Orang Melayu mesti tambah nilai diri: PM

Oleh Misiah Taib

MELAKA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menekankan kepentingan orang Melayu dan umat Islam sentiasa menambah nilai dalam diri, mahu mereka menuntut ilmu pengetahuan seluas-luasnya dengan menjadikan pembangunan modal insan sebagai kepentingan utama.

Pada masa sama, Perdana Menteri mahu mereka sentiasa memupuk keazaman untuk menjadi ummah cemerlang, gemilang dan terbilang sebagai pendorong memajukan diri.

Beliau berkata, tiada noktah dalam mengejar ilmu pengetahuan dan tidak ada sesuatu yang lebih bernilai bagi sesuatu bangsa, melainkan ilmu yang ada pada masyarakatnya.

Katanya, manusia adalah nilai dan aset paling besar bagi sesuatu bangsa kerana manusia boleh diberikan ilmu pengetahuan, kepandaian, kecekapan dan kemahiran supaya dapat menyumbang kepada pembangunan bangsa dan tamadun.

"Ada sebabnya juga mengapa saya mahu kita berfikir untuk menjadi umat cemerlang, gemilang dan terbilang. Jika ini sentiasa ada dalam pemikiran kita, maka ia akan menjadi pendorong untuk kita mencapainya.

"Bagi satu bangsa dan tamadun, jika kita nak wujud selama-lamanya, kita mesti relevan serta sanggup mengejar matlamat yang lebih tinggi dan terus naik ke tahap yang lebih tinggi," katanya ketika merasmikan Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Kelapan di Holiday Inn Melaka, petang semalam.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka yang juga Presiden DMDI, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Abdullah berkata, matlamat menjadikan kecemerlangan, kegemilangan dan terbilang sebagai sasaran perlu digerakkan bagi meningkatkan pencapaian dan nilai diri sesuatu bangsa.

Beliau berkata, tanpanya, yang ada tinggal hanya kejumudan yang akan menyaksikan mereka tidak bergerak ke hadapan, tidak mengecapi kemajuan, tidak mempunyai nilai tambah dan akan terus ketinggalan.

"Bila sudah jumud, tunggu sajalah dalam masa tidak lama, maka berlakulah keruntuhan sesuatu bangsa... mungkin akan pupus, mungkin sudah tidak ada lagi, mungkin tidak wujud lagi atau terus ketinggalan," katanya.

Beliau berkata, apabila sesuatu bangsa ketinggalan, maka orang tidak akan mempedulikan bangsa berkenaan dan tidak akan memberi perhatian kepada mereka.

Abdullah juga berkata, bangsa Melayu dan umat Islam tidak harus cepat berpuas hati apabila menjadi ummah cemerlang, sebaliknya meningkatkan lagi usaha untuk menjadi gemilang dan seterusnya ummah terbilang.

Beliau berkata, usaha menambah nilai diri mesti dijadikan usaha sepanjang masa dan mereka tidak harus mudah berputus asa dengan bekerja lebih gigih bagi mencapai tahap kejayaan paling tinggi.

"Tapi, ini tidak bermakna kita riak, sombong dan angkuh kerana mengejar kemajuan dan ilmu pengetahuan menggunakan segala nikmat yang Allah berikan, dituntut Islam dan kitab suci al-Quran," katanya.

Pada majlis itu Perdana Menteri menerima anugerah tertinggi DMDI, Anugerah Mansur Syah DMDI (AMSD) sebagai mengiktiraf perjuangannya memajukan bangsa Melayu pada peringkat antarabangsa.

0 comments: