‘Usah diracuni pemikiran negatif’

Oleh Zulkofli Jamaludin dan Nazura Ngah



PERMAISURI: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah atau usaha pihak tertentu yang cuba meracuni pemikiran mereka hingga boleh membantutkan kemajuan dan pembangunan sosioekonomi masyarakat.

Perdana Menteri berkata, unsur tidak yakin dengan kebolehan dan kemampuan diri sendiri boleh menjadi racun, sekali gus menggagalkan usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup penduduk.

Sebaliknya beliau meminta rakyat memperkasakan ilmu pengetahuan, mempelajari ilmu baru dan yang paling penting menukar cara berfikir serta berkeyakinan untuk maju.

“Saya sentiasa mengatakan bahawa dalam hidup, kita mesti ada perjuangan, misi, kita ada Misi Nasional dan perjuangan itu mestilah berasaskan kepada beberapa formula yang kita mesti jayakan... kita mesti memperkasakan ilmu pengetahuan, mempelajari ilmu baru, menukar cara berfikir dan sikap.

“Jangan diracuni pemikiran dengan isu yang melemaskan, dengan fikiran yang mengecewakan diri, dengan fikiran yang sentiasa membuatkan kita sentiasa kata tidak boleh.

“Inilah fikiran yang meracuni, fikiran yang tidak mempunyai keyakinan, fikiran yang melemahkan, menyusahkan kita nak berikhtiar bersungguh-sungguh,” katanya ketika melancarkan Program Skim Untuk Kesejahteraan Petani (Sutratani) di Kampung Telaga Papan dekat sini, semalam.

Perdana Menteri berkata, tanpa keyakinan, ilmu pengetahuan dan usaha, hidup akan miskin dan merana.

Beliau berkata, umat Islam tidak seharusnya membiarkan hidup mereka merana di dunia, sebaliknya Allah menghendaki hamba-Nya menikmati hasanah atau kebahagiaan di dunia dan akhirat.

“Allah SWT mahu kita berusaha bersungguh-sungguh, Allah tidak mahu kita menjadi malas sebab itu doa yang kita baca meminta dijauhkan daripada penyakit malas.

“Penyakit malas datang daripada orang yang tidak ada fikiran untuk bekerja, dia tidak tahu apa nak buat, dia lemah badan, dia tidak yakin dia boleh buat sesuatu yang lebih baik, semua dilihat susah, susah, susah, itu yang dia nampak.

“Apabila segala-gala susah maka akhirnya dia jadi orang susah, jika dia fikir itu susah, ini susah, tidak boleh buat, akhirnya dia akan jadi orang susah, jangan kita bersikap seperti itu, kita kena berani membawa perubahan,” katanya.

Abdullah turut mengingatkan pengusaha supaya mengusahakan bidang yang mempunyai pasaran seperti ternakan kerapu, sekali gus mendatangkan keuntungan lumayan berpadanan dengan usaha dilakukan.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap pemikiran negatif yang mungkin wujud terhadap program Sutratani yang dikatakan berjaya disebabkan usaha warga asing.

“Saya takut ada pemikiran semacam ini... ini bolehlah buat sebab orang putih, orang Belanda buat, ini racunkan diri dan program itu berjaya kerana orang kaya buat, orang miskin macam kita tak boleh buat, orang kaya makin kaya ... ini racun fikiran yang jadikan kita lemah, yang jadikan kita susah, sebab kita menyusahkan diri dan kita pandang segala-galanya susah.

“Jangan sapa-sapa kata tak boleh datuk... ini racun, tak boleh datuk, karut je tu, cakap besar je tu, ini adalah racun fikiran, orang yang macam ini yang nampak semua susah akhirnya jadi susah, jangan kita pandang semua susah,” katanya.

Abdullah menyarankan supaya bidang pertanian mempunyai enterpris seperti bidang perkilangan dan perniagaan lain.

“Bukan hanya enterpris dalam perkilangan, perniagaan, tetapi pertanian juga boleh dimasukkan enterpris.

“Setiap kelompok minta pinjaman daripada Bank SME atau Bank Pertanian dengan kadar faedah berpatutan,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Terengganu yang mengekalkan kejayaan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk kali ketujuh.

Kejayaan itu, katanya, adalah hasil kerjasama semua pihak dan kejayaan itu memberi kekuatan seperti ‘tonik’ untuk terus berusaha.

0 comments: