Fertigasi ubah corak pertanian

SETIU 18 Nov. – Rakyat khususnya penduduk Kampung Telaga Papan di sini wajar bersyukur apabila projek tanaman secara fertigasi yang selama ini hanya disaksikan di kaca televisyen kini dilaksanakan di kampung mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kejayaan kerajaan memperkenalkan projek tersebut seharusnya disambut dengan hati terbuka kerana ia mampu mengubah corak penanaman daripada tradisional kepada moden.

Oleh itu, katanya, mereka tidak seharusnya berasa rendah diri lagi kerana kedudukan petani di Terengganu sekarang adalah setaraf dengan petani di negara lain yang sudah lama menjayakan teknik tanaman fertigasi.

‘‘Ini satu lagi kejayaan yang sebenarnya tidak pernah mereka impikan sebelum ini,” katanya semasa berucap pada pelancaran Program Skim Kesejahteraan Petani (Sutratani) di Kampung Telaga Papan di sini hari ini.

Program yang diperkenalkan menggunakan kepakaran dan teknologi Belanda itu dibangunkan di atas tanah seluas 5.5 hektar dengan menempatkan 30 peserta sebagai inkubator.

Di bawah program tersebut, tiga modul penanaman diperkenalkan membabitkan penanaman mentimun Jepun, mentimun susu, lada hibrid, lada Benggala serta buncis bagi menampung pasaran tempatan dan luar.

Mengulas lanjut, Idris berharap para petani khususnya di Telaga Papan membuktikan kemampuan dan keupayaan bagi menjadi petani moden berjaya dan membebaskan diri mereka daripada belenggu kemiskinan.

0 comments: