Perlis mungkin lantik 2 wanita hakim syarie

KANGAR 15 Nov. – Bukan seorang tetapi berkemungkinan dua. Itulah yang dinyatakan oleh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung kesediaan negeri itu melantik wanita menjadi Hakim Mahkamah Rendah Syariah.

Menurut beliau, kelima-lima calon hakim wanita itu akan ditemu duga di sini petang esok oleh para pegawai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Kehakiman Syarie dan Jabatan Agama Islam Perlis.

‘‘Pada mulanya saya maklumkan kepada media bahawa wanita yang bakal mengisi jawatan sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah di negeri ini berusia 23 tahun. Saya tersilap. Beliau sebenarnya berusia 26 tahun.

‘‘Ekoran tekanan yang diberikan terhadapnya, beliau dilihat masih belum memberi kata putus sama ada menerima jawatan hakim itu.

‘‘Justeru, kita akan menemuduga lima calon lain petang esok,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak para pemain bola sepak Perlis di sini malam tadi.

Shahidan baru-baru ini mengumumkan bahawa Majlis Fatwa negeri itu bersetuju untuk menerima pelantikan wanita sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah.

Persetujuan itu dicapai pada persidangan Majlis Fatwa Perlis yang dipengerusikan oleh Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin Sabtu lalu.

Jika perancangan itu menjadi kenyataan, Perlis akan menjadi negeri yang pertama di negara ini melantik hakim mahkamah syariah daripada kalangan wanita di negara ini.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mempertikaikan langkah Kerajaan Perlis melantik Hakim Syarie wanita daripada calon yang baru berusia 26 tahun.

Persatuan itu meragui kredibiliti wanita berkenaan yang disifatkan terlalu muda dan mempersoalkan sama ada beliau mempunyai cukup pengalaman untuk menjadi Hakim Mahkamah Rendah Syariah.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, kelima-lima calon yang akan ditemu duga esok mempunyai pengalaman luas dalam bidang kehakiman Syariah.

‘‘Ada yang berjawatan sebagai pendaftar mahkamah dan juga peguam syarie.

‘‘Kita berkemungkinan akan melantik dua wanita untuk jawatan tersebut. Sebaik selesai ditemu duga, pelantikan ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri Rabu depan.

‘‘Jika barisan Exco bersetuju, kita akan umumkan pelantikan itu dalam masa terdekat,” ujarnya.

0 comments: