Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD
SETIU 18 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekali lagi mengingatkan rakyat supaya menghapuskan racun minda yang boleh membantutkan setiap usaha baik yang mereka lakukan.
Perdana Menteri berkata, sikap melihat sesuatu kerja sebagai mustahil untuk dijayakan hanya akan menjadi racun kepada minda dan menghalang individu daripada berjaya dalam kehidupan.
‘‘Semua benda yang ada di depan dilihat susah... ini susah, itu susah. Susah, susah, susah... akhirnya dia akan jadi orang susah. Inilah orang kita, ini susah, itu susah,” tegas beliau.
Abdullah menyatakan demikian semasa berucap merasmikan Program Skim Untuk Kesejahteraan Petani (Sutratani) di Kampung Telaga Papan di sini hari ini.
Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah.
Program Sutratani ialah skim yang diilhamkan oleh kerajaan negeri Terengganu untuk memodenkan bidang pertanian di negeri ini dengan faedahnya akan diperoleh oleh peserta dan golongan yang berpendapatan rendah.
Program yang menggunakan kepakaran dan teknologi Belanda itu dibangunkan dengan kos RM4 juta di atas tanah seluas 5.5 hektar serta menempatkan 30 peserta sebagai inkubator.
Mengulas lanjut isu racun minda yang dibangkitkannya pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, Abdullah menegaskan, racun minda yang menyelubungi pemikiran seseorang jika dibiarkan boleh menyekat apa juga perubahan untuk kemajuan.
Beliau berkata, pengaruh racun minda akan menjadikan masyarakat kurang berkeyakinan dan gagal memajukan diri sendiri.
‘‘Islam tidak mahu umatnya hidup dalam kemiskinan, sebaliknya mengajak umat berusaha bersungguh-sungguh dan jangan dibiarkan minda mereka diracuni,’’ katanya.
Beliau berkata, kerja yang tidak membuahkan hasil atau tidak berjaya pasti akan membuatkan seseorang berasa lemah dan letih.
Dalam konteks itu, beliau turut mencabar Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh agar melakukan perancangan teliti dalam usaha meningkatkan ekonomi nelayan Terengganu.
Beliau berkata, pendapatan nelayan di negeri ini yang dikategorikan sebagai miskin ketika ini sememangnya tidak cukup untuk menampung sara hidup mereka.
‘‘Saya memberi cabaran ini kepada Idris (Menteri Besar) sebab nelayan di Terengganu dianggap kumpulan miskin,’’ kata Abdullah.
Kira-kira 10,000 penduduk menghadiri majlis tersebut termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin.
0 comments:
Post a Comment