Oleh Azidan Nahar
SERONOK SAKAN: Pemain Perlis merayakan detik gemilang mereka selepas muncul juara Perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah pada pembukaan musim 2007-08 Liga Malaysia di Stadium Darulaman, Alor Star malam tadi. Perlis menang penentuan penalti 5-4 selepas terikat 0-0. |
Menang Piala Sultan Ahmad Shah menerusi penentuan penalti selepas terikat 0-0
SKRIP final Piala FA musim 2006-07 tidak berulang di Stadium Darulaman, Alor Star cuma kali ini sang juara menjadi milik Perlis lantas muncul pemenang Piala Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah menerusi sepakan penalti 5-4 selepas keputusan terikat seri tanpa jaringan malam tadi.
Redzuan Othman menjadi penjaring gol kemenangan buat Perlis ketika penentuan sepakan penalti sebelum ketua pasukan lawan, Victor Andrag gagal dengan penalti terakhir yang melambung melepasi pintu gol bagi membolehkan anak buah Abdul Rahman Ibrahim mempertahankan trofi itu.
Sedozen peluang keemasan dicipta skuad kendalian Azraai Khor Abdullah, yang berbangga dengan tiga trofi musim lalu, gagal memberikan mereka tiga mata berharga sebagai bekal semangat mengharungi permulaan kempen Liga Super musim 2007-08.
Babak pertama menyaksikan usaha Kedah mencari kelebihan awal sambil menepati statusnya sebagai juara tiga piala musim lalu menerusi sepakan percuma pada minit ke-10, bagaimanapun cubaan barisan depan skuad Kenari tampak tidak menjadi dan dapat diselamatkan pertahanan Perlis.
Pada minit ke-20, penyerang sensasi Kedah, Marlon Alex James mula mencuba penjaga gol Perlis, Yusof Ishak namun cubaan lemahnya berjaya didakap kemas sebelum seorang lagi pemain import, Nelson Sam Martin menyepak liar di atas palang gol seminit selepas itu.
Peluang terbaik Kedah hadir pada minit ke-26 apabila menerusi satu gerakan cantik, barisan penyerang Kedah diketuai James berjaya melepasi benteng lawan namun lorongan kepada Badrol Baktiar di sebelah kanan gawang lawan gagal dimanfaatkan apabila sepakan kaki kiri penyerang itu berjaya ditepis Yusof sebelum terkena palang dan keluar.
Seakan mendapat semangat tambahan, Kedah yang menewaskan Perlis pada final Piala FA semakin mengasak jirannya di utara itu menerusi beberapa lagi cubaan bahaya melalui Sam Martin dan James tetapi masih menemui jalan buntu menghasilkan jaringan.
Permulaan babak kedua seolah-olah mengulangi rentetan babak terdahulu apabila episod serangan skuad Kenari kembali bermula dengan Singa Utara hanya mampu menahan serangan bertali-arus dari segenap sudut.
Badrol sekali lagi harus menyalahkan diri sendiri apabila dua percubaannya pada minit ke-52 dan 60 masih gagal menemui gawang walaupun hanya penjaga gol perlu ditewaskan selepas menggelecek beberapa pertahanan.
James turut memiliki peluang mendapatkan gol pertama pasukannya yang dimulakan menerusi gerakan cantik satu dua antara Zairul Fitree dan Fauzi Shaari pada minit ke-57 cuma rembatan derasnya dari jarak kira-kira dua meter di pintu gawang meliar keluar.
Berbaki dua minit sebelum tamat, James sekali lagi mencipta peluang terbaik dengan larian kencang sambil menggelecek dua pertahanan lawan tetapi badi jaringan masih menghantuinya dengan menyepak liar ke kanan gol sebelum pengadil R Krishnan meniup wisel penamat bagi membolehkan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata dan sesi sepakan penalti.
0 comments:
Post a Comment