Cari kaedah lain ganti hadiah penyapu

KUALA TERENGGANU 18 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan negeri Selangor perlu memikirkan kaedah lain bagi menilai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu mengikut cara yang tidak menyinggung mana-mana pihak.

Perdana Menteri berkata, sejak isu pemberian anugerah penyapu kepada PBT disiarkan di dalam media, terdapat dua pandangan wujud dalam kalangan rakyat.

“Ada rakyat yang menerima cara itu dan ada rakyat tidak menerima pandangan itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

Ekoran itu, Perdana Menteri sendiri menghubungi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo bagi mendapatkan penjelasan bagaimana keputusan pemberian anugerah itu dilakukan dan diberitahu keputusan itu dibuat setelah mengadakan mesyuarat dengan pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Setelah mendengar penjelasan Dr. Mohamad Khir, Abdullah berkata, beliau menyerahkan kepada Menteri Besar Selangor itu memikirkan kaedah lain dengan membincangkan perkara itu dengan pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Isnin lepas, pada majlis anugerah sempena Bulan Kualiti 2007, Dr. Mohamad Khir menghadiahkan penyapu kepada Majlis Daerah Hulu Selangor yang diwakili oleh Yang Dipertuanya, Tukiman Nail dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor kerana tidak mencapai sasaran kutipan cukai.

Beberapa pihak lain termasuk ulama dan kesatuan-kesatuan sekerja mengecam langkah itu dan menyifatkannya sebagai terlalu hina dan mengaibkan kakitangan awam.

Dr. Mohamad Khir kemudian menyatakan tidak akan memberikan penyapu sebagai anugerah kepada PBT yang gagal memperoleh tahap pencapaian minimum tahun depan, sebaliknya mengarahkan para pegawai atasan PBT melepaskan jawatan masing-masing dengan bersara awal atau mengambil VSS.

– Bernama

0 comments: