PEMAISURI: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh supaya membawa perubahan besar pada masyarakat nelayan di Terengganu supaya keluar daripada belenggu kemiskinan.
Perdana Menteri membuat cabaran itu kerana nelayan di negeri Pantai Timur dianggap kelompok miskin yang pendapatannya tidak mencukupi bagi menampung keperluan sekeluarga.
Beliau berkata, sudah tiba masanya kehidupan nelayan yang bertarung dengan ombak dan ribut, terutama pada musim tengkujuh berubah dengan menjadi penternak ikan terutama spesies mahal.
Katanya, dengan kaedah baru dan perancangan teliti termasuk perubahan pemikiran, teknologi moden, ikan dan benih bermutu tinggi serta pasaran tersedia, kehidupan nelayan miskin boleh berubah.
“Maka, saya mencabar Datuk Yeh (Idris) supaya membuat satu perubahan besar kepada nelayan di Terengganu supaya tidak lagi menjadi kumpulan miskin,” katanya pada majlis pelancaran Skim Untuk Kesejahteraan Petani (Sutratani) di Kampung Telaga Papan, dekat sini, semalam.
Perdana Menteri juga mengingatkan penternak ikan bijak memilih jenis ternakan supaya setimpal dengan usaha dan penat lelah. Katanya, spesies mahal seperti kerapu ada pasaran tinggi.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis Jamuan Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman dalam Dewan Undangan Negeri Batu Burok, di Kuala Terengganu, malam tadi, Abdullah berkata, kerajaan memberikan perhatian serius terhadap pembangunan negeri Pantai Timur dan Utara Semenanjung supaya kawasan itu tidak ketinggalan berbanding Lembah Klang, Lembah Kinta dan Pulau Pinang.
Perdana Menteri berkata, perancangan memerlukan pelaksanaan yang sebaik-baiknya kerana pembangunan bukan mengambil masa yang singkat, sebaliknya membabitkan tempoh yang panjang.
“Kita mesti memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran... insya-Allah dengan perancangan yang baik, maka apa yang dirancang dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.
0 comments:
Post a Comment