KUALA LUMPUR: "Mama, Raziq dapat 5A..," hanya itu yang mampu diungkapkan Mohd Danish Raziq Mohd Faizal dalam nada tersekat-sekat sambil menangis ketika menghubungi ibunya yang kini menjalani rawatan di Hospital Ampang, Pandan Mewah, di sini akibat menderita penyakit kanser darah atau limfoma tahap keempat.
Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen Tujuh, Bandar Baru Bangi itu menyifatkan keputusan cemerlangnya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007 yang diumumkan semalam, sebagai hadiah cukup bermakna kepada kedua-dua orang tuanya, terutama ibunya, Sharifah Zaleha Syed Adnan, 41.
"Melihatkan kekuatan semangat mama berjuang melawan penyakitnya, saya tekad berusaha bersungguh-sungguh dan memberi sepenuh tumpuan terhadap pelajaran demi mencapai kecemerlangan.
"Bukan tidak bimbang keadaan mama tetapi saya berazam untuk memberikan kejayaan sebagai hadiah istimewa, sekali gus membahagiakan mama dan ayah.
"Walaupun tidak sihat, mama sentiasa menitikberatkan kepentingan pelajaran. Malah, kesanggupan mama mendapatkan kebenaran keluar wad semata-mata untuk membimbing saya membuat persediaan akhir menghadapi peperiksaan UPSR, September lalu, membuatkan saya amat terharu dan menghargai pengorbanannya.
"Pernah sewaktu menduduki peperiksaan UPSR, saya teringat dan rindu kepada mama. Lantas, saya menguatkan semangat serta berazam melakukan yang terbaik untuk cemerlang kerana berpegang kepada pesanan mama.
"Saya memang terkejut tetapi bersyukur mendapat keputusan cemerlang ini kerana tidak pernah memperoleh 5A dalam peperiksaan di sekolah," katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di SK Seksyen Tujuh, semalam.
Justeru menyedari masih ada kelemahan perlu diperbaiki, anak kedua daripada tiga beradik itu memanfaatkan peluang menyertai pelbagai program ilmiah diadakan guru dan sekolah, termasuk program Klinik UPSR yang dianjurkan secara pakej dengan kerjasama Unit Pendidikan Berita Harian, Ogos lalu.
Raziq adalah antara 43 calon SK Seksyen Tujuh, yang memperoleh 5A dalam peperiksaan UPSR 2007. Sekolah berkenaan mempunyai 270 calon UPSR 2007 dan pencapaian diperoleh itu adalah prestasi terbaik setakat ini.
0 comments:
Post a Comment