Sidang DUN Perak dijangka 'panas'

Sidang DUN Perak dijangka 'panas'

Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI


SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang bermula hari ini dijangka akan berlangsung dalam suasana 'panas' dan penuh kontroversi.

'Panas' bukan sahaja di dalam dewan tetapi juga di luar dewan apabila dijangkakan ribuan penyokong parti politik pembangkang akan berkumpul.

Apa pun, tindakan pantas pihak polis yang berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang perhimpunan haram yang mungkin diadakan, sedikit sebanyak mengurangkan 'bahang politik' di negeri ini.

Amaran pihak polis bahawa mereka tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana kumpulan yang berdegil, seharusnya diambil perhatian supaya tidak dijadikan alasan kemudian.

Ramai juga yang mengandaikan bahawa sidang DUN ini akan mengundang kontroversi berikutan kedudukan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar masih dalam perbicaraan mahkamah.

Tindak-tanduk Speaker DUN, V. Sivakumar yang seolah-olah 'lebih berkuasa' daripada undang-undang dijangka akan mewarnai perjalanan sidang DUN kali ini.

Usaha Barisan Nasional (BN) membentangkan usul untuk menyingkirkan Sivakumar dilihat bukan satu perkara yang mudah.

Sebagai Speaker, Sivakumar tentunya akan berkeras dalam mempertahankan kedudukannya itu. Maka, sidang DUN tentunya akan gamat dengan pertikaman lidah daripada wakil rakyat BN dan pakatan pembangkang.

Walaupun hakikatnya, setiap usul perlu melalui proses pengundian, yang akan memihak kepada BN kerana mempunyai sokongan 31 kerusi, namun ramai melihat laluan itu tidak semudah yang disangka.

Selain persoalan mengenai kuasa Speaker untuk menolak sidang DUN, satu lagi isu yang dijangka menghangatkan sidang DUN ialah mengenai kedudukan Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong Sabri.

Ini kerana Setiausaha DUN Perak itu sudah dua kali 'digantung tugas' oleh Sivakumar sebelum ini yang didakwa tidak sah kerana jawatan tersebut adalah diluluskan pihak berkuasa negeri melalui waran perjawatan ditandatangani Menteri Besar Perak.

Kehadiran Timbalan Speaker DUN yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Hee Yit Foong yang sekian lama menyepikan diri turut menarik perhatian.

Selain Yit Foong, difahamkan dua lagi ADUN Bebas yang menyokong BN iaitu Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang) juga akan turut hadir.

Tentunya, tuduhan-tuduhan liar akan dilemparkan kepada mereka kerana dikatakan sanggup berpaling tadah daripada perjuangan asal.

Paling menarik, jumlah wartawan yang membuat liputan DUN kali ini iaitu sebanyak 101 orang dikatakan teramai setakat ini. Nampaknya 'kecelaruan politik' Perak berjaya mempopularkan Malaysia di mata dunia.

Ketika banyak pihak mula bercakap tentang pelbagai kemungkinan, Zambry menjelaskan beliau masih menaruh harapan semuanya akan berjalan lancar.

Katanya, semua pihak harus menghormati prinsip-prinsip demokrasi dengan meletakkan soal keamanan dan ketenteraman awam paling utama.

Justeru kata Zambry, beliau tidak kisah jika Speaker baru yang dilantik adalah daripada parti pembangkang asalkan orang itu dapat menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan mesra dan adil.

0 comments: