Oleh Fazallah Pit
NIBONG TEBAL: Seorang murid perempuan yang dipercayai kecewa dengan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), mati kira-kira 14 jam selepas ditemui tergantung di rumahnya di sini, awal pagi semalam.
S Subashini, 12, ditemui tergantung dengan kain selimut pada jeriji tingkap bilik rumahnya di tingkat dua kuarters Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Changkat, Sungai Jawi.
Subashini, murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sempah yang mengambil tujuh subjek dipercayai berbuat demikian kerana kecewa apabila hanya memperoleh 4B 2C 1D, walaupun yakin mampu mendapat A dalam semua subjek.
Mendiang memperoleh B bagi subjek Bahasa Malaysia (Penulisan), Matematik, Sains, Bahasa Tamil (Penulisan); C bagi Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil (Penulisan) dan D bagi Bahasa Malaysia (Pemahaman).
Anak kedua daripada lima beradik itu ditemui kakaknya, Shaleni, 13, kira-kira jam 1.40 tengah hari kelmarin dalam keadaan lemah sebelum dibawa ke Hospital Sungai Bakap. Subashini kemudian dipindah ke Hospital Seberang Jaya, tetapi disahkan mati pada jam 4.05 pagi semalam.
Bapanya, G Sivakumar, 36, pekerja rendah awam PBAPP, berkata beliau tidak menyangka anak keduanya itu sanggup berbuat demikian, walaupun mengetahui Subashini kecewa dengan keputusan diperolehnya.
Katanya, beliau tidak memarahi Subashini atas keputusan itu sebaliknya berjanji menghantarnya ke kelas tuisyen bagi memperbaiki prestasi mata pelajaran yang lemah.
Beliau juga berjanji membelikan anaknya cincin bagi setiap satu mata pelajaran yang lulus dan Subashini menyuruhnya membelikan sekurang-kurangnya empat cincin.
“Cuma yang saya lihat, Subashini tidak selera makan dan kurang ceria berbanding biasa selepas mendapat keputusan UPSR, tetapi saya tidak menyangka berlaku sebarang kejadian buruk,” katanya ketika ditemui di pekarangan kuarters itu, semalam.
Sivakumar berkata, beliau juga kesal dengan layanan Hospital Sungai Bakap dan Hospital Seberang Jaya terhadap anaknya kerana dibiarkan terlantar selama kira-kira 12 jam tanpa diberikan rawatan sewajarnya.
Katanya, selama kira-kira tiga jam berada di Hospital Sungai Bakap, anaknya yang masih bernyawa hanya terlantar di katil wad tanpa rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya.
Di Hospital Seberang Jaya pula, Subashini tidak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan alasan tiada katil kosong.
“Kira-kira jam 2.15 pagi, saya lihat Subashini menarik nafasnya yang terakhir dan darah tersembur dari hidungnya.
“Apabila saya maklumkan kepada doktor, mereka terus membawanya ke ICU sedangkan sebelum itu mereka mendakwa tiada kekosongan katil,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Koh Hong Sun yang dihubungi mengesahkan polis menerima laporan kematian itu, tetapi enggan mengulas lanjut.
0 comments:
Post a Comment