PULAU PINANG 21 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengakui tidak mudah untuk menjadi pemimpin negara berbilang kaum serta memenuhi kehendak semua kaum di negara ini.
Beliau berkata, bagaimanapun Malaysia yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada pelbagai kaum tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum termasuk kaum minoriti dalam semua aspek.
Tegasnya, ini kerana setiap rancangan dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan adalah hasil muafakat dan perbincangan pemimpin semua kaum dalam BN.
‘‘Tidak mudah untuk memimpin negara yang berbilang kaum kerana tidak ada contoh negara yang mempunyai peratusan komposisi kaum seperti di Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Masyarakat Cina sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-50 di sini hari ini.
Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy.
Beliau berkata, melalui muafakat tersebut setiap dasar yang digubal adalah mengambil kira kepentingan semua kaum dan pada masa sama dasar itu tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan berkesan tanpa pembabitan semua.
‘‘Tidak susah untuk membuat dasar tetapi tidak mudah untuk memastikan semua yang kita laksanakan itu elok untuk semua,” katanya.
Abdullah berkata, dasar itu mudah untuk digubal kerana semua rakyat mempunyai hasrat yang sama iaitu mahu negara terus maju, aman dan selamat.
Sehubungan itu, menurutnya, kerajaan sentiasa komited untuk memastikan seluruh rakyat negara ini tanpa mengira latar belakang menikmati pembangunan dan memperbaiki taraf hidup mereka dengan pelaksanaan projek pembangunan.
Katanya, projek pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Wilayah Ekonomi Koridor Timur contohnya adalah untuk memastikan pembangunan seimbang dikecapi oleh semua.
‘‘Apabila kita hendak laksanakan pembangunan koridor berkenaan, banyak agensi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri perlu beri kerjasama kerana untuk menjayakannya bukan kerja mudah,” jelasnya.
Justeru, beliau memberi jaminan semua dasar dan projek yang dirancang itu akan dilaksanakan dengan baik dan disiapkan mengikut jadual.
‘‘Saya tidak boleh berbohong kepada rakyat. Jika tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya mereka akan marah.
‘‘Masa mula jadi Perdana Menteri dulu semua orang sayang tetapi sekarang ini sudah ada orang marah,” katanya.
0 comments:
Post a Comment