakili diri mereka sendiri dan penyokong-penyokong pakatan pembangkang sahaja.
Sesuatu yang harus dihayati oleh para pemimpin pakatan pembangkang ialah titah Sultan Azlan Shah semasa sambutan ulang tahun keputeraan baginda pada 19 April lepas. Menurut titah baginda, Malaysia adalah sebuah negara raja berperlembagaan dan bukannya republik.
Tambah Tuanku lagi, seorang raja pemerintah tetap kekal sebagai raja pemerintah yang jauh berbeza kedudukannya dari seorang presiden.
Justeru, hakikat yang harus diakui dan difahami oleh pemimpin pakatan pembangkang ialah Malaysia sebuah negara demokrasi dengan raja berperlembagaan. Sistem raja berperlembagaan inilah yang tidak memutlakkan hak rakyat dan demokrasi.
Dalam keadaan Malaysia yang mengamalkan demokrasi dengan raja berperlembagaan, para pemimpin pakatan pembangkang sewajarnya belajar menghormati Perlembagaan dan undang-undang yang ada.
Pada masa yang sama, para pemimpin pakatan pembangkang sebaik-baiknya mendidik pula rakyat khususnya penyokong mereka mengenai perkara yang sama. Namun demikian pakatan pembangkang berbuat sebaliknya.
Mahkamah telah dijadikan medan untuk mempertikaikan Perlembagaan negeri serta hak dan budi bicara raja. Atas nama hak serta kebebasan bersuara oleh rakyat, media baru telah digunakan untuk memburuk-burukkan institusi raja dan kerajaan.
Tidak semua keputusan oleh rakyat sesuai dan baik untuk segenap dan keseluruhan rakyat. Ada kalanya, kalaupun tidak selalu, rakyat perlu dinasihat dan dipimpin dalam memilih serta membuat keputusan. Di sinilah letaknya peranan raja, menasihati serta memimpin rakyat dan kepemimpinan rakyat.
Jangan sekali-kali dijaja nama rakyat dan demokrasi untuk kepentingan diri sendiri.
ZULKIFLI ZABIDIN
Naib Yang Dipertua Kesatuan Angkatan Muda Islam Perak (KAMI)
0 comments:
Post a Comment