Fri | Nov 16, 07 | 11:15:30 am MYT
Kejayaan kerajaan Kelantan di bawah teraju PAS tetap terserlah walaupun cuba dipertikai pemimpin Umno/BN. Sejak 17 tahun lalu, negeri ini banyak mencetus kelainan yang berpaksikan asas Islam. Bagi mendapat gambaran kejayaan tersebut ikuti temu bual wakil Harakahdaily bersama Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Negeri Kelantan, Dato' Husam Musa.
Sejauh mana kejayaan Kelantan selepas 17 tahun di bawah teraju PAS?
ÂKejayaan utama kerajaan Kelantan selama 17 tahun menonjolkan kelainan berasaskan Islam dalam pelbagai segi. Perkara yang kecil di mana orang bukan Islam boleh memasak bubur asyura pada festival Islam. Perkara seperti itu tidak berlaku di negeri lain. Orang bukan Islam terlibat sama dalam program anjuran orang Islam. Perubahan besar yang berlaku di Kelantan termasuk pelancaran pelan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Komitmen politik rakyat bersama dengan perjuangan Islam yang ditonjolkan PAS menghasilkan program-program pembangunan dibawa kerajaan Pusat untuk negeri Kelantan biarpun kerajaan negeri tidak berubah. Ketika masih lagi di bawah PAS program pembangunan sudah dilancarkan. Ini adalah satu pengiktirafan kemenangan rakyat Kelantan, biarpun mereka mempunyai sebuah kerajaan yang berbeza. Pembangunan tidak dihalang dibawa ke negeri mereka. Ia menjadi satu sejarah yang berkekalan. Ini satu kemenangan politik buat rakyat Kelantan. Â
Pembangunan dibawa ke Kelantan menggambarkan pendekatan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi lebih lembut berbanding era Tun Dr Mahathir Mohamad?
ÂSikap kita apabila berbunyi guruh di langit air di tempayan tidak dicurahkan. Kita terus ke hadapan dan tidak boleh leka. Kita yakin sekiranya keseimbangan politik ini dikekalkan rakyat terus memberi kepercayaan kepada kepemimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hendak tidak hendak kerajaan Pusat akan mengotakan janji mereka. Â
Dato' yakin ECER menjadi realiti?
ÂECER merupakan satu program yang sudah terkandung dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan rancangan akan datang. Beberapa kompenan dalam ECER sebenarnya sudah ada dalam RMK-9 contohnya pembinaan lebuh raya Kuala Krai - Kota Bharu, pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, pembinaan Universiti Malaysia Kelantan. Kalau ECER tidak ada pun program ini tetap dilaksanakan. ECER ada juga mengenegahkan beberapa program lain. Selagi Rancangan Malaysia ini dilaksanakan ia akan menjadi satu realiti. Kita panjatkan doa semoga ia menjadi realiti. Kita harap mendapat pelabuhan, lapangan terbang, universiti yang lebih baik. Saya yakin sekiranya tidak ada halangan baru berlaku, perkara itu akan dilaksanakan. Kita pun rasa pelik program ini (ECER) dilancar ketika pelan pembangunan sudah lama diatur. Â
ECER mungkin menarik sokongan rakyat terhadap BN?
ÂAda kecurigaan seperti itu. Ini memandangkan program itu dilancarkan menjelang pilihan raya. Sebab itu saya nasihatkan rakyat Kelantan tidak mudah termakan umpan. Saya yakin rakyat Kelantan bijak menilai, bahkan sekiranya ECER terlaksana, keyakinan tinggi politik rakyat Kelantan itu membolehkan kerajaan pusat membawa pembangunan ke negeri mereka. Kita jangan mudah mengubah sikap politik, kedatangan projek pembangunan ini adalah komitmen politik kita memiliki sebuah kerajaan yang berbeza daripada kerajaan Pusat. Â
Mungkinkah ECER boleh menyebabkan tanah rizab Melayu semakin kecil?
ÂSaya ingat tidak berbangkit perkara tersebut. Tanah-tanah kerajaan masih banyak. Â
Apabila pembangunan pesat melanda, sudah tentu akan menyebabkan kehadiran lebih ramai lagi penduduk bukan Islam. Bagaimana kerajaan negeri menanganinya?
ÂSaya yakin Kelantan memerlukan kemudahan infrastruktur yang lebih baik. Perkara itu kita tidak boleh nafikan. Bagaimanapun orang Kelantan lebih cepat membaca perubahan yang berlaku dan mengambil peluang. Kita lihat pembangunan politeknik di Kok Lanas, format dan kesan ekonominya berbeza sekali dengan negeri-negeri lain. Di negeri lain kerajaan terpaksa membina politeknik dan asrama. Jadi wang datang dari kerajaan dan tidak ada hasil kepada kerajaan. Tetapi di Kelantan rakyat berlumba-lumba membina rumah sewa di sekitar kawasan politeknik. Jadi penduduk mendapat pendapatan daripada sewaan rumah. Ekonomi pun berkembang kerana adanya pembinaan projek rumah tersebut. Pemilik rumah itu kebanyakan orang Melayu. Selain itu ada juga rumah-rumah kedai. Mereka juga membekalkan peralatan kepada pelajar-pelajar. Rakyat Kelantan mampu mengambil peluang tersebut. Sikap rakyat Kelantan mudah cepat respon. Mereka cepat mengambil kesempatan. Ini berbeza rakyat Kelantan berbanding dengan negeri lain. Â
Bagaimana PAS mahu menghadapi pilihan raya ketika pembangunan semakin sendat dibawa kerajaan Pusat?
ÂIni tidak membimbangkan kerana rakyat Kelantan perlukan pembangunan tetapi mereka mempunyai prinsip yang tinggi. Mereka meletakkan pembangunan ini penting tetapi bukan yang paling penting. Lebih penting mereka melaksanakan cara hidup berasaskan Islam. Mereka mahu sebuah kerajaan Islam yang dipimpin oleh pemimpin yang bertaqwa. Inilah hasrat yang paling tinggi bagi rakyat Kelantan. Prinsip ini masih utuh dan kalau tidak ada pembangunan pun tidak mengapa bagi mereka. Sebagai pejuang Islam kita duduk dalam harap dan bimbang. Dengan kebimbangan ini kita boleh bersiap sedaya upaya kita. Dan dalam masa yang sama kita perlu yakin Allah tetap akan memberi pertolongan. Kita perlu mempunyai harapan untuk terus berjaya. Bagaimanapun saya sebenarnya lebih bimbang kepada penipuan dalam pilihan raya. Ini lebih mencemaskan saya biar pun rakyat tetap bersama kita. Dengan mekanisme yang berat sebelah dan ini telah terbukti salah guna kuasa apabila mereka membawa pengundi dari luar Kelantan. Ada juga pengundi dialih ke tempat lain tanpa pengetahuan mereka. Perkara itu berlaku dalam daftar pemilih suku ketiga 2007 yang dipamerkan. Ini boleh mengalahkan undi rakyat yang sebenar. Ini cukup berbahaya. Â
Ada mekanisme tertentu bagi menghadapi pengundi luar?
ÂTanggal 10 November lalu cukup penting untuk memberi pengajaran kepada kerajaan Malaysia jika sekiranya mereka menggunakan cara-cara di luar amalan demokrasi yang bersih dan adil. Rakyat Malaysia bersedia membetulkan ketidakadilan tersebut. Tidak selama-lamanya rakyat Malaysia akan menerima sebarang bentuk penipuan terhadap amalan demokrasi di negara kita. Perhimpunan itu sangat penting dan kerajaan tidak boleh selamanya mempermainkan rakyat. Â
Melalui himpunan itu bermakna kita lebih yakin untuk menghadapi pilihan raya?
ÂSaya yakin faktor-faktor utama yang besar boleh mengubah pendirian rakyat tidak akan berlaku di Kelantan biar pun mereka melakukan pelbagai cara. Trend umum di seluruh negara ialah untuk memberi satu pengajaran terhadap kerajaan BN kerana kelemahan yang berlaku. Di Kelantan isu utama sekarang ialah Adun-Adun BN gagal melaksanakan janji-janji mereka pada pilihan raya 2004. Dan prestasi Adun BN tidak seperti yang diharap-harapkan. Ada juga fenomena di mana pemimpin-pemimpin kerajaan Pusat mendapat faedah daripada rancangan pembangunan yang diumumkan.
Mereka mendapat kekayaan mudah dengan membelakangkan rakyat biasa. Ini dapat digambarkan gaya hidup pemimpin mereka yang boleh dilihat rakyat. Ini menjadi halangan yang besar kepada rakyat untuk memberi peluang kepada mereka memerintah negeri ini. Ketika belum memerintah pun mereka telah menunjukkan selera yang tinggi untuk mengautkan kekayaan. Selain itu isu-isu utama kenaikan harga barangan harian yang semakin membebankan, peningkatan kadar jenayah, gejala sosial seperti dadah tidak ditangani secara bersungguh-sungguh sehingga menggelisahkan rakyat. Tidak ada koridor pembangunan insan yang dilancarkan. Tiada koridor pembangunan moral.
Semua koridor dilancarkan lebih bersifat materialistik. Ini menggambarkan kerajaan yang ada sekarang memberi pandangan yang tidak seimbang. Di peringkat institusi utama negara mengalami kegoncangan, ia disebut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Dato’ Ramli Yusof yang mendakwa BPR menggunakan kuasa mereka bukan untuk mencegah jenayah, sebaliknya seakan-akan melindungi penjenayah. Ini satu dakwaan yang berat menggoncangkan intergriti BPR. Kegoncangan yang sama turut berlaku dalam institusi polis, Jabatan Peguam Negara dan kehakiman, di mana kerajaan tidak boleh memberi penumpuan dalam kes klip video VK Lingam. Mereka hanya mahu mengesahkan video tersebut asli atau tidak. Sedangkan kandungan dalam video tersebut tidak diendahkan. Ini sudah cukup menggambarkan kerajaan BN berdepan dengan masalah. Dalam isu kenaikan harga minyak di pasaran dunia sekarang dengan cara perbelanjaan kerajaan BN, sebagai contoh pelancaran ECER melibatkan jumlah peruntukan yang besar iaitu sebanyak RM20 juta. Dengan cara membazir ini ditambah pula kenaikan harga minyak akan mencengkam ekonomi negara dan kewangan kerajaan. Â
Kelantan sering diuar-uarkan sebagai negeri kebajikan?
ÂJiwa berkebajikan ini memang diutamakan dalam Islam. Fahaman materialistik tidak akan menghayati jiwa berkebajikan. Untuk berkebajikan bermakna kita perlu berkorban dengan mengutamakan kumpulan dhuafat, fukara, armalah dan anak-anak yatim. Inilah kumpulan sasar yang disenaraikan oleh Islam. Jauh sebelum peradaban barat dan moden, Islam telah menyenaraikan mereka dalam al-Quran. ‘Haq Kaa Qua’ bersamaan fakir dalam Islam. Islam sejak awal lagi memperkenalkan dua kategori kemiskinan iaitu fakir dan miskin. Islam telah sebut 1,000 tahun yang lalu. Menjadi agenda yang utama bagi kerajaan untuk melayani kumpulan-kumpulan ini.
Kerajaan mesti berjimat dan berhemah dalam perbelanjaan mereka. Islam telah meletak pertanggungjawaban bagi membantu kumpulan sasar ini. Kita telah memperkenalkan pelbagai perubahan dalam membantu kumpulan tersebut. Kita menjadi negeri pertama memperkenalkan pegawai pembangunan armalah di peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri. Kita juga memperkenalkan Kifaalah untuk warga emas. Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan. Selain itu program Ladang Rakyat di mana keluarga miskin dibantu sebanyak RM200 sebulan. Dalam bahasa ECER disebut sebagai agropolitan. Kita telah melaksanakan program ini lebih awal. Kos pengeluaran petrol di negara kita antara AS$30 hingga AS$40 bagi satu tong. Dan harga bagi minyak Malaysia lebih AS$98 satu tong. Jadi kita mempunyai sumber yang besar bagi kebajikan rakyat jelata. Tanpa pembaziran yang tidak menentu kalau kita diberi peluang mentadbir Malaysia pada suatu masa nanti. Â
Ada program kebajikan lain bakal diperkenalkan?
   ÂAda dua perkara yang dirancang kerajaan negeri iaitu membina rumah mampu milik berskala besar. Sebahagian rumah ini akan diperuntukan kepada penduduk miskin bagi membolehkan mereka tinggal lebih selesa. Kerajaan sedang mengenalpasti untuk menawarkan tanah-tanah kerajaan kepada mana-mana pihak yang berminat. Selain itu kerajaan akan melaksanakan sistem pemilikan ladang komersial sawit kepada semua rakyat. Sebelum ini kerajaan memberi tanah yang luas kepada syarikat-syarikat tetapi rakyat tidak mempunyai kesempatan untuk memiliki ladang sawit. Kita merancang melaksanakan perladangan sawit memandangkan harga yang tinggi dan dapat dijual dengan unit-unit yang kecil kepada rakyat. Semua lapisan rakyat berpeluang untuk memiliki ladang sawit yang komersial. Â
Ada dakwaan mengatakan perpaduan agak longgar di kalangan pimpinan Kelantan?
ÂPada pendapat saya perpaduan di semua peringkat parti adalah lebih kukuh berbanding pada masa-masa tertentu sebelum ini. Prestasi kita yang lemah pada 2004 kerana ada sedikit sebanyak ketidakutuhan perpaduan. Di mana ada kes undi-undi yang diperolehi calon peringkat Dun lebih besar berbanding peringkat Parlimen. Bagaimanapun pada masa ini semua pihak sudah menyedari kelemahan tersebut. Perpecahan biar pun kecil akan melibatkan kesan politik yang lebih besar kepada mana-mana parti. Jadi saya yakin unsur-unsur seperti itu sudah difahami oleh ahli dan penyokong. Kalau ada mana-mana pihak yang memainkan peranan negetif tersebut dia akan dipulau ahli-ahli PAS - lanh
0 comments:
Post a Comment