Projek di Banding tetap diteruskan

IPOH 15 Nov. – Kerajaan negeri tidak akan menghentikan projek pembangunan di sekitar Tasik Banding, Gerik dekat sini, meskipun berlaku runtuhan pada bangunan dua tingkat milik Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) kelmarin.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali berkata, selain pembinaan bangunan PTNP yang runtuh itu, beberapa syarikat termasuk dari luar negara sudah merancang memajukan pelbagai projek di Pulau Banding.

Antara projek tersebut ialah kerja-kerja menaik taraf bangunan di Resort Banding Island oleh syarikat MKLand serta pembinaan rumah rehat yang mempunyai 100 bilik dan sebuah hotel bertaraf enam bintang di Pulau Besar Banding oleh dua syarikat lain.

‘‘Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga menerima permohonan sebuah syarikat Denmark yang ingin memajukan industri penternakan ikan talapia di Tasik Temenggor dan Empangan Chendering.

‘‘Kita sudah bersetuju menerima tawaran mereka dan meluluskan pemberian tanah seluas 50 hektar bagi memajukan projek tersebut, ikan talapia itu akan dieksport ke Amerika Syarikat dan Eropah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Penutupan Seminar Pendidikan Islam Negeri Perak di Institut Tadbiran Islam di sini hari ini.

Runtuh

Dalam kejadian kelmarin, sebuah bangunan dua tingkat milik PTNP di Tasik Banding runtuh dipercayai berpunca akibat kelemahan pada cerucuk dan ketidaksesuaian reka bentuk bangunan itu.

Bangunan itu yang dibina dengan kos RM4.5 juta sepatutnya menjadi pusat pentabdiran Taman Negeri Royal Belum.

Menurut Tajol Rosli, tiada sebab untuk kerajaan negeri membatalkan semua projek pembangunan di sekitar Tasik Banding hanya kerana berlaku runtuhan itu.

Tambahnya, kejadian tidak menggambarkan keseluruhan kawasan di Tasik Banding tidak selamat dibangunkan tetapi yang penting setiap pembangunan yang dirancang mestilah dibuat secara berhati-hati.

‘‘Sebelum ini, terdapat beberapa kejadian bangunan runtuh berlaku di negara ini tetapi masih banyak pembangunan lain diteruskan di tempat tersebut dan inilah yang akan kita buat di Tasik Banding.

‘‘Ada banyak punca yang mengakibatkan kejadian runtuhan itu, antaranya mungkin disebabkan pergerakan tanah akibat hujan lebat.

‘‘Jika itu puncanya, saya nasihatkan lain-lain syarikat pemaju supaya lebih berhati-hati selepas ini,” jelasnya.

0 comments: