Pasukan pilihan tunjuk belang

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman, Matzidi Dris, Azizan Hashim dan Mohd Amin Jalil


TAK LEPAS: Pemain Selangor, P Gunalan (kanan) menghalang pemain Negeri Sembilan, Efendi Abdul Malek dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.

Selangor, Perak, Pahang dan Polis mula pamer aksi garang kutip mata penuh

JUARA Liga Perdana musim lalu, Polis, naib juara musim lalu Perak, juara 2004, Pahang, dan Selangor masing-masing membuka tirai kempen Liga Super dengan membawa pulang tiga mata apabila membenam cabaran lawan mereka pada malam pertama saingan, malam tadi.

Polis membelasah Sarawak 4-1 di Kuching, Pahang membenam Pulau Pinang 2-0 di gelanggang lawan, Selangor mengalahkan Negeri Sembilan 2-0 di Paroi manakala Perak turut mencipta kemenangan dengan jaringan sama ke atas DPMM FC dari Brunei, tetapi beraksi di gelanggang sendiri.


Di Stadium Sarawak, Kuching, Polis bermula cemerlang menundukkan tuan rumah Sarawak 4-1, terima kasih kepada penyerang importnya Hilary Echesa menyumbang dua gol.

Polis mendahului Sarawak pada minit ke-30 menerusi Echesa yang menerima hantaran lintang Fazli Baharuddin dari sebelah kiri tetapi lapan minit kemudian, tuan rumah menyamakan kedudukan melalui percubaan pemain importnya Jose Luis Vieira yang menerima hantaran lintang Zamri Morshidi.

Polis kembali di depan sesudah pemain import dari Singapura, Ahmad Latiff Khamarudin menjaringkan gol kedua ketika pergelutan dalam kotak penalti pada minit ke-57 sebelum dua lagi gol menyusul menerusi Fadli Kassim (70) dan Echesa (82).


Sarawak gagal menggunakan peluang ketika Polis beraksi dengan 10 pemain sejak minit ke-57 apabila Marwadi Zekaria dibuang padang kerana bertumbuk dengan seorang pemain tuan rumah.

Di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, juara Liga Super 2004, Pahang mencatat kemenangan 2-0 ke atas tuan rumah Pulau Pinang bagi memastikan tiga mata penuh skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan.

Pemain muda Mohamad Kamal Rodiarjat Mohd Ali membuka tirai jaringan pada minit ke-18 selepas menyempurnakan gerakan satu-dua dengan Eswady Mokhtar dengan satu tandukan.

Skuad Pulau Mutiara sepatutnya mampu memecah kebuntuan seawal minit kelima tetapi tandukan Farizal Rozali ditepis bekas penjaga gol kebangsaan, Syamsuri Mustafa sebelum terkena palang.

Gol kedua Pahang diperoleh menerusi sepakan penalti pada minit ke-79, selepas pertahanan Pulau Pinang, Nor Efendy menjatuhkan Tengku Hasbullah Raja Hassan di dalam kotak penalti dan Rosdi Talib mudah menyempurnakan sepakan bagi Pahang memulakan musim baru penuh bergaya.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, permulaan sempurna dicari Selangor menjadi kenyataan apabila menundukkan tuan rumah, Negeri Sembilan dengan kemenangan 2-0.

Selepas terikat tanpa jaringan di babak pertama, P Gunalan membuka tirai jaringan skuad kendalian Dollah Salleh itu apabila memanfaat kesilapan benteng lawan dengan tolakan mudah ke gawang pada minit ke-50.

Kelebihan itu digandakan Mohd Amri Yahyah pada minit ke-65 merembat sepakan sudut D Surendaran bagi menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd Farizal Harun.

Di Stadium Perak, dua sentuhan penyerang veteran, Khalid Jamlus membolehkan tuan rumah membuka kempen musim baru dengan kemenangan 2-0 menewaskan wakil Brunei, DPMM FC 2-0.

Gol pembukaan hadir selepas hanya empat minit aksi apabila Khalid menerima kemas umpanan pendek Mohd Razali Umar dan meledakkan rembatan menewaskan penjaga gol DPMM FC, Mohd Wardun Yussof dan gol kedua pada minit terakhir perlawanan hasil umpanan Ahmad Shahrul Azhar.

0 comments: