Tiada lagi hadiah penyapu – Khir Toyo

SHAH ALAM 15 Nov. – Tiada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor akan menerima anugerah penyapu pada tahun depan memandangkan sehingga kini kesemua PBT di negeri ini telah mencatatkan kutipan hasil melebihi 50 peratus.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, anugerah penyapu yang diberikan kepada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) tiga hari lalu adalah berdasarkan pencapaian dan prestasi PBT tersebut pada tahun operasi 2006.

‘‘Penilaian dibuat untuk kerja-kerja tahun lepas, cuma anugerahnya diberikan tahun ini. Untuk tahun hadapan, sehingga kini saya menerima laporan semua PBT mencatatkan hasil yang melebihi 50 peratus.

‘‘Justeru, ia memberi petunjuk tiada PBT yang akan menerima penyapu lagi tahun hadapan,” kata Mohamad Khir di sini hari ini.

Isnin lalu, pada majlis anugerah sempena Bulan Kualiti 2007 Mohamad Khir menghadiahkan penyapu kepada MDHS yang diwakili oleh Yang Dipertuanya, Tukiman Nail dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor kerana tidak mencapai sasaran kutipan cukai.

Langkah kerajaan Selangor itu dikritik oleh pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Larut, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Azizah Mohd. Dun dalam Dewan Rakyat semalam.

Beberapa pihak lain termasuk ulama dan kesatuan-kesatuan sekerja juga mengecam langkah itu yang menyifatkannya sebagai terlalu hina dan mengaibkan kakitangan awam.

Bagaimanapun, Mohamad Khir sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri Selangor itu tidak berunsur penghinaan.

Sebaliknya, ujar beliau, ia dibuat semata-mata untuk memberi kesedaran dan peringatan agar penjawat awam terus berusaha menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ramli Mahmud berkata, setiap PBT di Selangor telah dimaklumkan terlebih dahulu tentang anugerah penyapu tersebut malah ia turut dilaporkan akhbar-akhbar tempatan ketika pengumuman itu dibuat.

Beliau berkata, anugerah penyapu tersebut tidak mempunyai unsur negatif sebaliknya ia mewujudkan keadaan yang seimbang antara PBT yang cemerlang dan PBT yang memilih tidak cemerlang.

‘‘Selama ini kita beri anugerah atau ganjaran wang kepada agensi yang cemerlang sahaja. Jadi kalau yang tak cemerlang, mereka juga perlu mendapat ganjaran atau hukuman. Langkah ini lebih adil,” katanya.

0 comments: