Tiada hasrat British miliki Bt. Putih

Daripada NORAINI ABD. RAZAK

THE HAGUE, Belanda 15 Nov. – British tidak pernah menzahirkan niat untuk mendapatkan hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih ketika memohon kebenaran daripada Sultan Johor untuk membina dan mengendalikan rumah api di situ kira-kira 150 tahun lalu.

Profesor Elihu Lauterpacht berhujah, walaupun Singapura mendakwa kehadiran British di pulau itu pada tahun 1847 hingga 1851 menunjukkan ia mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, namun republik itu gagal mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan tersebut.

Katanya, tujuan sebenar British berada di Pulau Batu Putih amat jelas iaitu bagi membina rumah api serta berperanan sebagai pengendali kemudahan tersebut.

Menurut beliau, ia tidak ada kena-mengena dengan hasrat British untuk mendapatkan hak kedaulatan di situ.

Perkara itu, kata Lauterpacht, dibuktikan satu persatu bermula dari surat pertama hasrat British membina rumah api iaitu pada tahun 1844 hinggalah kepada pemilihan Pulau Batu Putih sebagai lokasi muktamad iaitu dua tahun selepas itu.

Malah, hujah beliau, surat Sultan dan Temenggung Johor pada tahun 1844 jelas menunjukkan bahawa Johor memberi kebenaran kepada British untuk membina rumah api di kawasan berhampiran Romania atau kawasan-kawasan yang bersesuaian.

Surat tersebut, jelas Lauterpacht, langsung tidak menyebut tentang memberi kebenaran kepada British untuk mendapatkan hak kedaulatan di lokasi yang mereka pilih iaitu pertamanya pulau Peak Rock dan muktamadnya ialah Pulau Batu Putih.

“Malaysia tidak menafikan bahawa British yang membina rumah api itu.

“Tetapi Malaysia tidak dapat menemui sebarang bukti semasa proses rumah api itu dibina (1847-1851) yang menggambarkan niat British untuk mendapatkan kedaulatan di wilayah itu.

“Fakta yang paling jelas ialah tiada satu pun dokumen sepanjang tempoh itu yang mengandungi perkataan bagi menunjukkan hasrat British untuk berbuat demikian,” katanya semasa berhujah pada hari ketiga pusingan pertama hujah lisan Malaysia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini hari ini.

Lauterpacht menarik perhatian mahkamah mengenai amalan wajib British setiap kali mengisytiharkan kedaulatannya di mana-mana pulau atau wilayah sedangkan amalan seumpama itu tidak dilaksanakan di Pulau Batu Putih.

Amalan tersebut, hujah beliau, termasuk mengisi borang perisytiharan kedaulatan seperti yang disebut dalam laporan Thompson berhubung tindak-tanduknya ketika mendapatkan kedaulatan di Pulau Ubin, Pulau Arnab dan Pulau Coney yang terletak 10 batu dari Singapura.

Beliau juga merujuk kepada tatacara British ketika mendapatkan hak kedaulatan di pulau Rockall pada tahun 1995 yang terletak 255 batu ke barat Ireland iaitu dengan meletakkan plak yang antara lain tertera ayat-ayat menunjukkan bahawa British menguasai pulau itu.

Begitu juga dengan kehadiran British di Labuan pada tahun 1846 yang dengan jelas menunjukkan proses mendapatkan hak kedaulatan di situ bermula dengan surat gabenor pada tahun 1846 dan diikuti dengan upacara menaikkan bendera rasmi negara berkenaan di pulau itu.

“Pada 30 September 1846 ketika British di Singapura mencadangkan kepada Pengarah Syarikat Hindia Timur supaya Rumah Api Horsburgh dibina di Pulau Batu Putih, tidak disebutkan langsung niat untuk mendapatkan hak kedaulatan di situ,” hujah Lauterpacht.

Beliau berkata, semua surat-menyurat yang lain hanya menyebut tentang prosedur serta proses pembinaan rumah api tanpa ada satu pun yang menyentuh tentang niat British untuk mendapatkan hak kedaulatan di Pulau Batu Putih.

Lauterpacht turut membangkitkan notis kepada pelayar-pelayar yang dikeluarkan oleh Gabenor British ketika Rumah Api Horsburgh hendak memulakan operasinya pada tahun 1851.

Katanya, walaupun notis tersebut dikeluarkan oleh gabenor Singapura namun ia tidak menunjukkan sebarang isyarat bahawa pulau tersebut adalah milik British sebaliknya ia hanyalah notis menandakan rumah api itu akan mula beroperasi.

Beliau memberitahu mahkamah, pada 27 September 1851, Gabenor Negeri-Negeri Selat dengan diiringi oleh Pencatat Negeri-Negeri Selat melawat rumah api itu sambil menyatakan rasa puas hati kerana segala-galanya berjalan lancar.

“Tiada apa yang dapat direkodkan oleh Thomson (beliau melaporkan segala-galanya mengenai pembinaan Rumah Api Horsburgh) sebagai bukti bahawa British menganggap pulau itu sebagai wilayahnya,” hujah Lauterpacht.

– Utusan

0 comments: