Siti Salmah beri tindak balas

Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY

KUALA LUMPUR 18 Nov. – Siti Salmah Jasni, 18, gadis yang menjalani pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru serentak pada 2 November lalu menunjukkan perkembangan positif hari ini dan cuba melemparkan senyuman walaupun tiub bantuan pernafasan masih berselirat di badannya.

Utusan Malaysia diberitahu, kesihatan gadis itu semakin baik sejak dua hari lalu walaupun dia masih di bawah kawalan ubat pelali dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Institut Jantung Negara (IJN).

“Kita lihat ada perkembangan baik. Ini berita gembira yang sudah dikongsi bersama ahli keluarganya yang selama ini bersedih.

“Dia (Siti Salmah) memberi tindak balas. Walaupun tidak bercakap tetapi kita tahu dia mahu berkomunikasi dengan orang sekeliling,'' kata satu sumber IJN di sini hari ini.

Tambah sumber itu, bapa Siti Salmah, Jasni Zainal, 52, juga kelihatan ceria melihat perkembangan positif anaknya itu.

“Kita tahu bapa dan ahli keluarganya gembira dengan perubahan ini. Situasi Siti Salmah yang sangat kritikal minggu lepas sudah menjadi sebaliknya.

“Raut wajah Siti Salmah masih menunjukkan kesakitan tetapi penuh dengan semangat yang pulih dan sihat,'' ujarnya.

Jelasnya, masalah tekanan darahnya yang agak rendah juga sudah semakin pulih dan bengkak pada muka Siti Salmah juga semakin berkurangan.

“Perubahan yang besar dari minggu lepas. Kita jangka keadaannya akan bertambah baik dalam minggu ini,'' katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Mohd. Radzif Mohd. Yunus ketika dihubungi berkata, pengumuman rasmi tentang keadaan Siti Salmah akan dibuat dalam masa terdekat.

“Kita jangka ia dibuat seawal bulan depan selepas mendapat persetujuan doktor yang merawat dan ahli keluarga Siti Salmah sendiri.

“Kita tahu keadaannya selama ini agak kritikal. Doakan kesihatan Siti Salmah kembali baik seperti mana harapan seluruh ahli keluarganya,'' katanya.

Kisah Siti Salmah, pelajar Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai yang menunggu sumbangan jantung dan paru-paru dipaparkan dalam Utusan Malaysia pada pertengahan bulan lalu.

Sejak itu, pelbagai usaha dilakukan untuk membantunya mendapatkan organ baru sebagaimana yang diterima pesakit jantung, Tee Hui Yee, 14, yang selamat menjalani pembedahan pada awal bulan lepas.

Siti Salmah menjalani pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru awal bulan ini selepas keluarga seorang wanita yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kedah bersetuju mendermakan semua organ dan tisu badan wanita berkenaan.

Namun, nasib Siti Salmah tidak seperti Hui Yee yang menunjukkan tanda-tanda pemulihan memberangsangkan, malah mencatatkan keputusan gred 1 A iaitu hampir tiada penolakan langsung pada sistem badannya dalam ujian biopsi selepas seminggu dibedah.

0 comments: