Murid tahun enam mula kayuhan 2,061km

Oleh SUWARNI MOKHTAR

PULAU PINANG 15 Nov. - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun hari ini memulakan kayuhan untuk mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pengayuh basikal termuda mengelilingi Semenanjung sejauh 2,061 kilometer (km).

Farah Aina Abdul Razak, memulakan kayuhannya dari Sekolah Kebangsaan Mutiara Perdana, Bayan Lepas di sini menuju ke Sungai Petani, Kedah dan dijangka meneruskan perjalanan selama 23 hari bagi mencatatkan rekod itu.

Pelepasan Farah Aina dari sekolah tersebut dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Maung, Ir. Mansur Musa dan dia turut diiringi oleh empat rakannya dari Persatuan Berbasikal Barat Daya hingga ke Jeti Pangkalan Sultan Abdul Halim.

Bagaimanapun kanak-kanak itu yang memperoleh 2A, 2B dan 1C dalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak sempat melihat keputusan peperiksaannya.

Farah Aina ketika ditemui berkata, dia berhasrat mencipta rekod tersebut kerana ingin membuktikan murid perempuan juga mampu melakukannya selain menguji kebolehan diri sendiri.

‘‘Saya nak tengok sejauh mana saya boleh buat dalam percubaan ini. Kalau boleh, saya ingin menamatkan perjalanan saya dalam masa 20 hari berbanding 23 hari yang dijangkakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sekolahnya di Bayan Lepas di sini hari ini sebelum memulakan kayuhan.

Farah Aina yang bercita-cita menjadi atlet lumba basikal kebangsaan turut menyimpan hasrat untuk menjelajah dunia sebagaimana yang dilakukan oleh Muhamad Muqharabbin Mokhtarudin atau Qobin yang berjaya menamatkan jelajah Ekspedisi Berbasikal Mengelilingi Dunia pada 23 Ogos lalu.

Perjalanan Farah Aina bermula dari sekolah tersebut menuju ke Sungai Petani, Kedah; Kota Sarang Semut, Alor Star, Kedah; Kangar, Perlis kemudian berpatah balik ke Kota Sarang Semut dan Sungai Petani, Kedah sebelum memulakan kayuhan menuju ke Kupang, Baling, Kedah; Gerik, Perak; Jeli, Kelantan; Pasir Puteh, Kelantan; Kota Bharu, Kelantan.

Dia kemudian dijadual melalui Kuala Terengganu; Dungun; Kuantan; Mersing, Johor; Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian Kecil, Johor; Batu Pahat; Muar; Melaka Bandar Bersejarah; Port Dickson, Negeri Sembilan; Klang; Kuala Selangor; Sabak Bernam, Selangor; Teluk Intan, Perak dan Simpang Ampat, Nibong Tebal sebelum kembali ke Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Ujarnya, dia akan berkayuh sekurang-kurangnya 100 km sehari dan menyifatkan laluan antara Gerik, Perak ke Jeli, Kelantan dan dari Jeli ke Pasir Puteh, Kelantan sebagai laluan sukar kerana berbukit.

Farah Aina mula berjinak-jinak dengan sukan berbasikal sejak di peringkat awal persekolahan dan mula menyertai pertandingan dalam sukan tersebut beberapa tahun lalu.

Bapa kanak-kanak tersebut, Abdul Razak Hashim, 42, memberitahu, dia yakin keupayaan anaknya itu untuk mencipta rekod tersebut.

‘‘Beberapa bulan lalu saya ada tanya dengan dia nak cipta rekod tak dengan kayuh basikal, tetapi bukanlah serius. Namun, dia jawab dengan yakin menyebabkan saya terus merancang perjalanan ini,” katanya.

Tambahnya, walaupun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri selepas usaha untuk mendapatkan penaja gagal, ia bukanlah satu alasan untuk menghampakan hasrat anak sulungnya itu.

Katanya, selain bertanggungjawab menjaga keselamatan dan menyelenggara basikal yang digunakan oleh anaknya itu, Abdul Razak juga akan memastikan Farah Aina mendapatkan bekalan vitamin yang mencukupi sepanjang ekspedisi itu.

0 comments: