Pembangkang terdesak mahu pilihan raya cepat

Oleh Shaarani Ismail dan Baharom Bakar


HASIL SENI: Abdullah bersama Jeanne tertarik melihat gambarnya dilukis pelajar pada sesi lawatannya di Program Pembangunan Tenaga Mahir ICT e-FARM di Pusat Animasi Paya Keladi, semalam.

KUALA TERENGGANU: Pembangkang kini berada dalam keadaan terdesak untuk menghadapi pilihan raya umum sehingga sanggup mengheret dan mengaitkan institusi beraja dalam perhimpunan haram, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, melalui cara itu pembangkang berharap pilihan raya umum akan dipercepatkan.

"Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sudah mengeluarkan kenyataan yang cukup jelas dan tegas, dan terbukti baginda tidak berkenan dengan tindakan dilakukan pembangkang.


"Bila kaitkan raja, (itu) satu tindakan besar dan tindakan orang yang terdesak. Tindakan dilakukan dalam mengharapkan pilihan raya umum dipercepatkan," katanya pada sidang media selepas melawat Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man di sini, semalam.

Lawatan ke taman itu yang dijadual dibuka 1 Februari tahun depan, adalah antara tiga projek dilawati Perdana Menteri sempena lawatan kerja sehari beliau ke Terengganu.

Hadir sama isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin.


Perdana Menteri mengulas laporan akhbar penjelasan Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Istana Negara yang tidak pernah memperkenankan atau menyokong mana-mana pihak yang menganjurkan atau terbabit dalam perhimpunan haram itu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Mohd Safiain Wan Hasan, menegaskan Seri Paduka kesal kerana ada pihak mendakwa perhimpunan itu mendapat perkenan dan sokongan baginda serta Istana Negara.

Perhimpunan haram di ibu negara 10 November lalu, dianjurkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang turut didalangi pemimpin parti pembangkang.

Sementara itu, mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, beliau tahu tarikh pilihan raya umum akan datang, Abdullah berkata, kuasa membubarkan Parlimen terletak di tangan beliau selaku Perdana Menteri.

"Tunggu sehingga Parlimen dibubarkan bagi mengetahui tarikh Pilihan Raya Umum ke-12 diadakan.

"Semua pihak tidak perlu memikirkan bila pilihan raya akan diadakan kerana kuasa membubarkan Parlimen terletak di tangan saya selaku Perdana Menteri.

"Apa yang disibukkan (pilihan raya). Kita tak bubar Parlimen, macam mana dia (Abdul Rashid) tahu (tarikhnya). Bubar Parlimen saya yang tentukan, apa yang disibukkan," katanya.

0 comments: