Kenyataan Rommel melampau, biadab

Oleh Amirullah Andi Nur

KUALA LUMPUR: Pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) semalam mengutuk tindakan bekas Duta dan Ketua Delegasi Suruhanjaya Eropah (EC) ke Malaysia, Thierry Rommel kerana membuat dakwaan tidak benar dan berniat jahat terhadap negara ini.

Mereka sepakat mahu Rommel segera memohon maaf kepada kerajaan berhubung dakwaannya bahawa Malaysia kini dalam keadaan darurat sejak perhimpunan haram di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang turut berang berkata, EU sepatutnya menghantar pengganti Rommel dari kalangan diplomat yang tahu menghormati kedaulatan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka.

“Kenyataan Rommel adalah melampau dan membayangkan kejahilannya terhadap sosio politik negara, walaupun sudah lama berkhidmat di Malaysia.

“Dulu, dia kritik Dasar Ekonomi Baru (DEB), sekarang dia buat perkara hampir sama untuk mencampuri urusan negara. Kita anggap Rommel biadab dan tidak tahu menghormati kerajaan Malaysia yang dipilih rakyat melalui proses demokrasi,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika ditemui pemberita di Singapura, menyelar tindakan Rommel yang disifatkannya bertindak melampau dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya daripada seorang duta.

Ini kali kedua Rommel cuba mencampuri urusan Malaysia selepas 21 Jun lalu beliau dilaporkan mengkritik DEB apabila menganggapnya tidak sesuai dan penghalang kepada perjanjian perdagangan bebas kerana bersifat memberi perlindungan.

Berikutan itu, beliau dipanggil ke Wisma Putra untuk memberi penjelasan dan dalam penjelasannya Rommel berkata, bukan maksudnya untuk mencampuri hal ehwal dalaman Malaysia.

Setiausaha Pemuda BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata kenyataan Rommel itu menunjukkan beliau seorang yang bongkak, sombong dan tidak ‘gentlemen’ kerana berbuat demikian selepas tidak lagi memegang jawatannya itu.

“Sebab itu, kita tidak hairan khidmatnya di negara ini ditamatkan. Sebagai orang yang cetek ilmu politik Malaysia, dia tidak berhak mencampuri urusan negara, terutama membuat perbandingan dengan sistem demokrasi di Eropah,” katanya.

Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad, berkata tindakan Rommel jelas tidak menghormati pemerintahan negara ini, selain menunjukkan kejahilannya terhadap politik Malaysia.

“Siapa dia sebenarnya nak buat kenyataan seperti itu? Dia tidak berhak nak campur tangan urusan negara ini apalagi membuat kenyataan tidak bertanggungjawab seperti itu.

“Kalau ditanya, bagi kami orang seperti ini adalah kurang ajar dan tidak seharusnya dibenarkan berkhidmat di negara ini lagi,” katanya.

Naib Presiden MIC, Datuk S Veerasingam berkata, Rommel tidak berhak campur tangan terhadap urusan negara kerana kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mampu membuat yang terbaik untuk rakyat.

“Rommel perlu sedar, kerajaan BN adalah kerajaan yang mementingkan perpaduan dan perdamaian. Pertukaran kerajaan pula dilakukan setiap lima tahun sekali melalui proses demokrasi,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan kenyataan Rommel didalangi pihak tertentu dan mahu beliau segera memohon maaf secara rasmi kepada kerajaan Malaysia.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang juga Setiausaha Organisasi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Datuk Peter Chin Fah Kui berkata, Rommel tidak berhak membuat komen seperti yang dilaporkan itu.

“Saya menyokong kenyataan Datuk Seri Najib terhadap pelakuan Rommel itu,” katanya.

0 comments: