TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis akan menemui Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha di Lapangan Terbang Chkalovky, berhampiran Star City malam ini sebagai tanda penghargaan kepada kejayaan misi angkasawan pertama negara di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Bagaimanapun, pertemuan dijangka berlangsung kira-kira 15 minit saja kerana krew Soyuz TMA-10 yang mendarat di bumi pada jam 2.37 petang waktu tempatan (6.37 petang waktu Malaysia) perlu dikuarantin bagi memantau kesihatan mereka.
"Pada pertemuan itu Najib dijangka menyatakan penghargaan dan tahniah, kemudian melekapkan lencana Program Angkasawan Negara pada baju Dr Sheikh Muszaphar," kata jurucakap delegasi Timbalan Perdana Menteri di sini semalam.
Sebelum itu, Najib akan menyaksikan pendaratan kapal angkasa Soyuz di bandar Arkylk, Kazakhstan menerusi sidang video khas dari Pusat Kawalan Misi Moscow (MCCM) di sini.
Sementara itu, menjelang hari terakhir misi Dr Muszaphar di ISS, kalangan saintis menyifatkan keupayaan beliau menyesuaikan diri dengan cepat dan menjalankan tugas di ISS sebagai di luar jangkaan.
Meskipun ini kali pertama menjadi angkasawan dan krew di ISS, Dr Sheikh Muszaphar cepat menyesuaikan diri dengan keadaan dan mampu menyelesaikan semua kajian saintifik dengan sempurna untuk saintis Malaysia, Agensi Angkasa Eropah (ESA) dan Agensi Penerokaan Angkasa Jepun (JAXA). Keupayaannya turut dikagumi saintis dan angkasawan daripada Agensi Angkasa Russia (Roscosmos).
Sehubungan itu, Pengarah Institut Perubatan Molekular Biologi (UMBI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merangkap ketua saintis yang menghantar kajian ke ISS, Prof Dr A Rahman Jamal, berkata masyarakat saintis menyandarkan harapan kepada persiapan rapi yang diatur untuk membolehkan semua eksperimen saintifik dibawa balik dengan selamat untuk dianalisis.
Katanya, sejak 18 bulan lalu pihaknya merumus dengan teliti kaedah memilih dan mengenal pasti penyelidikan untuk dilaksanakan dengan selamat di ISS, membawa balik spesimen dan paling penting mengurangkan ke tahap paling minimum risiko spesimen rosak dalam proses pemindahan daripada tapak pendaratan.
Sepanjang 10 hari di ISS, angkasawan itu membuat kajian saintifik berhubung kesan mikrograviti dan radiasi di angkasa lepas terhadap sel dan mikrob serta uji kaji penghabluran protein untuk kegunaan industri.
Mengulas lanjut, Prof Rahman berkata, proses bagi memastikan semua enam kotak spesimen kajian sains dibawa turun dengan selamat, perhatian rapi diberikan kepada kaedah penyimpanan dan cara meletakkannya dalam kapal Soyuz.
Selepas Soyuz mendarat hari ini dan angkasawan dikeluarkan daripada kapsul pendaratan, enam kotak spesimen sainstifik yang dilabelkan sebagai kargo khas akan diterbangkan ke Moscow.
Selain membawa spesimen sains, kargo seberat 7kg yang dibenarkan dibawa pulang turut merangkumi satu kotak lain bagi barangan simbolik dan barangan peribadi beliau.
Selepas ke Moscow, spesimen penghabluran protein akan diterbangkan ke Jepun untuk dianalisis menggunakan alat khas di Universiti Osaka.
Sel kajian osteoporosis dan Huvec akan dianalisis di Institut Masalah Perubatan Russia di sini, manakala sel kanser dan bakteria dibawa balik untuk diuji di Malaysia pada 27 Oktober ini.
0 comments:
Post a Comment