Ajar peragut, mat rempit dengan hukuman berat

Ajar peragut, mat rempit dengan hukuman berat

SUNGGUH sedih dan malang menimpa dua buah keluarga masing-masing di Johor dan Kelantan apabila dua wanita yang mengandung maut di tangan peragut. Begitu juga nasib warga emas di Pulau Pinang yang menjadi korban peragut.

Masyarakat juga cukup bimbang dengan kecenderungan kumpulan mat rempit yang kini berani bertindak ganas membelasah hingga mati seperti yang menimpa seorang mekanik di Kuantan baru-baru ini.

Mungkin itu takdir mereka yang ditentukan oleh Tuhan. Tetapi insiden itu boleh dielakkan jika kita mengambil langkah-langkah pencegahan jenayah lebih awal.

Cabaran kepada semua anggota masyarakat sekarang, sampai bila kita harus membiarkan peragut dan penjenayah mat rempit bermaharajalela di atas jalan raya negara ini?

Dalam hal ini, pihak berkuasa yang menjaga keselamatan dan ketenteraman rakyat perlu bertindak segera.

Jadi, tindakan segera yang perlu diambil oleh Kementerian Dalam Negeri bukan setakat mengkaji dan mencari punca penularan gejala lumba haram motosikal atau rempit tetapi juga kegiatan jenayah ragut yang semakin menjadi-jadi di negara ini.

Untuk itu juga kerajaan kena mengambil pendekatan di luar daripada kebiasaan. Kita tidak mahu lagi mendengar apabila berlakunya kes-kes baru yang didedahkan oleh media massa, maka kita dibentangkan dengan pelbagai kaedah penyelesaian untuk menangani isu berkenaan.

Sebenarnya isu ragut hingga membawa maut dan gejala mat rempit sudah lama diperkatakan. Ia bagaikan sekejap panas, sekejap sejuk.

Sehingga kini, kita masih belum berjaya menangani kedua-dua masalah ini.

Ke mana semua cadangan tentang penyediaan pendidikan agama, pusat-pusat didikan dan kaunseling dan pelaksanaan undang-undang yang lebih ketat yang heboh dibincangkan suatu masa dulu apabila masalah ini timbul.

Adakah kita mudah melupakan masalah ragut dan mat rempit apabila ia mula kelihatan tidak lagi mengancam hidup kita?

Kerajaan, badan bukan kerajaan, parti politik dan orang awam perlu memberikan idea untuk menyelesaikan isu ini.

Carilah kaedah agar kegiatan rempit dan ragut dapat dikurangkan dan akhirnya dibanteras secara menyeluruh.

Untuk menangani masalah ini dalam jangka pendek, tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan perlu diteruskan dalam mengatasi masalah rempit dan jenayah ragut di negara kita.

Operasi besar-besaran yang diadakan serentak di Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, Johor dan Selangor berjaya memberkas ratusan pesalah trafik yang kebanyakannya adalah remaja bawah umur. Operasi-operasi seperti ini perlu diadakan secara berterusan bagi memberi peringatan kepada golongan berkenaan.

Untuk pelan jangka panjang, kerajaan perlu memikirkan undang-undang lebih ketat sebagai langkah-langkah untuk membendung punca yang membawa kepada masalah ragut dan lumba haram.

Jika kita percaya pada undang-undang ketat dan berat daripada pendekatan biasa dapat mendidik dan menangani masalah ragut dan lumba haram, maka lakukan.

Kita menggesa kerajaan bertegas dan pastikan undang-undang yang ingin digubal atau dipinda meletakkan nilai denda atau hukumannya amat menggerunkan penjenayah atau pesalah.

0 comments: